Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Manfaat pendapatan kerja seni, khidmat tuisyen untuk korban

Jun 6, 2025 | 5:48 PM
Atiqah Kamisan, korban
Cik Atiqah Kamisan, 22 tahun, menunaikan ibadah korban buat kali pertama pada 2025, dengan menggunakan pendapatan daripada karya seni dan kelas tuisyen yang dikendalikan sendiri. Beliau mengakui maksud “korban” kini lebih mendalam setelah menyumbang seekor kambing biri-biri bernilai $480 untuk penduduk Palestin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tanpa bergantung pada sokongan ibu bapanya, Cik Atiqah Kamisan, 22 tahun, memilih untuk menunaikan ibadah korban buat kali pertama pada 2025, dengan menggunakan pendapatan hasil karya seni dan sesi kelas tambahan yang dikendalikan sendiri.

Mahasiswi tahun kedua yang mengikuti kursus ijazah Kesusasteraan Inggeris di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu mengakui bahawa pengertian ‘korban’ kini lebih mendalam baginya.

Ini kerana sejak awal lagi, beliau berhasrat menyumbangkan seekor kambing biri-biri bernilai $480 kepada penduduk di Palestin melalui syarikat Signaturesofimran.

“Saya mula menyimpan duit sejak Mac dengan mengetepikan sekitar $100 sebulan, khusus untuk korban.

“Sepanjang tempoh itu, saya memang perlu kawal perbelanjaan peribadi,” kongsi beliau.

Meskipun masih bergelar pelajar, Cik Atiqah aktif dalam dunia keusahawanan dan kerja kebajikan.

Sejak gelombang pandemik Covid-19, beliau memulakan AK’s Artique sebagai ruang untuk berkarya dan berbakti, dengan hasil seninya dijual antara $10 dengan $40.

Separuh daripada keuntungannya turut disalurkan kepada badan kebajikan termasuk masjid dan penerima zakat.

Selain itu, beliau turut menawarkan khidmat tuisyen individu untuk pelajar dewasa sebanyak empat kali seminggu, khususnya dalam bidang fonik.

“Memang sukar untuk mengetepikan pendapatan sebagai pelajar, tapi saya rasa sangat puas hati kerana tahu sumbangan ini akan beri makna kepada orang lain,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk menggunakan wang hasil usahanya sendiri bagi melaksanakan ibadah korban, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai cerminan pengalamannya sebagai sukarelawan bersama IM Volunteer Network SG (IMVN).

Beliau, yang kini dilantik sebagai Pengerusi IMVN, berkata penglibatan aktif dalam misi kemanusiaan telah membuka matanya terhadap realiti kehidupan masyarakat serba kekurangan di luar negara.

“Saya pernah melihat sendiri keadaan keluarga yang betul-betul memerlukan bantuan.

“Dari situ, saya lebih sedar bahawa setiap sumbangan, walaupun kecil, boleh membawa erti besar kepada penerimanya.

“Jadi bila ada peluang untuk hulurkan bantuan kepada warga Palestin melalui ibadah korban, saya tidak teragak-agak,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan sumbangannya sampai kepada golongan sasaran.

Ditanya jika lima tahun lalu (2020) beliau pernah terfikir mampu berkorban atas usaha sendiri, Cik Atiqah berkata:

“Sejujurnya, tidak. Ketika itu saya masih seorang pelajar dan langsung tidak terbayang mampu menunaikan korban atas usaha sendiri.

“Tapi perlahan-lahan, bila saya mula bekerja dan ada pendapatan sendiri, saya sedar ia bukan sesuatu yang mustahil.”

Sebagai anak muda, beliau berharap lebih ramai generasi muda akan memahami hikmah dan kepentingan ibadah korban sebagai peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Kadangkala kita fikir korban hanya untuk orang yang sudah mempunyai kerja tetap atau sudah stabil dari segi kewangan.

“Tapi kalau kita mula dari kecil dan faham tujuan sebenar korban, kita akan rasa lebih terdorong untuk menyumbang walaupun ia memerlukan sedikit pengorbanan dari segi masa, wang atau tenaga,” katanya lagi.

“Kadangkala kita fikir korban hanya untuk orang yang sudah mempunyai kerja tetap atau sudah stabil dari segi kewangan. Tapi kalau kita mula dari kecil dan faham tujuan sebenar korban, kita akan rasa lebih terdorong untuk menyumbang walaupun ia memerlukan sedikit pengorbanan dari segi masa, wang atau tenaga.”
Cik Atiqah Kamisan, mahasiswi Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg