Topik diikuti
Pergi ke BHkuMendaki lancar 3 rangkaian karyawan baharu bidang pendidikan, keusahawanan, sukan
Mendaki lancar 3 rangkaian karyawan baharu bidang pendidikan, keusahawanan, sukan
Mendaki lancar 3 rangkaian karyawan baharu bidang pendidikan, keusahawanan, sukan
Rangkaian Karyawan Yayasan Mendaki, yang membolehkan karyawan belajar daripada sesi perkongsian dengan pakar industri dan wakil pertubuhan, akan dikembangkan daripada 13 sektor pada masa ini kepada 16.
Tiga sektor terbaharu itu merangkumi pendidikan, keusahawanan, dan sukan.
Demikian diumumkan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di acara #MakingConnections anjuran Mendaki di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 10 Julai.
Menurut kenyataan Mendaki pada hari tersebut, tiga rangkaian karyawan itu telah dikenal pasti untuk memajukan hasil pendidikan, memupuk inovasi dan perusahaan, serta menyokong pembangunan dan aspirasi atlet.
Ia sekali gus memperkukuh kesediaan masa depan masyarakat Melayu/Islam.
Berucap di acara tersebut, Encik Ong berkata dalam menghadapi fasa ketidaktentuan berkaitan kecerdasan buatan (AI), rakyat Singapura perlu berpegang teguh dan membina kekuatan berdasarkan dua perkara – menguasai kepakaran masing-masing, dan membina masyarakat sekeliling kepakaran tersebut.
Ini kerana, jika seseorang menguasai kepakaran dan membina kepakaran itu dengan mempelajari daripada satu sama lain, ia mampu memperkukuh bidang kepakaran itu, katanya.
Sesuai dengan itu, Encik Ong, memuji bagaimana usaha Rangkaian Karyawan Mendaki bukan sekadar menjalinkan rangkaian, malah membina keupayaan dan membimbing orang lain.
“Dalam masyarakat Melayu/Islam, pendekatan ini amat berkuasa kerana mobiliti sosial bukan hanya bergantung kepada usaha individu semata-mata.
“Ia juga berkisar tentang akses kepada rangkaian, suri teladan, bimbingan, serta peluang.
“Apabila seorang anak muda dapat bertemu dengan seseorang daripada latar belakang yang sama – iaitu individu yang telah mengharungi laluan kerjaya yang ingin diceburinya – maka gambaran masa depan yang diimpikan itu akan menjadi lebih nyata,” ujarnya.
Encik Ong menambah rangkaian itu juga akan bekerjasama dengan badan pentauliahan yang relevan bagi membantu karyawan mendapat pensijilan yang diiktiraf.
Encik Ong juga akur bahawa kemajuan hasil sokongan Mendaki terbukti apabila peratusan golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) Melayu meningkat kepada 46.6 peratus pada 2025 daripada 32.2 peratus pada 2015.
Pemegang ijazah sarjana muda juga mencecah 13.3 peratus menjelang 2025 daripada 7.7 peratus pada 2015.
Manakala sekitar empat dalam 10 pelajar Melayu kini berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi.
Acara #MakingConnections tahunan itu, yang pertama kali diadakan pada 2022, dihadiri sekitar lebih 400 hadirin.
Ia menghimpunkan akademik dan penggubal dasar, rakan kongsi industri, karyawan, serta pemimpin masyarakat dan belia untuk, antara lain, belajar, menjalinkan rangkaian, dan saling bertukar idea.
Acara itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Mendaki yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.
Dalam ucaptamanya, Encik Zaqy berkata bahawa rangkaian karyawan boleh membuka peluang dan kerjaya untuk anak muda masyarakat Melayu/Islam.
Ini berbeza dengan zaman dahulu di mana ramai daripada mereka berjaya melalui percubaan dan kesilapan ataupun bernasib baik dapat bimbingan seorang mentor, tambahnya.
“Melalui Rangkaian Karyawan Mendaki, kita membuka pintu itu dengan sengaja, bukan menyerahkannya kepada nasib.
“Kita menghubungkan anak-anak muda kita dengan peluang. Kita menghubungkan mereka dengan pemimpin industri, tidak kira bangsa atau latar belakang,” kata Encik Zaqy.
Ditubuhkan pada 2019, rangkaian itu merangkumi sektor aeroangkasa, perbankan dan kewangan, pendidikan awal kanak-kanak, kejuruteraan, penjagaan kesihatan, dan sumber manusia.
Ia juga merangkumi sektor perundangan, sains hayat, media dan kreatif, sektor perkhidmatan awam, perkhidmatan sosial, kemampanan, dan teknologi.
Acara #MakingConnections ialah sebahagian daripada acara Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki yang berlangsung dari Jun hingga Oktober – kali pertama ia dilakukan selama tiga bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini sejak ia diperkenalkan pada 2002.
Selaras dengan perkembangan #MakingConnections, Rangkaian Karyawan Mendaki telah berkembang daripada 30 karyawan pada 2022 kepada lebih daripada 1,300 karyawan merentasi 16 rangkaian pada 2026.
Ia mencerminkan peranan golongan karyawan yang semakin meningkat dalam memperkukuh modal sosial, bimbingan dan kepimpinan masyarakat dalam masyarakat Melayu/Islam.
