Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yuran $10 daftar tuisyen Mendaki ditiadakan mulai 2026

Nov 3, 2025 | 8:56 PM
Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, Mendaki, MTP
Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, berkongsi yuran pendaftaran sebanyak $10 bagi Program Tuisyen Mendaki (MTP) tidak diperlukan lagi mulai tahun akademik 2026. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Yuran pendaftaran $10 bagi Program Tuisyen Mendaki (MTP) tidak diperlukan lagi mulai tahun akademik 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, pada 3 November.

Berkongsi demikian ketika ditemui pihak media di Wisma Mendaki, Encik Feroz berkata jumlah pendaftaran sebanyak $10 yang dihentikan itu boleh dianggap sebagai penjimatan bagi sesetengah keluarga.

Pelajar yang sedang mengikuti MTP akan dimaklumkan mengenai yuran pendaftaran yang ditiadakan itu melalui SMS pada November, dan juga akan dapat membuat pendaftaran bagi tahun akademik baru.

Sementara itu, pendaftaran bagi pelajar baru akan dibuka pada 1 Disember.

“Walaupun ada bantuan kewangan, ada keluarga yang mungkin tidak menyedari atau berasa segan untuk memohon bantuan.

“Dengan langkah ini, kami berharap dapat memudahkan proses pendaftaran dan menggalakkan lebih ramai pelajar untuk menyertai program kami agar setiap anak Melayu/Islam kita berpeluang mendapat sokongan akademik yang berkualiti,” kata Encik Feroz.

MTP menawarkan bimbingan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, dan penyeliaan kerja rumah oleh pembimbing di Mendaki Homework Café bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pada 2025, terdapat lebih daripada 9,700 pelajar yang mendapat sokongan MTP di 100 pusat fizikal dan dalam talian, dengan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam jumlah pelajar yang berdaftar sepanjang tempoh lima tahun ini.

Dalam pada itu, Encik Feroz turut berkongsi bahawa Mendaki akan memperkasa peranan tutor atau pembimbing para pelajar yang mengikuti MTP.

Selain daripada menjalankan tugas mereka sebagai pendidik, pembimbing MTP juga akan memainkan peranan sebagai jurulatih dan mentor untuk membantu membina keyakinan pelajar serta memberi panduan tentang laluan kerjaya.

“Pada permulaan tahun akademik, kami akan mengadakan sesi untuk tutor kami dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan peranan sebagai jurulatih atau mentor bagi pelajar kami,” jelas Encik Feroz tentang sokongan yang disediakan.

Antara pelajar yang memanfaatkan kelas MTP sejak 2013 adalah empat anak Cik Norliza Md Yusop, seorang suri rumah berusia 43 tahun.

Dengan penjimatan kos sebanyak $20, Cik Norliza berkongsi ia akan dapat membantu meringankan beban keluarganya.

“Selama bertahun-tahun, saya telah melihat bagaimana anak-anak saya mendapat manfaat daripada sokongan akademik tambahan di luar sekolah...

“Walaupun $10 mungkin tidak begitu banyak untuk sesetengah keluarga, wang yang disimpan boleh digunakan untuk keperluan lain seperti alat tulis atau bekalan sekolah,” kata Cik Norliza.

Mulai 2026, dua anaknya, Nurul Asyirin Iswandy, yang akan berusia lapan tahun; dan Nurul Asyiqin Iswandy, yang bakal berusia 10 tahun, akan dapat terus menghadiri tuisyen Mendaki tanpa sebarang bayaran.

Dua lagi anaknya kini berusia 16 dan 22 tahun, tidak lagi mengikuti kelas MTP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg