Anak muda yang tidak pernah menikmati suasana meriah beraya di kampung yang permai berpeluang merasakan keriangannya apabila diundang datang bertandang ke perjumpaan Hari Raya di Kampong Lorong Buangkok, anjuran wadah digital, OMGxBH, pada 19 April.
Hampir 60 anak muda yang merupakan pengikut setia OMGxBH dan jemputan khas hadir pada acara berkenaan untuk makan nasi ambeng sedulang, bermain bunga api, mencuba permainan tradisional dan memupuk semangat muhibah.
Ia diadakan di rumah penghuni Kampong Lorong Buangkok yang dikenali sebagai Mak Hitam.
Kampong Lorong Buangkok ialah kawasan perumahan kampung terakhir di Singapura yang sering menjadi tumpuan bagi rakaman drama nostalgia dan video muzik artis setempat.
Acara ini adalah sebahagian usaha OMGxBH untuk menggabungkan media, budaya dan keterlibatan akar umbi dalam bentuk yang segar namun tetap menghargai warisan.
Menjelaskan tentang kejayaan acara tersebut, Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata:
“Kami menganjurkan perjumpaan Hari Raya OMGxBH di Kampung Lorong Buangkok untuk memberikan kelainan dan membolehkan golongan muda merasai suasana beraya di kampung, sesuatu yang mungkin tidak ramai pernah rasakan.”
Banyak kegiatan boleh dilakukan daripada menikmati kudapan klasik, bergambar di sudut foto bertema, dan mencuba permainan tradisional seperti capteh, batu seremban dan congkak.
Mereka kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan masing-masing yang dinamakan sempena kuih Raya terkenal, untuk mengambil bahagian dalam segmen interaktif termasuk ‘catwalk’ fesyen Hari Raya dan kuiz ‘Lengkapkan Lirik’ lagu-lagu klasik.
Antara mereka yang berpeluang menyertai acara tersebut adalah Encik Muhammad Azly Mohd Som, 31 tahun, seorang penasihat kewangan.
Beliau yang sering hadir di sesi perbincangan Siri Jauhari OMGxBH, berkata:
“Pada mulanya, saya datang sebab tempatnya – saya tak pernah lagi pergi ke kampung di Singapura sebelum ini.
“Jadi apabila dengar ada sambutan Raya di kampung, saya rasa ia satu pengalaman yang unik dan memang terasa ‘vibe’ balik kampung!” katanya, yang gemarkan kandungan isu semasa OMGxBH yang ringkas dan mudah dihadam.
Cik Faiqah Razak, 28 tahun, penggiat seni dan pemilik studio seni, TamanFloraKita, berkata acara seperti ini membuat proses pembelajaran tentang budaya dan bahasa lebih mudah untuk anak muda sepertinya.
“Kadangkala tanpa kita sedari, ia berlaku secara semula jadi melalui pengalaman.
“Daripada pengalaman itu, kita boleh rasa inspirasi untuk terus belajar dan meneroka lebih banyak lagi tentang budaya dan bahasa kita, sesuatu yang saya perolehi daripada wadah OMGxBH,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg