Pelajar yang mencari tempat yang selesa untuk mengulang kaji pelajaran kini boleh memanfaatkan tiga ruang belajar baharu yang disediakan Yayasan Mendaki secara percuma hingga 26 November.

Dikenali sebagai Ruang Belajar Mendaki, inisiatif itu disediakan di tiga lokasi, iaitu di lantai empat, One Punggol (1 Punggol Drive); kolong Blok 813, Choa Chu Kang Avenue 7; dan besmen satu di Our Tampines Hub (OTH) (1 Tampines Walk).

Ruang di OTH akan dibuka mulai 1 September.

Kesemua ruang tersebut dibuka pada Selasa dan Khamis dari 5 petang hingga 9 malam; serta Sabtu dan Ahad dari 10 pagi hingga 5 petang.

Pelajar tidak perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu, kata Mendaki dalam kenyataannya.

Selain menyediakan ruang untuk belajar secara sendiri atau bersama rakan, pembimbing terlatih turut berada di lokasi untuk membantu pelajar dalam kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran, selain berkongsi teknik pembelajaran.

Minuman dan makanan ringan turut disediakan secara percuma.

Ketika ditemui pihak media pada 27 Ogos di One Punggol, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata:

“Setiap pelajar perlukan ruang yang selesa untuk belajar. Tapi setiap pelajar juga ada keunikan dan keperluan tersendiri.

“Dengan itu, mereka seharusnya mempunyai ruang kondusif untuk memberi tumpuan, belajar dan berusaha mencapai matlamat masing-masing.”

“Persekitaran dan sokongan yang sesuai boleh membawa perubahan bermakna dalam membina keyakinan dan motivasi, serta memupuk tabiat belajar yang baik dalam kalangan pelajar,” tambah Encik Feroz.

Menurut beliau, daya usaha tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan Mendaki di bawah Pelan Kerja Mendaki 2030, yang bermatlamat memberi pelajar Melayu/Islam lebih banyak peluang membuat persiapan dan membina keyakinan menghadapi peperiksaan.

Setiap lokasi boleh menampung sekitar 30 hingga 40 pelajar pada satu-satu masa, dan terbuka kepada setiap golongan pelajar tanpa mengira bangsa atau agama.

Sambutan dan maklum balas pelajar terhadap inisiatif itu akan diambil kira sebelum Mendaki mempertimbangkan untuk meluaskannya ke lokasi lain.

Bagi pelajar Menengah 4, Sekolah Menengah Springfield, Safeera Farzana Kasran, 16 tahun, ruang itu memberinya persekitaran yang lebih kondusif untuk membuat persiapan bagi peperiksaan GCE peringkat ‘O’.

Dengan empat adik-beradik di rumah serta anak saudaranya yang masih kecil tinggal bersama keluarganya buat sementara waktu, Safeera berkata ini kadangkala menyukarkannya untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Ruang belajar Mendaki bukan sahaja menawarkan suasana yang lebih tenang, malah membolehkannya mendapatkan bantuan secara langsung daripada pembimbing apabila menghadapi kesukaran, khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Kimia.

“Ruang belajar ini banyak membantu saya membuat persiapan bagi peperiksaan peringkat ‘O’. Saya boleh memberi tumpuan kepada pelajaran tanpa perlu bimbang mencari tempat duduk.

“Pembimbing juga ada apabila saya memerlukan bantuan dalam kerja sekolah,” katanya.

Salah seorang pembimbing sukarelawan, Encik Adil Hadi Zulkhairil, 23 tahun, berkata menerusi khidmatnya itu beliau perlu menyesuaikan cara mengajar mengikut keperluan pelajar, dan ruang sebegitu menjadi satu lagi wadah untuk mendekati golongan pelajar yang memerlukan bantuan dalam pelajaran.

“Saya harap mereka bukan sahaja meningkat dari segi akademik, bahkan juga menjadi lebih yakin dan berani bertanya soalan,” kata penuntut sepenuh masa di Institut Teknologi Singapura (SIT) yang mengikuti pengajian dalam bidang Kecerdasan Buatan Gunaan itu.