Singapura banyak melabur dalam pembangunan profesional, bimbingan dan peluang pertumbuhan kerjaya dalam kalangan pendidik, kerana kepakaran dan kesejahteraan guru memberi kesan secara langsung kepada kejayaan pelajar.
Demikian dinyatakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dr Maliki mewakili Singapura di Sidang Puncak Antarabangsa mengenai Kerjaya Mengajar (ISTP) ke-15 di Reykjavik, Iceland.
Beliau ke sana bersama delegasi daripada Kementerian Pendidikan (MOE).
Berkongsi pengalamannya di Facebook, Dr Maliki berkata di tengah-tengah pendidikan bermutu ialah kalangan guru yang disokong dengan baik.
“Sistem pendidikan Singapura sentiasa berpaksi pada kedua-dua pendidik dan pelajar, memastikan guru kita diperkasa supaya mereka boleh memupuk anak muda kita.
“Inilah sebabnya kami melabur banyak dalam pembangunan profesional, bimbingan dan peluang pertumbuhan kerjaya untuk pendidik kami, kerana kami menyedari kepakaran dan kesejahteraan mereka secara langsung memberi kesan kepada kejayaan pelajar,” kata Dr Maliki.
Beliau menambah, kepimpinan pendidikan Singapura memainkan peranan penting dalam mengemudi anjakan dalam sistem pendidikan di sini agar ia sejajar dengan perubahan ekonomi sejagat.
“Sedang industri berkembang, kemahiran baru muncul dan tempat kerja berubah, kami terus memperhalusi kurikulum dan pendekatan pengajaran kami bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang sedia untuk masa hadapan,” katanya.
Semasa lawatannya ke Iceland – yang pertama baginya – Dr Maliki menyertai perbincangan bermakna mengenai pengukuhan sistem pendidikan dan cara menyokong kalangan guru.
Beliau turut berpeluang bertemu dan bertukar pendapat dengan rakan sejawatannya dari pelbagai negara.
Dr Maliki bertemu Encik Guðmundur Ingi Kristinsson, yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Ehwal Kanak-kanak baru Iceland; serta mantan Perdana Menteri Iceland, Cik Katrín Jakobsdóttir, yang juga moderator di ISTP kali ini.
Dr Maliki juga bertemu Menteri Pendidikan Asas Afrika Selatan, Cik Siviwe Gwarube; Timbalan Menteri Pertama bagi Pendidikan dan Sains Ukraine, Encik Kudriavets Yevhen; Setiausaha Pendidikan Hong Kong, Cik Choi Yuk Lin; dan Menteri Pendidikan dan Penyelidikan Estonia, Cik Kristina Kallas.
Mereka membincangkan iltizam bersama untuk mengukuhkan sistem pendidikan dan menyokong golongan pendidik dalam dunia yang sentiasa berubah.
Dr Maliki turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pendidikan Finland, Encik Anders Adlercreutz, dan Menteri Pendidikan New Zealand, Cik Erica Stanford.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg