Hubungan erat dan unik yang terjalin lama antara Singapura dengan Brunei dibina atas keikhlasan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dalam satu temu bual bersama media selepas menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman pada 1 April, beliau menekankan betapa eratnya hubungan dua hala tersebut.
Dr Maliki berada di Brunei dari 1 hingga 4 April sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Hubungan istimewa antara Brunei dengan Singapura terjalin atas dasar keikhlasan – antara kededua negara, pemimpin dan keluarga diraja.
“Bagi saya, demikian adalah salah satu ciri utama yang membentuk hubungan istimewa itu,” jelas beliau.
Ditemani isterinya, Cik Sadiah Shahal, lawatan itu menandakan lawatan tahunan mereka yang ke-10.
Menurut Dr Maliki, keikhlasan daripada pemimpin kededua negara mula diamalkan mendiang Encik Lee Kuan Yew dan Almarhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, dan kini diteruskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah bersama Menteri Kanan Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Keikhlasan ini menunjukkan kesungguhan kami untuk terus memelihara hubungan ini.
“Saya percaya hubungan ini tidak hanya terjalin di peringkat kepimpinan, malah di peringkat menteri, pegawai dan rakyat,” tambahnya.
Bidang utama kerjasama yang terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara turut diserlahkannya.
Dr Maliki berkata: “Ekonomi kita sangat berkait rapat. Dengan mata wang yang ditambat dan ditukar pada nilai yang sama, kita terus melangkah ke hadapan bersama.”
Mengambil contoh Singapura mengimport beberapa komoditi dari Brunei seperti telur dan produk daging lembu yang diproses, ia mencerminkan kebergantungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Di samping itu, terdapat peningkatan dalam bilangan biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar Brunei di Singapura.
“Selain hubungan ekonomi, usaha mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara amat penting. Masih banyak ruang kerjasama yang boleh kita teroka bersama,” tambah beliau.
Lawatannya ke Brunei sempena Hari Raya mencerminkan hubungan antara Singapura dengan Brunei yang rapat dan unik.
Dengan berbesar hati, Dr Maliki berkata: “Melalui lawatan seperti ini, kita dapat mengekalkan serta memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua negara.”
Antara usaha mengeratkan hubungan demikian termasuk sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Brunei pada 2024; penganjuran Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei (YLP) ke-10 serta YLP ke-11 yang bakal diadakan di Brunei dan dihadiri Encik Wong.
Semasa lawatannya di Brunei, Dr Maliki dan delegasi Singapura turut menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh menteri-menteri semasa dan mantan menteri Brunei, serta pegawai kanan kerajaan.
Beliau turut bakal menjadi tetamu terhormat di Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei yang akan berlangsung pada 3 April.
Berpeluang berhubung semula dengan ramai rakan warga Brunei, Dr Maliki, dalam hantaran di Facebooknya pada 2 April, berkata mereka “menghargai layanan mesra dan makanan lazat yang telah disediakan dengan murah hati”.
Turut melawat Brunei bersamanya ialah Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, dan isteri, Dr N. Gowri; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman, dan isteri, Cik Rohana Mohd Salleh; serta Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast, Cik Rachel Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg