Topik diikuti
Pergi ke BHkuNilai warisan loji rawatan air Bukit Timah berusia 135 tahun bakal dikaji
Nilai warisan loji rawatan air Bukit Timah berusia 135 tahun bakal dikaji
PUB, NHB: Dapatan beberapa kajian, termasuk kajian awal PUB, akan jadi panduan tentukan penggunaan pada masa hadapan
Nilai warisan loji rawatan air Bukit Timah berusia 135 tahun bakal dikaji
Loji Rawatan Air Bukit Timah – prasarana yang pertama serupa itu di Singapura – bakal dinilai untuk menetapkan kepentingan dan nilai warisannya sedang pihak berkuasa memutuskan langkah seterusnya bagi kemudahan yang tidak lagi aktif digunakan itu.
Dibina dan dibuka pada 1891 dan seterusnya dinaik taraf dari masa ke masa, kemudahan itu mengandungi tangki air bersih lama di bawah tanah, yang mempunyai arca dan tiang bata yang jarang dilihat orang.
Pada 2020, Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, berkata agensi air negara PUB mempunyai rancangan mengubah ruang itu menjadi pusat pendidikan dan ruang pameran.
Hal ini dinilai menerusi satu kajian PUB antara 2020 dengan 2022, di mana agensi itu mengusul supaya ruang itu “berpotensi dijadikan muzium air bertaraf dunia” yang mampu menyediakan “pengalaman berbilang deria air di bawah tanah”.
Kini, Lembaga Warisan Negara (NHB) – agensi awam yang menasihati tentang pemeliharaan dan penyelenggaraan monumen negara – bakal mengadakan lebih banyak kajian mengenai tapak tersebut, lapor The Straits Times.
Kajian tersebut dijangka merangkumi kajian asas warisan serta penilaian keadaan bangunan kemudahan tersebut, dengan tujuan “menentukan pendekatan terbaik untuk melindungi dan memperingati nilai warisannya sambil mengoptimumkan penggunaan tanah dan kemampanan jangka panjang,” menurut satu tender yang diterbitkan oleh NHB.
Secara umumnya, kajian asas warisan melibatkan usaha menyelidik dan merakamkan kepentingan sejarah dan warisan bangunan, struktur dan keadaan sedia dalam sesebuah tapak.
Menjawab pertanyaan ST, PUB dan NHB pada 1 Julai menyatakan bahawa pelbagai kajian itu, yang merangkumi kajian awal PUB, akan menjadi panduan bagi potensi penggunaan tapak itu pada masa hadapan.
Pusat Pengunjung NEWater PUB di Bedok telah ditutup pada 2024 dan belum diganti sejak itu.
Bersempadan dengan kawasan Istana, serta Cavenagh Road, Bukit Timah Road dan Mackenzie Road, kemudahan itu dan sebuah blok flat berhampiran yang dipanggil MacKenzie Apartments menduduki tapak seluas hampir 3 hektar – atau seluas kira-kira empat padang bola sepak.
MacKenzie Apartments mempunyai 16 unit dan kini diuruskan oleh ejen yang dilantik PUB.
Semasa ia dibina, Loji Rawatan Air Bukit Timah mengepam dan merawat air dari Kolam Air MacRitchie untuk disalurkan ke beberapa kawasan di pusat bandar, untuk mengalihkan kebergantungan pada perigi air.
Sebuah loji rawatan kimia di kemudahan itu – loji pertama seumpamanya yang menambahkan fluorida ke dalam bekalan air Singapura – siap dibina pada 1957.
Sejak Disember 2005, loji Bukit Timah itu menjadi kemudahan tambahan dan seterusnya, pada Mac 2009, beroperasi sebagai stesen pam penggalak untuk menambah tekanan dari rangkaian air ke Takungan Perkhidmatan Air Fort Canning.
Arkitek Randy Chan, yang juga merupakan pengetua studio reka bentuk pelbagai disiplin Zarch Collaboratives, pernah terlibat dalam kajian PUB itu yang dianugerahkan kepada firmanya.
Encik Chan berkata kajian tersebut melibatkan cadangan untuk mengubah tangki air bersih lama dan MacKenzie Apartments menjadi sebuah pusat pelawat.
Prasarana lain seperti tangki air bersih baru dan stesen pam berada di luar bidang skop kajian tersebut.
Menurutnya, pihak Zarch Collaboratives mengemukakan beberapa cadangan.
Salah satu daripadanya melibatkan usaha merobohkan blok pangsapuri tersebut, manakala cadangan lain termasuk menggunakannya untuk tujuan seperti pejabat, galeri atau kedai makan.
Encik Chan menambah bahawa orang awam yang ditinjau sebagai sebahagian daripada kajian itu, secara amnya mahu tapak tersebut dikekalkan untuk tujuan warisan.
Mereka juga mahu ia diberikan fungsi baru dengan menggabungkan unsur gaya hidup, sama seperti Bendungan Marina – satu lagi kemudahan milik PUB.
Encik Chan menarik perhatian bahawa salah satu cabaran yang dihadapi tapak itu ialah sama ada ia boleh dimasuki pelawat dengan selesa, walaupun ia terletak di kawasan bandar.
Tapak itu memerlukan pelawat berjalan kaki sejauh 600 meter dari stesen MRT Little India di laluan yang kebanyakannya tidak berbumbung.
Tapak itu juga pada asalnya tidak dirancang dengan kemudahan tempat letak kereta bagi pelawat.
Namun begitu, Encik Chan berkata terdapat ruang bagi kemudahan itu dijadikan tempat persinggahan bagi penunggang basikal dan para pengguna lain di Koridor Hijau Bukit Timah-Rochor, iaitu sebuah taman berpanjangan yang terletak di sepanjang longkang besar Bukit Timah.
Encik Chan juga berpendapat tapak itu patut dipertimbangkan untuk dikekalkan sepenuhnya kerana bangunan-bangunan di sana mempunyai gaya seni bina ala Perancis yang tersendiri.
Penulis isu-isu warisan dan penulis blog, Encik Jerome Lim, menambah bahawa tapak itu wajar dipelihara sebagai monumen negara.
Ini adalah bentuk perlindungan yang paling tinggi bagi mana-mana tapak dan bangunan di Singapura yang mempunyai kepentingan negara dalam bidang seperti sejarah atau budaya.
Encik Lim berkata kemudahan itu “penting bagi sejarah air negara kerana ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membekalkan penduduk dengan air bersih dan bebas keladak.”
Tanpanya Singapura tidak mungkin membangun sebaik hari ini, kata Encik Lim.
“Ia adalah sebuah kemudahan yang lengkap dan contoh hasil kejuruteraan loji air era Victoria yang jarang ditemui di rantau ini,” kata Encik Lim.
Beliau menambah bahawa ia adalah sebuah tapak yang mungkin sering diingati oleh ramai warga Singapura kerana hiasan lampu Hari Kebangsaan pada air pancutnya pada 1970-an.
Encik Lim menarik perhatian bahawa tapak itu unik jika dibandingkan dengan monumen lain, yang kebanyakannya merupakan bangunan institusi awam atau tempat ibadat.
Tapak itu juga merupakan jenis bangunan yang berbeza daripada mantan Stesen Jana kuasa St James – sebuah monumen yang pernah menyediakan utiliti awam sama seperti kemudahan air tersebut.
“Satu langkah yang sangat baik sekiranya tapak itu dapat digunakan semula untuk menceritakan kisah perjalanan air Singapura sebagai sebuah muzium loji air,” tambah Encik Lim.
Encik Chan menambah bahawa Singapura boleh mengambil inspirasi daripada usaha pemeliharaan yang serupa di luar negara.
Di Jepun, misalnya, bekas tapak stesen pam air di Sapporo dan Tokyo telah ditukar dan diberi fungsi baharu untuk kegunaan pendidikan awam.
Bekas tapak Kolam Air Khidmat Sham Shui Po di Hong Kong juga kini dibuka untuk lawatan secara berpandu sendiri.
