Selepas lima tahun menyepi, acara Cabaran Presiden Beriani Amal anjuran Masjid Khalid kembali pada 2025, dengan sasaran mengumpul dana sebanyak $150,000 bagi menyokong penerima bantuan pertubuhan di bawah naungan Cabaran Presiden dan Khidmat Masyarakat Mawar (MCS).
Penerima terdiri daripada golongan orang kurang upaya, keluarga banduan, dan belia berisiko.
Selain Masjid Khalid, acara tahun ini turut melibatkan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Sektor Satu Masjid Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Presiden Tharman Shanmugaratnam hadir selaku tetamu kehormat di acara Cabaran Presiden Beriani Amal 2025 pada 28 September, yang berlangsung di pejabat MCS dan Masjid Khalid – kededuanya terletak di Onan Road.
Cabaran kali ini merupakan edisi sempena 60 tahun kemerdekaan Singapura.
Semasa acara penyediaan beriani yang berlangsung di MCS, Tuan Presiden serta isterinya Puan Jane Ittogi turut memberi sentuhan dengan menabur rempah serta menggaul beriani sebelum ia dihidangkan kepada tetamu di Masjid Khalid.
Tetamu lain terdiri daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim serta pihak pengurusan kanan Muis, anggota akar umbi, penaja dan penerima bantuan.
Sekitar 2,800 bungkusan beriani telah dijual bagi tujuan amal itu.
Seribu daripada jumlah bungkusan beriani itu telah diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah di serata Singapura, manakala yang lain diambil pembeli di Masjid Khalid sepanjang hari.
Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) mengatakan bahawa acara sebegini penting untuk menyepadukan masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.
“Acara amal seperti ini bukan sahaja menyatukan orang ramai, malah memupuk semangat memberi serta meningkatkan kesedaran dan persefahaman terhadap budaya satu sama lain.
“Kami telah mengadakan acara ini selama bertahun lamanya, dan saya sangat gembira melihat bahawa ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam tetapi menyatukan masyarakat dari semua bangsa untuk bersama-sama menyumbang kepada Cabaran Presiden,” katanya.
Beliau menambah bahawa insiden yang berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini (melibatkan Masjid Al Istiqamah) sebenarnya menjadi satu peluang untuk rakyat bertindak bersama.
“Ia juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan kebaikan dalam diri kita dan bagaimana kita saling memahami satu sama lain, dan semuanya berkait rapat dengan usaha kita untuk terus mewujudkan Singapura yang harmoni dan aman,” tambah Dr Faishal.
Dalam ucapannya pula, Pengerusi Masjid Khalid, Dr Ariffin Kawaja, berkata Cabaran Preiden Beriani Amal tradisi acara ini bermula di Masjid kami pada 2000 di bawah kepimpinan mantan pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla’udin Mohamed dan sokongan oleh mantan Presiden Encik S.R. Nathan.
“Kededua tokoh ini mencerminkan nilai-nilai khidmat, belas ihsan dan perpaduan yang terus menjadi teladan bagi acara ini ke hari ini.,” kata Dr Ariffin, yang berkhidmat di Masjid Khalid sejak 2016.
Ketika berbual kepada pihak media, beliau menambah:
“Sebelum Allahyarham Alla’udin meninggal dunia, beliau menasihati saya untuk menghubungi Presiden Tharman, kerana kebetulan sudah lima tahun kami belum mengadakan acara amal ini”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg