Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seminar didik belia guna teknologi secara bertanggungjawab

Seminar Madrasah Kelapan tumpu kepada fahaman tentang potensi, risiko AI kepada pelajar
Nov 17, 2025 | 7:22 PM
pelajar, belia, madrasah, sekolah sap, teknologi, seminar, ai
Pelajar Institut Hwa Chong, Atria Djie (kiri) bersama pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nur Alya Nabilah Muhammad Farid dan Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi adalah antara 160 pelajar dari madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) yang menyertai Seminar Madrasah Kelapan yang diadakan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada 17 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, pelajar seperti Nur Alya Nabilah Muhammad Farid, 18 tahun, telah mempelajari peri pentingnya untuk menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

Meskipun platform AI seperti ChatGPT boleh membantunya dalam urusan kerja sekolah, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu ingin memastikan dirinya tidak bergantung sepenuhnya kepada wadah tersebut secara membuta tuli.

“Saya biasanya menggunakan AI untuk tujuan pembelajaran seperti menerangkan beberapa kosa kata Arab, membimbing saya menjawab soalan berkaitan Fiqh dalam konteks masa kini, serta membantu saya menjana idea untuk perkara berkaitan majlis pelajar.

“Setiap kali saya menggunakan AI seperti ChatGPT dalam kelas, saya akan sentiasa menyemak semula maklumat tersebut dengan guru saya,” kata Alya.

Beliau antara 160 pelajar dari madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) yang menyertai Seminar Madrasah Kelapan yang diadakan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang terletak di Victoria Lane pada 17 November.

Seminar tersebut, yang bertemakan ‘#Klik untuk Berubah: Belia, AI, dan Ekstremisme dalam Talian’, bertujuan memberi inspirasi kepada para peserta untuk memahami potensi dan risiko AI, di samping memperkukuh nilai-nilai Islam seperti tanggungjawab dan kearifan.

Pelajar dari tiga Sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) iaitu Sekolah Tinggi Dunman (DHS), Sekolah Tinggi Chung Cheng dan Institusi Hwa Chong juga turut serta dalam seminar tersebut.

Bermula sejak 2010, seminar dwitahunan tersebut dianjurkan bersama Madrasah Aljunied serta Madrasah Wak Tanjong dan disokong Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Alya berkata seminar itu telah membantunya menyedari bahawa AI perlu digunakan dengan bijak untuk memastikan maklumat yang diterima adalah tepat.

“Seminar ini telah membantu saya menyedari bahawa sebagai pengguna teknologi, kita seharusnya mengawal AI dan tidak bergantung sepenuhnya kepadanya.

“Sebaliknya, kita menggunakannya sebagai alat untuk membantu kita.

“Oleh itu, kita perlu menggunakannya dengan bijak dan mengikuti langkah-langkah yang betul untuk memastikan maklumat yang diterima adalah tepat,” katanya, yang juga merupakan pelajar prauniversiti madrasah itu.

Mengulas lebih lanjut tentang pengalamannya menggunakan AI, Alya berkata beliau mendapati platform AI lebih cenderung menghasilkan maklumat yang ingin didengari oleh pengguna.

“Amat penting untuk merujuk semula apa yang dijana AI, kepada mereka yang lebih berpengalaman dan mempunyai asas ilmu yang kukuh, seperti para asatizah dan guru.” jelasnya.

Bagi pelajar Institut Hwa Chong, Atria Djie, 17 tahun, seminar tersebut telah membuka matanya terhadap bahaya dan tanda-tanda awal radikalisasi dalam talian.

Beliau mempelajari bagaimana algoritma, permainan video yang diubah suai dan kandungan yang kelihatan tidak berbahaya boleh secara beransur-ansur mempengaruhi pandangan seseorang.

“Berpeluang menghadiri sesi ini dan mendengar secara langsung daripada masyarakat madrasah membantu kami memahami bagaimana radikalisasi berlaku dan tersebar.

“Ia memberikan kami perspektif yang lebih mendalam dan perasaan empati terhadap cabaran yang mereka hadapi, serta membimbing kami tentang apa yang boleh kami lakukan sebagai belia untuk menangani isu-isu ini,” kata Atria.

Semasa berucap di sesi dialog tertutup bersama pelajar pelajar madrasah dan sekolah SAP, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan bahawa memperkasa belia dengan kemahiran celik digital, pemikiran kritikal dan kesedaran etika kini menjadi semakin penting.

Ini lebih-lebih lagi dengan AI yang membentuk landskap ancaman dan telah muncul dalam beberapa kes radikalisasi diri melibatkan golongan belia di Singapura, katanya.

Sehubungan itu, pelajar Madrasah Aljunied yang ditemui BH, Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi, 18 tahun, mendapati bahawa peranan persekitaran dan individu sekeliling memainkan peranan dalam membentuk tingkah laku belia dalam talian.

“Antara perkara yang disentuh dalam sesi tersebut adalah bagaimana seseorang belia atau individu di sekeliling mempengaruhi cara seseorang berkelakuan dalam talian.

“Saya berpendapat peranan orang di sekeliling individu ini, seperti rakan-rakan, ibu bapa dan guru penting kerana mereka memastikan individu tersebut dibimbing secara positif dan berinteraksi dengan orang lain dalam talian secara bertanggungjawab dan sihat,” kata Ahmad Eimran.

AI sebagai alat bantuan belajar

“Seminar ini telah membantu saya menyedari bahawa sebagai pengguna teknologi, kita seharusnya mengawal AI dan tidak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sebaliknya, kita menggunakannya sebagai alat untuk membantu kita.”
Nur Alya Nabilah Muhammad Farid, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg