Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Islam S’pura papar sifat murah hati sempena Aidiladha

Faishal bangga usaha pelbagai pihak dapat sokongan padu; persiapan bagi sambutan berjalan lancar seluruh negara
Jun 6, 2025 | 4:23 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, amanat, Aidiladha
Dalam Amanat Hari Raya Aidiladha pertama Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sejak dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, beliau lahirkan rasa bangga usaha-usaha pelbagai pihak seperti badan-badan Melayu/Islam dan masjid-masjid melalui SalamSG Korban telah mendapat sokongan padu masyarakat. Rakaman amanat beliau berlangsung di Galeri Warisan Geylang Serai di Wisma Geylang Serai. - Foto MDDI

Masyarakat Islam di Singapura telah memaparkan kemurahan hati yang besar dalam membantu benefisiari dan golongan yang kurang bernasib baik di dalam dan luar negara, sedang mereka menyambut Hari Raya Aidiladha, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam Amanat Hari Raya Aidiladha pertama beliau sejak dilantik peranan baru itu, Dr Faishal berkata sambutan hari istimewa itu mengingatkan semua tentang nilai-nilai murni seperti pengorbanan, keikhlasan dan kesyukuran.

Beliau berbangga usaha-usaha pelbagai pihak seperti badan-badan Melayu/Islam dan masjid-masjid melalui SalamSG Korban telah mendapat sokongan padu masyarakat.

Dr Faishal menambah bahawa persiapan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini juga telah berjalan dengan lancar di merata Singapura.

“Ramai dalam kalangan anda begitu murah hati, menghadiahkan daging korban kepada insan-insan yang ditimpa bencana di seluruh dunia termasuk penduduk Palestin yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza.

“Di Singapura, para penerima zakat dan keluarga yang memerlukan tidak dilupakan.

“Terima kasih kepada anda semua termasuk para sukarelawan atas kerja keras dan sumbangan anda untuk memastikan syiar Islam terus terpelihara di sini,” kata beliau, dalam video amanatnya itu yang dimuat naik di Facebook pada 6 Jun.

Rakaman amanat beliau berlangsung di Galeri Warisan Geylang Serai di Wisma Geylang Serai.

Pada 4 Jun, Berita Harian (BH) melaporkan bahawa hampir 5,700 haiwan dan bahagian lembu telah ditempah untuk ibadah korban 2025 di bawah inisiatif SalamSG Korban – satu peningkatan sebanyak 20 peratus daripada tahun sebelumnya.

Jumlah ini juga lebih tinggi daripada sasaran 4,800 haiwan korban bagi ibadah korban 2025.

Tempahan tersebut termasuk bagi kambing biri-biri, domba dan bahagian lembu, dan dibuat melalui dalam talian di platform digital korban.ourmasjid.sg serta secara langsung di 53 masjid di sini.

Sekitar 65 peratus daging korban yang ditempah akan didermakan di dalam dan luar negara.

Sekitar 13,000 kilogram daging biri-biri yang didermakan akan ditinkan dan dihantar ke Gaza melalui rakan kongsi yang dipercayai, sebagai sebahagian daripada usaha pengedaran daging-daging korban itu.

Bahagian selebihnya akan diagihkan melalui program SalamSG Gives serta masjid yang mengambil bahagian yang mempunyai unit pembangunan sosial.

Sementara itu, Dr Faishal turut melahirkan rasa syukur dan gembira bahawa para jemaah haji Singapura dan pegawai serta sukarelawan di Tanah Suci berada dalam keadaan baik.

Dalam hantaran Facebook yang disertakan video amanatnya itu, Dr Faishal turut menulis bahawa semua jemaah haji Singapura telah selamat berwukuf di Arafah pada 5 Jun, iaitu kemuncak haji.

Beliau menambah bahawa mereka juga selesai melontar di Jamrah Aqabah dan menyambut Aidiladha pada 6 Jun di sana.

“Saya doakan keselamatan dan kesejahteraan mereka agar mereka dapat meneruskan ibadah haji dengan sempurna, Insya-Allah,” kata beliau dalam video amanat selama dua minit itu.

Sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura yang baru dilantik, Dr Faishal berkata beliau amat bersyukur atas kepercayaan dan amanah besar yang telah diberikan kepada beliau.

Beliau berazam untuk mendekati masyarakat dan memahami aspirasi dan keprihatinan mereka, serta menjadi suara untuk mereka “supaya kita dapat sama-sama melangkah maju ke hadapan memperkukuh visi Masyarakat Gemilang kita”.

“Inilah iltizam saya dan pasukan saya kepada anda, masyarakat kita demi Singapura,” kata beliau.

“Dalam kesempatan yang mulia ini, dengan rendah hati, saya mengajak anda untuk berganding bahu bersama saya dan pasukan saya.

“Bak aur dengan tebing, ayuh kita bersatu hati, dan melangkah bersama untuk mencorak masa depan yang lebih cerah,” tambah beliau.

“Ramai dalam kalangan anda begitu murah hati, menghadiahkan daging korban kepada insan-insan yang ditimpa bencana di seluruh dunia termasuk penduduk Palestin yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza. Di Singapura, para penerima zakat dan keluarga yang memerlukan tidak dilupakan.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg