Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, A*Star perluas kerjasama penyelidikan demi perkasa program kanak-kanak, belia

Nov 15, 2025 | 7:24 PM
MOU, Mendaki, meterai, kanak,kanak, belia
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (berdiri, kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), Encik Beh Kian Teik (berdiri, kiri), menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan dan Potensi Manusia Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan, Dr Quek Boon-Kiat (duduk, kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber. - Foto YAYASAN MENDAKI

Yayasan Mendaki dan badan penyelidikan Institut Pembangunan dan Potensi Manusia Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star IHDP) memperluaskan jalinan kerjasama dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) selama dua tahun.

MOU itu ditandatangani pada 15 November oleh Timbalan Pengarah Eksekutif A*Star IHDP, Dr Quek Boon-Kiat dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber.

Ia disaksikan Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) A*Star, Encik Beh Kian Teik.

Pemeteraian MOU itu diadakan sempena acara tahunan Mendaki, Pathways to Success (Haluan Ke Arah Kejayaan), yang bertujuan membantu kanak-kanak kecil dan ibu bapa meraih ilmu pembangunan positif pada 15 November, di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), dengan penyertaan 11 rakan kerjasama.

Mendaki berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penyelidikan tiga teras, meliputi kesediaan kanak-kanak ke sekolah dan peralihan ke peringkat sekolah rendah; kemaslahatan ibu bapa dan hubungan keluarga; serta daya tahan dan kesihatan mental kanak-kanak kecil.

Fokus sedemikian diharap dapat memperkukuh sokongan keluarga, mempertingkatkan persediaan murid ke sekolah dan kesihatan mental kanak-kanak kecil ini.

“Bersama-sama, Mendaki dan A*Star IHDP berhasrat menghubungkan penyelidikan saintifik kebangsaan dengan amalan masyarakat.

“Ini selain membangunkan program berasaskan bukti yang dapat meningkatkan kehidupan keluarga, pupuk keyakinan dalam diri kanak-kanak, dan membina belia yang berdaya tahan dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Pada masa yang sama, ia dapat menyumbang maklumat bermakna yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat lain di seluruh Singapura,” kata Mendaki.

Mendaki dan A*Star IHDP sebelum ini telah menjalin kerjasama pada 2019 untuk menyokong ibu bapa Melayu dan kanak-kanak prasekolah menerusi KelasMateMatika (KMM), kendalian Mendaki.

KMM membantu ibu bapa memahami cara membimbing dan mendorong anak-anak mereka, khususnya dalam membina keyakinan diri dan kemahiran asas celik angka.

Sebagai sebahagian kerjasama tersebut, lebih 300 kanak-kanak telah dinilai menggunakan alat saringan yang dibangunkan A*Star IHDP.

Ketika ditemui, Encik Zaqy berkata: “Penyelidikan yang akan dikendalikan dapat membantu memaklumkan tentang dasar nasional, membimbing badan Melayu/Islam yang mengendalikan program serupa.

“Bagi Mendaki, ia membolehkan kami membangun lebih banyak program berasaskan bukti yang lebih tertumpu pada sasaran tertentu yang dapat memenuhi keperluan keluarga kita.”

Menurutnya lagi, demi memperkukuh program seperti KMM dan usaha mendekati ibu bapa, perkara pertama adalah memahami beberapa pemacu kejayaan, atau cabaran dan halangan bagi kanak-kanak prasekolah membuat persiapan untuk sekolah rendah.

“Ini satu perkara yang berguna dan kritikal, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak pada usia sebegitu.”

KMM mengadakan bengkel dan kegiatan untuk keluarga yang mempunyai anak-anak prasekolah berusia antara empat dengan enam tahun.

Ibu bapa turut melalui sesi yang melengkapi mereka dengan kemahiran untuk mengajar anak-anak konsep celik angka asas.

Sejak 2021, KMM telah memberi manfaat kepada lebih 11,000 ibu bapa dan kanak-kanak, dengan lebih 3,400 ibu bapa dan kanak-kanak telah meraih manfaat daripada lebih 80 sesi KMM pada 2025 sahaja.

Pada acara tersebut, Berita Harian (BH), turut menampilkan reruai Dunia Anak (DNA), iaitu salah satu ruangan mingguan tentang isu berkaitan pembangunan minda dan emosi serta pendidikan si cilik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg