Singapura harus memperdalam hubungan sesama individu dan memperkukuh sifat kemanusiaan, sedang negara ini menempuhi era teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) kerana hubungan dan sifat sedemikian sukar ditiru oleh AI, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Beliau menukil semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam sebagai contoh yang merangkumi perkara sedemikian, kataya.

Ini memandangkan kekuatan masyarakat Melayu/Islam datang daripada ikatan keluarga dan komuniti yang mendalam, dengan nilai sedemikian hanya dapat dibangunkan melalui pengalaman kehidupan dan hemah manusia sendiri, tambah beliau.

Encik Chee berkata: “Dalam dunia yang pesat berubah, kemahiran teknikal dan ilmu pengetahuan sahaja kini tidak memadai.

“Dengan AI kian menjadi lebih hebat dan penggunaannya berleluasa, apa yang akan membezakan kita sebagai manusia adalah sifat insaniah yang unik – iaitu empati, daya ketahanan, rasa ingin tahu dan keupayaan untuk membina kepercayaan dan hubungan yang bermakna dengan orang lain.

“Ini sifat yang diluntur melalui pengalaman hidup dan pertimbangan manusia serta pembelajaran individu lain… yang tidak dapat ditiru sepenuhnya oleh AI.”

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di edisi ke-10 Simposium Mendaki di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 9 Julai.

Simposium tersebut menghimpunkan cendikiawan, penyelidik dan penggubal dasar, antara lain, bagi membincangkan isu yang menjejas masyarakat Melayu/Islam.

Ia sebahagian daripada acara Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki yang berlangsung dari Jun hingga Oktober – kali pertama ia dilakukan selama tiga bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini sejak ia diperkenalkan pada 2002.

Simposium itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Mendaki yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.

Ini di samping Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, serta sekitar 400 peserta lain.

Encik Chee berkata selain memperdalam hubungan antara individu dan menyemai sifat kemanusiaan, Singapura juga seharusnya memanfaatkan peluang terkait dengan AI dan menggunakan AI sebagai alat yang dapat memudahkan kehidupan atau pekerjaan.

Ini sejajar dengan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya pada Mei sempena Hari Pekerja.

Encik Wong menyifatkan AI sebagai teknologi penentu zaman kini yang mengubah industri dan pekerjaan, selain membentuk semula ekonomi global.

Encik Wong juga mengakui kebimbangan pekerja mengenai jaminan kerja di tengah-tengah revolusi AI ini, sambil menekankan bahawa pemerintah komited melindungi kedua-dua pekerja dan pekerjaan melalui pelbagai usaha.

Sehubungan itu, Mendaki akan memainkan peranannya untuk mempersiapkan masyarakat berdepan dan mengharungi revolusi AI ini, kata Encik Zaqy.

Dalam ucapannya, beliau memberi gambaran revolusi AI ini seumpama tiupan angin yang tidak dapat dikawal.

Namun, dengan “mengembangkan layar”, masyarakat dapat melayari AI dengan penuh keyakinan, katanya.

“Dua dekad lalu, ekonomi beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Pemimpin Melayu/Islam ketika itu menggesa masyarakat menyahut cabaran itu. Lihat di mana kita (masyarakat Melayu/Islam) berada sekarang,” kata beliau, sambil memberi contoh bilangan graduan universiti Melayu/Islam yang kini telah meningkat lima kali ganda berbanding 20 tahun lalu.

Simposium kali ini bertemakan Mengemudi Haluan: Keluarga, Sistem dan Teknologi, dengan salah satu aturcara merangkumi sesi dialog bersama panel yang dianggotai Encik Chee, Encik Feroz dan Profesor bagi Bandar dan Pengangkutan di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Profesor Jinhua Zhao.

Sesi itu dipengerusikan Penolong Profesor Sosiologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Jacqueline Ho, selaku moderator dialog.

Ketika menjawab soalan yang diajukan Dr Ho, Encik Chee berkata AI dapat merapatkan jurang ketidaksamaan, bergantung pada bagaimana ia dicipta dan cara ia digunakan bagi manfaat semua.

Beliau ditanya sekiranya ketidaksamaan akan menjadi lebih parah atau sebaliknya, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan tahap akses sesebuah masyarakat kepada AI.

Encik Chee memberi contoh negara yang keterhadan sumber seperti Singapura, dengan penggunaan AI dilihat sebagai pengisi jurang.

Namun beliau akur ia tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya kepada pasaran bebas kerana ini melibatkan “isu hubungan sosial (dan) kepercayaan”.

“Jika orang ramai bimbang bahawa kehidupan dan mata pencarian mereka tidak terjamin, dibiarkan begitu sahaja dan terumbang-ambing, akan ada banyak tentangan,” ujarnya.

Sementara itu, simposium tersebut turut menyaksikan Encik Feroz membentangkan dapatan hasil Kajian Motivasi Ibu Bapa Terhadap Pendidikan yang dijalankan Mendaki antara Mac dengan April 2026.

Hasil itu mendapati bahawa 28 peratus atau hampir sepertiga daripada ibu bapa Melayu/Islam menetapkan universiti sebagai kayu ukur pelajaran minimum bagi anak mereka.