Hampir separuh anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) bagi penggal antara 2026 dengan 2028 terdiri daripada anggota baru.
Ini diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada 19 November, ketika menampilkan barisan anggota ARB yang diperbaharui.
ARB, antara lain, bertanggungjawab mengawasi dan mengawal selia pembangunan profesional dan tingkah laku asatizah di Singapura.
Muis menambah Ustaz Pasuni Maulan, yang telah menabur bakti bersama ARB sejak 2007 dan menggalas peranan sebagai pengerusi ARB pada Januari 2023, pula akan mengundurkan diri.
Selain beliau, tiga anggota yang sekian lama berjasa kepada ARB, iaitu Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan, Ustaz Sallim Jasman and Ustazah Dr Sukarti Asmoin, juga akan mengundurkan diri.
Pengunduran mereka dan pelantikan anggota bagi penggal ARB yang baru diraikan dalam satu majlis anjuran Muis di Hotel Furama City Centre pada 19 November.
Majlis itu dihadiri asatizah dan pegawai kanan Muis, dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu terhormat.
Dalam ucapannya, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menjelaskan asatizah merupakan tonggak penyebaran ilmu agama, selain melentur akhlak generasi masa hadapan.
Beliau berkata: “Dalam dunia yang kian berubah-ubah, kita menyaksikan cabaran sejagat yang memerlukan bimbingan rohani yang lebih relevan.
“Justeru, para asatizah memainkan peranan penting dalam memberi sokongan rohani, memupuk nilai kesyukuran, keikhlasan dan amanah dalam membimbing masyarakat supaya mereka memahami tanggungjawab sebagai umat Islam.
“Ini di samping keupayaan bagi mereka menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.”
Beliau juga mengambil kesempatan itu untuk mengumumkan penubuhan Panel Penasihat ARB baru.
Panel tersebut, katanya lagi, akan memberi nasihat strategik mengenai dasar baru ARB, membimbing anggota ARB yang baru serta memberi bimbingan rohani dan sokongan kepada asatizah.
Ia akan dianggotai Ustaz Pasuni, Ustaz Hasbi, Ustaz Sallim dan Ustazah Dr Sukarti – kesemuanya anggota yang bakal mengundurkan diri daripada ARB.
Majlis itu menyaksikan keempat-empat asatizah berpengalaman itu menerima Anugerah Khidmat Setia daripada Dr Faishal, setelah berkhidmat dalam ARB selama lebih 15 tahun lamanya.
Justeru, anggota ARB bagi penggal semasa (2023-2025) dan juga Pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Nor Razak Bakar, bakal menggalas peranan sebagai Pengerusi ARB yang baru, untuk mengetuai 12 anggota, termasuk lima anggota baru.
Muka baru ARB termasuk Ustaz Fazalee Jaafar, Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla, Ustaz Muhammad Azri Azman, Ustazah Khadijah Ramli and Ustazah Zuwainah Kamalutheen.
Ustaz Nor Razak berkata antara bidang tumpuan utama beliau selaku Pengerusi ARB yang seterusnya adalah pengukuhan tadbir urus, mempertingkatkan komunikasi bersama masyarakat dan pembangunan berterusan bagi asatizah.
Mengimbas kembali pengalaman sebagai anggota ARB semasa dan bagaimana ia dapat diterapkan bagi menerajui ARB penggal seterusnya, beliau berkata:
“Cabaran ARB sepanjang penggal lalu adalah dalam memastikan bagaimana asatizah kami dapat dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran terkini.
“Tujuan asalnya adalah untuk mencapai matlamat dakwah yang mereka (asatizah) berikan kepada masyarakat adalah satu tanggungjawab dan (penuh) dengan kasih sayang.
“Jadi cabarannya kini adalah bagaimana kami dapat memastikan setiap penggal ARB, kursus yang diketengahkan adalah sesuatu yang relevan dan praktikal bagi masyarakat Islam Singapura.”
Dalam pada itu, semasa berucap, Ustaz Pasuni berkata adalah penting asatizah masa kini bukan sekadar berilmu, tetapi “beradab, berakhlak dan berpandangan jauh”.
“Cabaran masa depan memerlukan kami (asatizah) lebih cekap, lebih inovatif dan lebih bersatu hati.
“Kita mesti melangkah ke hadapan dengan kesedaran akan perubahan zaman (dan) memastikan setiap langkah yang diambil adalah demi memperkukuhkan institusi ini,” kata beliau, yang juga Naib Pengerusi Masjid Tentera Diraja.
“
“...Para asatizah memainkan peranan penting dalam memberi sokongan rohani, memupuk nilai kesyukuran, keikhlasan dan amanah dalam membimbing masyarakat supaya mereka memahami tanggungjawab sebagai umat Islam.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg