Pemilik, penghuni di pesisir S’pura wajib lindungi hartanah dari air laut
Pemilik, penghuni di pesisir S’pura wajib lindungi hartanah dari air laut
Mereka yang memiliki atau menyewa tanah sepanjang garis pantai Singapura akan diwajibkan di bawah undang-undang baru yang diusulkan untuk melaksanakan langkah untuk melindungi kawasan pesisir daripada kenaikan paras air laut.
Jika tidak melakukan demikian, mereka boleh menghadapi denda dan hukuman penjara.
Rang Undang-Undang Perlindungan Pesisir itu telah dibentangkan di Parlimen pada 3 Februari.
Agensi pemerintah, pemilik tanah privet dan pemegang pajak jangka panjang akan diberikan tempoh notis 10 tahun untuk melaksanakan langkah perlindungan pesisir.
Ini termasuk membina dan menyenggara tembok laut serta bendungan, atau menanam pokok bakau, untuk mencegah banjir di kawasan pesisir.
Contohnya, bagi limbungan kapal dan kemudahan simpanan bahan api yang memerlukan akses ke laut, penyelesaian seperti penghadang mudah alih atau sistem pertahanan banjir yang boleh dialihkan boleh dipertimbangkan, kerana ia boleh dipasang sejurus sebelum cuaca buruk melanda.
Kumpulan pertama notis itu dijangka diberikan kepada pemilik tanah yang terjejas mulai awal 2030-an.
Di bawah rang undang-undang tersebut, pemilik tanah pesisir juga perlu melantik pengurus perlindungan banjir yang akan memantau langkah tersebut dan melaksanakan pelan tindak balas banjir.
Pengurus tersebut akan menjadi titik hubungan utama bagi agensi air kebangsaan, PUB, bagi setiap tapak dan perlu menjalani latihan relevan.
PUB dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan bersama berkata:
“Perlindungan pesisir merupakan satu usaha jangka panjang yang memerlukan perancangan dan pembinaan selama bertahun-tahun.
“(Rang Undang-Undang) ini dibentangkan sekarang bagi memberi notis dan tempoh masa yang mencukupi kepada pemilik tanah serta pihak industri untuk membiasakan diri dengan keperluan tersebut.”
Menjelang 2100, purata paras air laut Singapura diunjurkan meningkat sehingga 1.15 meter.
Jika berlaku air pasang besar dan fenomena ekstrem seperti pusuan ribut, paras air laut boleh mencecah sehingga lima meter, sekali gus menyebabkan banjir di pesisir.
PUB dan MSE berkata pemerintah, yang memiliki 70 peratus tanah pesisir, akan bertanggungjawab dalam melindungi sebahagian besar garis pantai.
Bahagian segmen lain dihuni pemilik tanah privet dan pemegang pajak yang akan perlu melaksanakan langkah perlindungan pesisir masing-masing.
Segmen tersebut merupakan kawasan bukan kediaman dan sebahagian besarnya merangkumi limbungan kapal dan pelabuhan, serta perniagaan dalam sektor minyak dan gas serta perkilangan, kata timbalan ketua eksekutif daya tahan banjir PUB, Cik Angela Koh.
Kebanyakannya terletak di sepanjang garis pantai barat daya dan utara, termasuk Pulau Jurong serta kawasan perindustrian di Tuas, Pioneer dan Senoko.
Satu syarat kritikal di bawah undang-undang yang diusulkan itu adalah pemilik tanah mesti memastikan langkah perlindungan pesisir di satu plot tanah disambungkan secara rapat dengan plot tanah bersebelahan bagi memastikan terdapat barisan pertahanan yang berterusan untuk menghalang kenaikan air laut.
Sekiranya pemilik tanah perlu memasuki kawasan tanah pemilik lain untuk tujuan pembinaan, rang undang-undang tersebut akan menyediakan akses dan memudahkan proses tersebut.
Kegagalan untuk memastikan sambungan ini, sehingga menyebabkan air laut melimpah melalui kawasan yang tidak dilindungi, merupakan satu kesalahan.
Kegagalan untuk menyediakan langkah perlindungan pesisir menjelang tempoh ditetapkan atau mengubah struktur tanpa kelulusan PUB boleh membawa hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda $200,000.
Pihak berkuasa akan menerbitkan tataamalan pada pertengahan 2026 untuk melengkapkan pemilik tanah dengan pengetahuan mengenai huraian bagi menangani kenaikan paras air laut serta piawaian yang perlu dipatuhi.

