Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: M³+ pencetus perubahan, buka lebih peluang untuk masyarakat Melayu/Islam
Kerjasama agensi pemerintah, pertubuhan bantu keluarga serta belia tangani cabaran semasa
Kerjasama yang diperluas menerusi gerakan M Kuasa Tiga Plus (M³+) membolehkan sokongan yang lebih menyeluruh disalurkan kepada masyarakat, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Pada masa yang sama, beliau menambah bahawa M³+ bertindak sebagai pengubah keadaan, atau game changer, yang membuka lebih banyak peluang untuk masyarakat Melayu/Islam berkembang serta membantu dalam menangani isu-isu semasa.
Encik Zaqy berkata demikian dalam satu wawancara media di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada 24 Ogos, sehari selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026.
Dalam ucapan bahasa Melayunya, Encik Wong telah berkata bahawa satu kekuatan utama masyarakat Melayu/Islam adalah perpaduannya.
Menerusi M³+, lebih ramai rakan kongsi dan sumber dapat dilibatkan, sekali gus membolehkan lebih banyak perkara dicapai, kata Encik Wong.
Mengulas tentang M³+, Encik Zaqy, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), berkata:
“Oleh kerana M³+ merupakan satu ruang di mana agensi pemerintah dapat bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO), termasuk Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), saya percaya gerakan ini satu game changer.”
Encik Zaqy percaya konsep itu membawa pelbagai potensi, sambil menambah bahawa reka bentuk M³+ itu mampu memberi sokongan yang lebih teguh.
“(Kerjasama itu) dapat menangani isu dan memberikan lebih banyak sokongan kepada keluarga yang memerlukan, belia, pekerja, dan juga isu lain seperti isu kesihatan.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai keprihatinan, namun, melalui gabungan ini, kita dapat menyumbang dan membantu masyarakat Melayu kita mekar dan berkembang,” kata Encik Zaqy, yang juga merupakan pengerusi Mendaki.
Peluasan daripada M³ menjadi M³+ diumumkan di Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026 pada Mac lalu.
Usaha itu bertujuan membawa lebih banyak rakan kongsi dan sumber bersama gabungan terdahulu M³ – kerjasama antara Mendaki, MUIS dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).
Ketika ucapan NDR-nya, Encik Wong turut memberi beberapa contoh kolaborasi yang melibatkan antara MMO, serta kerjasama dengan persatuan industri.
Antaranya ialah kerjasama antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), yang bertujuan membuka lebih banyak peluang bagi usahawan asatizah.
Encik Zaqy menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan menyediakan platform buat golongan asatizah memperluas pemahaman serta berkembang ke pelbagai sektor industri lain, sekali gus membolehkan mereka memperkembangkan perniagaan masing-masing.
“Ini mampu memberi mereka pendedahan berlainan dan bagi saya ini satu-satunya perkembangan yang baik dalam persatuan kita,” ujarnya.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai pengiktirafan dan galakan daripada Encik Wong terhadap kepimpinan Melayu/Islam, Encik Zaqy melahirkan penghargaannya dan menambah bahawa barisan kepimpinan itu merangkumi Anggota Parlimen (AP) dan pemimpin MMO.
“Apa yang penting adalah kita teruskan perjalanan ini, kerana banyak telah dilakukan oleh generasi lalu.
“Kita dapat lihat perkembangan masjid kita, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan datang, dan dapat melihat bagaimana anak-anak kita mempunyai prestasi yang lebih baik di sekolah.
“Kita harus menjangkakan isu dan risiko yang mungkin melanda bukan sahaja di dunia dan Singapura, malah terhadap masyarakat Islam kita,” ujarnya.
Encik Zaqy turut menyebut bagaimana Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER) – yang dipimpin bersama oleh AP Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan AP Pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) – mampu memberikan bukan sahaja analisis, malah dalam pelaksanaan program untuk membantu pekerja.
Menurutnya, ia mampu menyediakan sokongan kemahiran dan bimbingan bagi pekerja yang khuatir akan perubahan landskap pekerjaan di tengah-tengah kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Encik Zaqy menambah bahawa kerjasama rentas institusi mampu membantu pekerja yang menghadapi kekangan masa atau rasa bimbang terhadap perkara baharu agar mereka lebih menyedari pelbagai skim sokongan pemerintah yang sedia ada.
