Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Masyarakat Melayu S’pura papar keterlibatan aktif

Mar 29, 2025 | 2:30 PM
Timbalan Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam, berkata penglibatan masyarakat Melayu dalam memberi maklum balas amat memberangsangkan dan berguna.
Timbalan Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam, berkata penglibatan masyarakat Melayu dalam memberi maklum balas amat memberangsangkan dan berguna. - Foto fail

Masyarakat Melayu Singapura menunjukkan keterlibatan aktif dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini bagi menyokong usaha pemerintah menjangkau orang ramai mendapatkan maklum balas, kata Timbalan Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam.

Penglibatan aktif melalui pelbagai saluran Reach, unit maklum balas pemerintah, membantu pemerintah menggubal dasar dengan lebih berkesan, tambahnya.

Beliau berkata: “Penglibatan masyarakat Melayu amat memberangsangkan.

“Kami dapat lihat maklum balas daripada masyarakat… dalam memberi maklumat berguna kepada pemerintah untuk misalnya mengubah cara komunikasi (atau) memperhalusi penyampaian mesej.”

Cik Rahayu, yang juga Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), berkata demikian kepada pihak media bagi menyingkap pencapaian unit maklum balas tersebut sempena ulang tahun ke-40 pada 2025.

Beliau berkata masyarakat Melayu semakin giat memberi pandangan atau maklum balas terhadap sesuatu inisiatif pemerintah melalui unit itu dan ini menunjukkan keinginan kukuh mereka bagi menyumbang suara terhadap pembangunan negara.

Malah, maklum balas antara warga dengan pihak pemerintah penting kerana ia memberi ruang kepada warga mengetengahkan apa jua kebimbangan atau keresahan terhadap sesuatu inisiatif yang dijalankan, ujarnya.

Dari sudut lebih luas, beliau menyentuh berkenaan sambutan baik bilangan individu yang telah dijangkau Reach, yang menurutnya semakin meningkat dalam lima tahun sejak kebelakangan ini.

“Peningkatan ini menunjukkan masyarakat yang lebih matang kerana ramai daripada masyarakat kita berpendidikan dan juga luas membaca.

“Ditambah pula dengan pendedahan kepada isu-isu yang didapati secara dalam talian dan sebagainya, ini membuat mereka menyoal kenapa sesuatu berlaku atau cara lebih baik untuk lakukan sesuatu,” kata beliau.

Ini satu perkembangan yang sihat, selagi mana sumbangan suara ini tidak memecahkan masyarakat dan ia dilakukan secara membina, ujarnya.

Dalam satu kenyataan Reach, ia telah menjangkau lebih 300,000 individu sejak 2023.

Bilangan ini lebih tinggi berbanding lebih 200,000 individu pada 2022 dan 70,000 individu pada 2021, menukil laporan tahunan Reach bagi tahun masing-masing.

Oleh demikian, beliau berkata pemerintah akan terus mempergiatkan usaha, secara khususnya terhadap masyarakat Melayu/Islam, melalui cara khusus bagi menjangkau lebih ramai segmen masyarakat.

Beliau menukil contoh kerjasama dengan cabang audiens muda Berita Harian (BH), OMGxBH, bagi menjangkau golongan muda berusia 15-34 tahun, sebagai salah satu cara khusus yang telah dilaksanakan.

Pada 2024, cabang tersebut menganjurkan Siri Jauhari yang disokong Reach.

Siri itu menampilkan sesi ceramah yang disampaikan pemenang Anugerah Jauhari BH sebelum ini, yang berkongsi rahsia kejayaan mereka.

Sebanyak enam sesi diadakan dan ia telah memberi inspirasi kepada lebih 400 individu muda untuk terus mengejar impian mereka, sambil mengetengahkan isu-isu yang relevan dalam kehidupan mereka.

“Dengan menggunakan ruang yang sudah ada pengikut daripada masyarakat kita, ia memudahkan kami menyampaikan informasi dengan adanya saluran (seperti ini),” tambah Cik Rahayu, yang sudah terlibat bersama Reach selama hampir 20 tahun.

Sehubungan itu, beliau rasa bangga dan terdorong dengan daya penglibatan orang muda dalam menyumbangkan suara mereka kepada pihak pemerintah.

Beliau menyifatkan semangat kewarganegaraan aktif, atau ‘active citizenry’ – iaitu proses yang mana individu mengambil bahagian dalam masyarakat bagi mempengaruhi keputusan – oleh golongan muda yang meningkat sebagai cerminan gaya mereka dibesarkan.

Ini memandangkan mereka merupakan ‘digital natives’, atau warga yang membesar dengan wadah digital, ujarnya.

Beliau berkata: “(Konsep) berbilang bangsa pada golongan ini adalah sesuatu perkara yang biasa.

“Mereka kadangkala hairan kenapa kami sebutkan dan risau mengenai konsep berbilang bangsa ini, kerana golongan ini dibesarkan dalam suasana berbeza, jadi pengalaman mereka juga berbeza.”

“Peningkatan ini menunjukkan masyarakat yang lebih matang kerana ramai daripada masyarakat kita berpendidikan dan juga luas membaca. Ditambah pula dengan pendedahan kepada isu-isu yang didapati secara dalam talian dan sebagainya, ini membuat mereka menyoal kenapa sesuatu berlaku atau cara lebih baik untuk lakukan sesuatu.”
Timbalan Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam, yang juga Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg