Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki akan latih tutor sebagai mentor, guna teknologi dalam kurikulum tuisyen

Sep 27, 2025 | 5:19 PM
Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kanan) dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), melawat murid Program Tuisyen Mendaki (MTP) di Sekolah Rendah Bedok Green pada 27 September. Turut hadir ialah CEO Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah (paling kiri) dan Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (tiga dari kanan), yang akan dilantik sebagai CEO Mendaki baru mulai 1 November.
Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kanan) dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), melawat murid Program Tuisyen Mendaki (MTP) di Sekolah Rendah Bedok Green pada 27 September. Turut hadir ialah CEO Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah (paling kiri) dan Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (tiga dari kanan), yang akan dilantik sebagai CEO Mendaki baru mulai 1 November. - Foto ST

Sebagai sebahagian daripada pelan lima tahun akan datang dari 2026 hingga 2030, Yayasan Mendaki akan meneroka cara untuk meningkatkan program tuisyennya agar dapat memenuhi keperluan pelajarnya dengan lebih baik.

Ini termasuk mewujudkan program yang disesuaikan mengikut tahap kebolehan pembelajaran pelajar, melatih tutor Mendaki menjadi jurulatih dan mentor, serta menggunakan teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI), dalam kurikulum tuisyen.

Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata kurikulum tuisyen perlu seiring dengan perubahan mata pelajaran dan penambahbaikan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan (MOE) di sekolah.

“Sesetengah ibu bapa mungkin tidak dapat membimbing anak-anak mereka. Oleh itu, kami mahu memberikan yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), berkata salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan melabur dalam teknologi seperti AI supaya tutor dapat mengintegrasikan ciri tersebut dalam pengajaran mereka.

Beliau berkata demikian semasa melawat kelas tuisyen Mendaki di Sekolah Rendah Bedok Green pada 27 September.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Encik Zaqy menambah bahawa pelajar yang berprestasi sangat rendah mungkin tidak menerima perhatian peribadi yang mereka perlukan di sekolah untuk meningkatkan pembelajaran mereka.

“Kadangkala sekolah menghadapi cabaran untuk menyokong mereka, dan kadangkala ia melibatkan unsur budaya,” katanya.

Tambahnya, tutor Mendaki boleh membantu membimbing dan menjadi mentor kepada pelajar tersebut dengan lebih peribadi serta dalam cara yang lebih dekat dengan budaya mereka.

Selain mengajar pelajar bagaimana menerapkan apa yang mereka pelajari di sekolah untuk prestasi akademik yang lebih baik, Encik Zaqy berkata tutor Mendaki juga boleh membantu membina keyakinan serta membimbing mereka mengenai potensi laluan kerjaya.

“Ini adalah salah satu cara agar mobiliti sosial dapat dicapai, melebihi sekadar julat gaji,” katanya.

Program Tuisyen Mendaki kini memberi manfaat kepada lebih 9,500 pelajar di 100 pusat, termasuk di Sekolah Rendah Bedok Green, yang juga berfungsi sebagai pusat berasaskan masyarakat pada hujung minggu untuk pelajar dari sekolah lain.

Ia terbuka kepada pelajar dari Darjah 1 hingga Menengah 5 dari sekolah pemerintah, sekolah bantuan pemerintah, dan madrasah.

Pelajar boleh mendapatkan bantuan dalam mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sains Gabungan (Kimia/Fizik).

Semasa lawatan itu, Dr Faishal mengumumkan bahawa Kolonel Mohamed Feroz Mohamed Akber, 44 tahun, dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)-Dilantik Mendaki mulai 1 Oktober.

Beliau akan secara rasmi menggantikan Cik Zuraidah Abdullah pada 1 November.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata bahawa Encik Feroz membawa bersama beliau pengalaman luas, setelah berkhidmat lebih 25 tahun dalam SAF, serta sering turun padang dan bekerjasama dengan masyarakat Melayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg