Masjid Khalid menyasarkan untuk mengumpul dana $150,000 bagi menyokong penerima bantuan pertubuhan di bawah naungan Cabaran Presiden tahun ini.

Kutipan itu antaranya dilakukan melalui acara Beriani Amal, yang diadakan buat kali ke-21 oleh masjid tersebut.

Acara tahun ini turut melibatkan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Satu Sektor Masjid di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada program yang disokong di bawah Cabaran Presiden 2026.

Lebih 120 tetamu menghadiri acara itu pada 27 September.

Acara itu turut dihadiri tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong; serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Ketiga-tiga mereka juga telah menyingsing lengan untuk menyediakan dan menghidangkan sajian beriani tersebut.

Mengulas usaha tersebut, Encik Zaqy berkata acara itu mencerminkan semangat masyarakat untuk berganding bahu demi membantu golongan yang memerlukan.

“Di sini kita dapat melihat bagaimana masyarakat kita bersama-sama bergotong-royong untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Semangat sebenar Cabaran Presiden adalah untuk membawa masyarakat kita bersama, supaya kita dapat membantu mereka yang memerlukan mencapai aspirasi, keupayaan dan potensi mereka.

“Inilah semangat ihsan yang kita mahu pupuk dalam masyarakat kita dan satu nilai yang kita berharap dapat menunjukkan bahawa masyarakat kita boleh membantu tanpa mengira bangsa, agama ataupun latar belakang,” ujar Encik Zaqy.

Beliau menambah:

“Bagi kami, tiada sumbangan yang kecil ataupun besar. Apa yang penting adalah kita menunjukkan keihsanan dalam masyarakat dan bagaimana kita dapat membantu.”

Dianjurkan sejak 2000, inisiatif itu telah mengumpulkan hampir $4 juta bagi Cabaran Presiden dan memberi manfaat kepada ribuan individu serta keluarga di Singapura, tambah RLAF.

Acara itu terhenti semasa pandemik Covid-19 sebelum diadakan semula pada 2025 apabila sebanyak $200,000 berjaya dikumpulkan.

Setakat ini, hampir 800 baucar beriani berharga $15 setiap satu telah dijual. Penjualan baucar itu telah berakhir pada 27 September.

Dalam ucapannya, Pengerusi Masjid Khalid merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Mohd Ariffin Mohd Kawaja, menekankan bahawa usaha membina masyarakat yang prihatin memerlukan sumbangan setiap individu.

Sambil mengenang jasa Allahyarham Haji Alla’udin, Allahyarham Haji Mohamed Ibrahim dan jawatankuasa pengasas yang memulakan usaha itu lebih dua dekad lalu, beliau berkata:

“Cabaran Presiden mengingatkan kita bahawa membina masyarakat yang prihatin merupakan tanggungjawab bersama. Tiada seorang pun daripada kita yang perlu melakukan segala-galanya, tetapi setiap daripada kita boleh melakukan sesuatu.

“Apabila semua usaha ini disatukan, kita mampu mencapai sesuatu yang luar biasa. Sebagai Pengerusi Masjid Khalid, saya bangga masjid kami dapat memainkan peranan dalam usaha ini.

“Semoga kita terus menghargai legasi mereka yang terdahulu, mengeratkan hubungan antara masyarakat dan tidak pernah berhenti menterjemahkan belas ihsan kepada tindakan,” ujar beliau.