Topik diikuti
Pergi ke BHkuOTH tawar tempat letak motosikal percuma, tambahan bagi bantu jemaah solat Jumaat
Langkah Our Tampines Hub (OTH) menawarkan tempat letak motosikal percuma semasa waktu makan tengah hari dari Isnin hingga Jumaat telah memberi manfaat kepada sebahagian jemaah Masjid Darul Ghufran yang menunggang motosikal, terutama semasa solat Jumaat.
Sejak 2024, OTH juga telah menambah seganda jumlah tempat letak motosikal di sana, daripada 68 kepada 143.
Menurut OTH, kadar penggunaan tempat meletak motosikal antara 12 tengah hari dengan 2 petang pada hari bekerja biasa adalah sekitar 50 peratus.
Namun, mulai 12 tengah hari Jumaat, kesemua tempat meletak motosikal biasanya akan dipenuhi.
Pemeriksaan BH selama beberapa hari di kawasan itu mendapati terdapat sekitar 250 tempat meletak motosikal di empat blok HDB. Kebanyakan tempat meletak motosikal itu mula dipenuhi pada 12 tengah hari Jumaat juga.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) jurucakap OTH berkata ia mengambil langkah untuk menambah tempat meletak motosikal dan menyediakan tempat tersebut secara percuma pada masa tertentu sebagai usaha untuk menangani masalah motosikal yang diletak secara sembarangan di kawasan tersebut.
Justeru, ia bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk mendapatkan kelulusan bagi menambah jumlah tempat meletak motosikal di hab tersebut.
“Terdapat juga penunggang yang meletakkan motosikal secara tidak sah berhampiran masjid kerana kurang tempat meletak motosikal. Kami turut dimaklumkan mengenai kejadian motosikal diletakkan secara tidak sah di tempat letak kereta sehingga menghalang akses kepada alat pemadam api dan laluan pejalan kaki.
“Bagi menangani keadaan itu, nasihat sebelum ini telah diberikan kepada penunggang yang melanggar peraturan, manakala pegawai keselamatan tambahan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu menguruskan keadaan pada Jumaat.”
“Dengan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap keperluan masyarakat, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih menyenangkan untuk semua.
“Kami berharap tempat meletak motosikal tambahan ini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi penunggang motosikal yang sukar mendapatkan tempat letak kenderaan apabila menunaikan solat Jumaat di masjid,” katanya.
Usaha ini menawarkan pilihan tambahan kepada pegawai operasi eksekutif, Encik Muhamad Khir Muhamad Hafidz, 26 tahun, yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Ghufran hampir setiap minggu.
“Di Masjid Darul Ghufran, situasinya ialah jemaahnya ramai dan tempat letak kenderaan terhad. Jadi, harus mencari tempat di tempat letak kereta di perumahan HDB di sebelah atau di hadapan masjid.
“Masalah lain timbul apabila selepas solat, keadaan nak keluar tempat letak kereta itu agak sesak dengan banyak kenderaan yang ingin keluar pada masa yang sama. Jadi, terpaksa harus tunggu selama kira-kira setengah jam,” jelas Encik Khir.
Oleh itu, inisiatif ini memberikan kesan positif kepada jemaah seperti beliau, serta menambah rasa tenang dan selesa semasa menunaikan solat, kata Encik Khir.
