Ketika rakyat Singapura meraikan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, Cik Nur Hafizah Roslan dan Encik Muhammad Riezwan Mazlan menyambut satu lagi detik yang tidak kurang istimewanya – hari mereka disatukan sebagai suami isteri.

Bagi pasangan yang masing-masing berusia 25 dan 27 tahun ini, tarikh tersebut dipilih demi kemudahan tetamu memandangkan ia jatuh pada hujung minggu yang panjang.

“Dengan adanya cuti umum, keluarga dan rakan-rakan kami mempunyai lebih banyak ruang untuk mengatur masa dan hadir meraikan hari istimewa kami,” ujar Cik Nur Hafizah yang merupakan anak kedua dalam keluarga tiga beradik.

Sebagai pasangan yang mengakui kedua-duanya lebih bersifat introvert, mereka pada awalnya turut menyimpan kebimbangan untuk mengadakan majlis pada Hari Kebangsaan.

Antaranya termasuk isu kesesakan lalu lintas, lokasi sesi penggambaran luar yang padat dengan orang ramai, serta kemungkinan penyedia khidmat yang tidak beroperasi pada cuti umum.

Seramai 21 pasangan dijadual melangsungkan pernikahan pada 9 Ogos 2026, menurut Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dalam satu respons kepada Berita Harian (BH).

Tambah ROMM, persiapan tambahan diaturkan pada tempoh puncak majlis akad nikah bagi memastikan urusan setiap pasangan dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Walaupun sesetengah pasangan memilih tarikh yang signifikan, pasangan juga digalakkan untuk membuat persiapan rapi sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Ini termasuk menghadiri program persiapan perkahwinan serta terus memperkaya diri selepas bernikah melalui program bimbingan dan sumber yang disediakan di peringkat masyarakat dan nasional,” ujar ROMM.

Menambahkan lagi keistimewaan tarikh tersebut, cadangan itu sebenarnya datang daripada ibu pengantin lelaki, Cik Norliza Abdul Kadir, yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-53.

Hadiah hari lahir yang cukup bermakna bagi ibu pengantin lelaki, Cik Norliza Abdul Kadir, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-53 tahun pada 9 Ogos apabila anak sulungnya, Encik Muhammad Riezwan Mazlan, mendirikan rumah tangga dengan Cik Nur Hafizah Roslan pada hari yang sama.
Hadiah hari lahir yang cukup bermakna bagi ibu pengantin lelaki, Cik Norliza Abdul Kadir, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-53 tahun pada 9 Ogos apabila anak sulungnya, Encik Muhammad Riezwan Mazlan, mendirikan rumah tangga dengan Cik Nur Hafizah Roslan pada hari yang sama. - Foto BH oleh KHALID BABA

Beliau, yang biasanya meraikan ulang tahunnya pada tanggal 9 Ogos, berkata majlis kemeriahan bertambah tahun ini, katanya.

“Saya gembira kerana sekarang saya ada seorang lagi anak perempuan. Saya anggap kehadirannya sebagai hadiah hari jadi buat saya,” katanya.

“Sebagai anak sulung dua beradik, Muhammad Riezwan seorang yang bertanggungjawab. Melihatnya kini sudah bergelar suami, saya berharap sifat itu akan terus menjadi pegangannya dalam menjaga isteri dan membina rumah tangga mereka bersama,” kata Cik Norliza.

Semasa ditemui di majlis persandingannya, Encik Muhammad Riezwan yang bekerja sebagai pembantu penjagaan kesihatan pula berkata:

“Selepas mengenali satu sama lain sejak zaman sekolah dan melalui pelbagai fasa kehidupan bersama, saya rasa lega dan bersyukur akhirnya kami sampai ke tahap ini,” tambah Encik Riezwan

Bak ada keberkatan yang mengiringi perkahwinan mereka, segala urusan persiapan majlis Cik Nur Hafizah dan Encik Riezwan dipermudahkan.

Cik Nur Hafizah, yang bertugas sebagai seorang jururawat, turut berkongsi rasa syukur:

“Alhamdulillah, kami tidak menghadapi sebarang masalah atau rintangan besar dalam merancang perkahwinan sejak setahun lalu. Mungkin kerana kami membuat tempahan awal, jadi segalanya menjadi lebih mudah.”

Majlis perkahwinan yang dihadiri sekitar 500 tetamu itu telah diadakan di The Cove @ City Plaza.

Lokasi itu dipilih atas beberapa pertimbangan praktikal, termasuk jaraknya yang dekat dengan stesen MRT Paya Lebar, kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi serta ruang tertutup yang dapat melindungi tetamu daripada cuaca tidak menentu.

Hubungan pasangan itu pula bermula lebih sedekad lalu selepas mereka diperkenalkan menerusi rakan bersama ketika masih bersekolah.

Minat yang sama terhadap permainan video kemudian merapatkan hubungan mereka, sebelum masing-masing membawa haluan sendiri buat beberapa tahun.

Mereka kembali berhubung ketika Cik Nur Hafizah melanjutkan pengajian di politeknik dan Encik Rizewan sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS), sebelum mula menjalin hubungan secara rasmi pada 2021.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan itu akan menetap sementara di kediaman pihak pengantin perempuan sementara menantikan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka di Punggol, yang dijadualkan siap pada suku keempat 2027.

Dalam pada itu, tumpuan kepada kestabilan kewangan dan mendapatkan kediaman sendiri terlebih dahulu sebelum merancang untuk menimang cahaya mata bagi pasangan tersebut.

“Keutamaan kami sekarang ialah mempunyai kediaman sendiri dan membina asas kewangan yang kukuh terlebih dahulu. Kami mahu memastikan kehidupan kami sebagai pasangan sudah stabil sebelum memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk membina keluarga,” kata Cik Nur Hafizah.