Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasyarakat Dawoodi Bohra anjur sambutan Aidilfitri, sebar perpaduan dan khidmat masyarakat
Masyarakat Dawoodi Bohra anjur sambutan Aidilfitri, sebar perpaduan dan khidmat masyarakat
Masyarakat Dawoodi Bohra anjur sambutan Aidilfitri, sebar perpaduan dan khidmat masyarakat
Masyarakat Dawoodi Bohra Singapura meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahunan mereka pada 25 April dengan menekankan kepentingan perpaduan sosial, keharmonian antara agama dan semangat khidmat masyarakat.
Majlis yang berlangsung di Masjid Burhani itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, selaku tetamu terhormat.
Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, turut hadir semasa acara itu bersama sekitar 150 tetamu daripada sektor awam dan swasta, anggota kor diplomatik, pertubuhan sivik serta pertubuhan akar umbi.
Acara tahunan yang dianjurkan masyarakat Dawoodi Bohra, yang mempunyai sekitar 900 anggota di Singapura, merupakan antara inisiatif utama mereka dalam menggalakkan persefahaman antara agama, komunikasi antara budaya serta semangat sukarela.
Dalam ucapannya, Encik Gan mengiktiraf sumbangan berterusan masyarakat itu dalam membantu golongan memerlukan dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Singapura.
Ini selain memainkan peranan dalam memupuk sebuah Singapura yang bersatu padu dan terangkum demi generasi akan datang.
Sementara itu, wakil kepada pemimpin rohani Dawoodi Bohra sedunia, Encik Syedna Mufaddal Saifuddin dan Encik Huzaifa Bahrainwala, mengajak masyarakat itu untuk memperbaharui iltizam terhadap nilai belas ihsan, empati dan khidmat kepada masyarakat.
Beliau berkata masyarakat Dawoodi Bohra, yang mula bertapak di Singapura sekitar tahun 1880-an menerusi aktiviti perdagangan, terus melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura yang patriotik dengan pegangan penghayatan agama dan tanggungjawab sebagai warga negara saling melengkapi.
Masyarakat Dawoodi Bohra berasal dari Gujarati India, dengan ramai dalam kalangan mereka merupakan pedagang.
Pada 2027, masyarakat itu bakal menyambut ulang tahun ke-130 penubuhan Masjid Burhani, yang dibina pada 1897 dan menjadi tanda bersejarah kepada kehadiran masyarakat Dawoodi Bohra di Singapura.
