Daripada menjadi wakil belia untuk Singapura di Sidang Puncak Hijau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok, kepada menulis kertas penyelidikan mencadangkan cara menyepadukan lebih banyak ruang hijau di bandar New York, Amerika Syarikat.
Itulah antara usaha yang dilakukan oleh Cik Sophie Du Toit, 23 tahun, yang tidak pernah menolak peluang mendalami isu iklim dan alam sekitar, apatah lagi yang membawanya ke luar negara.
Namun begitu, pengalamannya di serata dunia telah mencetus keinginan beliau untuk meningkatkan kesediaan masyarakat Singapura dalam menghadapi isu gelombang tekanan haba.
“Hal ini sangat membimbangkan, memandangkan seluruh dunia semakin panas dan ia diburukkan oleh cuaca bahang Singapura.
“Saya dapati kita boleh selalu mencari sudut pandangan dan pengajaran global, tanpa kehilangan hubungan dengan hal ehwal tanah air atau akar umbi,” kata Cik Sophie kepada Berita Harian (BH).
Lantas, beliau menyalurkan semangat itu melalui projek tahun akhir kursus ijazah Pengajian Global di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Dengan kerjasama kumpulannya, Cik Sophie membantu penduduk Singapura berdepan dengan isu gelombang haba dengan cara yang lebih berkaitan dengan pengalaman hidup seharian.
Usaha dan penglibatannya di peringkat antarabangsa dan tempatan, melayakkan beliau menerima Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin 2025 pada 18 Julai dalam satu upacara konvokesyen.
Diperkenalkan pada 2019, anugerah itu dihadiahkan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan turut menunjukkan kecemerlangan dalam menyumbang kepada isu kemasyarakatan dan sejagat.
Dana bagi hadiah tersebut disumbang oleh Zamil dan Pensyarah Kanan Adjung di NUS, Dr Mustafa Izzuddin, sebagai tanda penghormatan kepada ibunya, Cik Femisa Fakhrudin, atau lebih dikenali sebagai Batul Izzuddin.
Cik Sophie sebelum ini menarik perhatian Dr Mustafa sewaktu menghadiri kursus yang diajarnya.
“Cik Sophie memancarkan sifat rakyat global kerana cekap menyalurkan pengalaman antarabangsa untuk memanfaatkan kededua masyarakat Singapura dan negara lain.
“Justeru, beliau sangat layak menerima hadiah ini,” jelas Dr Mustafa.
Cik Sophie juga muncul sebagai pelajar terbaik dalam kelas Dr Mustafa dan untuk kohort Pengajian Global 2025.
Mengimbas kembali sesi temu duganya di kedai kopi dan pusat penjaja makanan kejiranan Pioneer sewaktu menjalankan projek kajiannya, Cik Sophie berkata:
“Tidak semua rakyat memahami kesan bahaya gelombang haba, serta inisiatif pemerintah untuk mengatasi isu iklim.”
Beliau turut bimbang sebahagian rakyat Singapura seperti warga emas kurang memahami tentang bahaya gelombang haba meskipun terdapat maklumat yang ada di sekeliling.
“Satu cadangan kami adalah memperkenalkan bengkel bagi melatih penduduk untuk mengatasi tekanan daripada gelombang haba di kelab masyarakat.
“Seperti di negara lain, kami juga mahu membina sistem sokongan masyarakat yang teguh menjaga satu sama lain untuk mengatasi kemelut gelombang haba,” jelas Cik Sophie.
Cik Sophie dan kumpulannya juga bekerjasama dengan Pusat Ketahanan Haba dan Prestasi Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS, yang menyumbang kepada amalan dan penyelidikan gelombang dan tekanan haba.
Pusat tersebut tertarik dengan cadangan mereka dan bersetuju menghasilkan rakaman pendidikan mengenai gelombang haba, berdasarkan projek mereka, untuk disebarkan melalui media sosial.
Penyelaras Program Ijazah Pengajian Global, Dr George Radics, turut meraikan pencapaian Cik Sophie.
“Saya bangga Hadiah Batul Izzuddin sering dianugerahkan kepada pelajar kursus Pengajian Global sejak ia diperkenalkan.
“Isu global kini lebih rumit dan merentas sempadan... Kursus Pengajian Global memang melatih pelajar mengatasinya dengan lebih fleksibel menerusi kededua pengalaman akademik dan amali,” ujar Dr Radics.
Dr Mustafa berharap lebih ramai pelajar Melayu/Islam akan mempertimbangkan Pengajian Global.
“Kita tidak boleh terlepas daripada isu global kini yang pasti akan memberi kesan kepada kita...
“Kini lebih penting bagi pelajar Melayu/Islam memahami dan membawa perubahan kepada isu-isu sejagat,” ujar Dr Mustafa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg