Dr Mustafa Izzuddin mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Felow Rajawali Asia di Harvard Kennedy School, menjadikannya individu Melayu/Islam Singapura pertama meraih jawatan berprestij itu.
Jawatan itu disokong Rajawali Foundation, sebuah badan amal PT Rajawali Corporation dari Indonesia.
Perlantikan ini menyusuli kejayaan beliau sebagai Felow di Universiti Cambridge pada 2024 dan Universiti Oxford pada 2025.
Selama dua bulan nanti sebagai felow, Dr Mustafa akan memberi tumpuan kepada projek penyelidikan mengenai hubungan Indonesia-China, yang beliau anggap semakin penting untuk kestabilan serantau di Asia Tenggara.
Memberitahu Berita Harian (BH), Dr Mustafa, 45 tahun, berkata tujuan utama penyelidikannya adalah untuk memupuk kefahaman yang lebih mendalam antara rantau Asia dengan dunia Barat melalui projek penyelidikan bebas yang menangani pelbagai isu dasar awam kontemporari Asia.
Selain kajian utamanya, Dr Mustafa berkata beliau juga mengalu-alukan peluang untuk menimba ilmu dari pertubuhan Amerika Syarikat yang dihormati atas penglibatannya dalam dialog antara agama dengan khidmat masyarakat.
Beliau akan memberi tumpuan kepada pembangunan belia, yang merupakan minat yang dipupuk melalui khidmat sukarela beliau dengan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM) dan Majlis Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), serta kesihatan awam berorientasikan keluarga, minat yang beliau bangunkan daripada khidmat sukarela beliau bersama Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC).
Dr Mustafa kini berkhidmat sebagai pensyarah adjung kanan di Kolej NUS, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Beliau dijadualkan kembali mengajar di universiti tersebut pada Januari 2026 selepas tempoh felow di Harvard Kennedy School tamat.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Dr Mustafa berkata perjalanan beliau dalam dunia akademik amat bermakna secara peribadi, lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang pelajar yang ‘biasa-biasa’ sahaja dahulu semasa di bangku sekolah dan mengalami cabaran kesihatan semasa remaja.
“Bagi saya pelantikan berprestij di universiti terkemuka dunia itu mencerminkan ganjaran yang boleh diperoleh menerusi nilai keberanian, usaha dan kegigihan,” ujarnya.
Beliau menambah, perjalanan beliau dalam dunia akademik telah membawanya merantau ke beberapa institusi seberang laut, namun beliau berharap kerjanya juga bakal mempunyai kesan kepada Singapura.
“Memanfaatkan pengalaman global anda adalah penting untuk membantu negara kediaman anda terus maju terutama dalam dunia yang sukar dan kompleks,” katanya, sambil berkata beliau berharap dapat membuka lebih banyak peluang pengajian pascasiswazah di Harvard untuk pelajar dari Singapura, terutamanya daripada masyarakat minoriti.
“
“Memanfaatkan pengalaman global anda adalah penting untuk membantu negara kediaman anda terus maju terutama dalam dunia yang sukar dan kompleks.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg