Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan Mendaki lantik CEO baru mulai 1 November

Feroz Akber akan gantikan Zuraidah Abdullah; Beliau dipinjamkan kepada Mendaki selama 3 tahun
Sep 27, 2025 | 10:28 AM
Mendaki, Ceo, baru
Encik Feroz Akber (kiri), yang akan dilantik sebagai CEO Mendaki baru mulai 1 November bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad; beramah mesra dengan murid-murid Program Tuisyen Mendaki (MTP) di Sekolah Rendah Bedok Green pada 27 September. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Yayasan Mendaki akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru.

Kolonel Mohamed Feroz Mohamed Akber, 44 tahun, akan dilantik sebagai CEO-Dilantik Mendaki pada 1 Oktober.

Pada 1 November, beliau akan secara rasmi mengambil alih Cik Zuraidah Abdullah, yang telah menyandang jawatan itu sejak 1 April 2020.

Peralihan kepimpinan diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Sekolah Rendah Bedok Green pada 27 September.

Dr Faishal berkata: Saya yakin Encik Feroz akan meneruskan usaha baik yang telah dilaksanakan Cik Zuraidah dan para CEO sebelum ini dalam memimpin Mendaki menangani cabaran baru dan menarik pada masa depan.

“Saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Cik Zuraidah atas khidmat baktinya sepanjang lima tahun lalu.

“Sebagai badan bantuan diri pertama yang ditubuhkan di Singapura, Mendaki telah lama menjadi institusi dipercayai yang berada di teras kemajuan masyarakat Melayu/Islam, serta rakan utama dalam pembangunan negara kita.”

Encik Feroz akan dipinjam daripada SAF selama tiga tahun mulai 1 Oktober.

Dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Feroz pernah bertugas sebagai Komander Briged Infantri Singapura Kedua (2SIB), serta Ketua Inspektorat Keselamatan Tentera (ASI).

Di luar SAF pula, Encik Feroz pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi M³@Geylang Serai, di mana beliau bekerjasama dengan rangkaian M Kuasa Tiga (M³) untuk menyokong usaha seperti Mendaki Homework Café, acara berbuka puasa, serta pengagihan makanan dan pakaian.

“Saya telah melihat lebih banyak kerjasama yang lebih bermakna, dan semakin ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada masyarakat kita.

“Ini sangat dialu-alukan kerana semangat bergotong-royong ini memberi saya keyakinan bahawa dengan sokongan yang betul, masyarakat kita akan terus berkembang,” kongsi Encik Feroz.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Cik Zuraidah dan kakitangan Mendaki atas asas kukuh yang telah dibina mereka.

Di samping pelantikan Encik Feroz sebagai CEO Mendaki baru, beliau juga akan disokong timbalan CEO baru.

Mulai 1 Oktober, Pengarah bagi Jabatan Pendekatan Mendaki, Cik Ezrina Elias, 51 tahun, akan mengambil alih Cik Zulaiha Yusuf sebagai Timbalan CEO Mendaki.

Cik Ezrina telah dipinjamkan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) selama empat tahun pada 4 September 2023.

Cik Zulaiha masih berkhidmat untuk Mendaki sebagai Pengarah bagi Jabatan Pendekatan.

Selain Cik Ezrina, seorang lagi Timbalan CEO, Dr Noraslinda Zuber, yang memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2024, akan menyokong Encik Feroz bagi kepimpinan Mendaki baru.

“Sejak saya dipinjamkan pada September 2023, saya telah bekerjasama rapat dengan rakan nasional dan masyarakat serta keluarga dalam usaha mengangkat masyarakat kita menuju kecemerlangan.

“Cik Zulaiha telah banyak menyumbang kepada masyarakat dan Mendaki. Saya amat bersyukur diberikan peluang untuk memperkukuh asas tersebut dan akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat,” ujar Cik Ezrina.

Turut hadir semasa sesi itu ialah Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran).

Di bawah kepimpinan Cik Zuraidah, Encik Zaqy berkata jumlah penerima manfaat program Mendaki telah meningkat sebanyak 80 peratus, serta pengembangan rangkaian pusat tuisyen kepada lebih 100 cawangan dalam tempoh lima tahun lepas.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), Encik Zaqy menjelaskan peralihan kepimpinan tersebut dilakukan kerana ia lebih senang dari segi strategi untuk Mendaki mengetengahkan program baru untuk tahun-tahun akan datang.

Beliau juga berkongsi bahawa racanganan baru Mendaki untuk lima tahun seterusnya akan diumumkan pada hujung 2025.

“Sistem pendidikan kita telah menyediakan (kanak-kanak) dengan asas pendidikan yang sangat baik, tetapi pembinaan keyakinan dan kemahiran insaniah juga penting.

“Ini terutama sekali untuk kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah yang mungkin tidak mendapat manfaat daripada rangkaian sosial atau bimbingan daripada ibu bapa.

“Kami rasa Mendaki boleh memainkan peranan untuk membantu kanak-kanak tersebut mengembang,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg