Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panel penilai: Jasa di medan tentera, sastera tanda cinta pada masyarakat

Nov 7, 2025 | 8:30 PM
panel, hakim, Anugerah, Jauhari
Panel pengadil dipimpin Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed (tengah); dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (kiri). Anggota lain termasuk mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Profesor Madya di Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Intan Azura Mokhtar (dua dari kiri); Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat (kanan); serta Ahli Lembaga Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani (dua dari kanan). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Yang seorang mengukir nama dalam medan ketenteraan yang sarat disiplin, manakala yang seorang lagi menghubungkan jiwa melalui bahasa dan keindahan puisi.

Pada majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 dan Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025 di Hotel Four Seasons pada 7 November, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, dan Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, diraikan kerana menzahirkan makna sebenar kepimpinan, berkhidmat dengan tekad dan menginspirasi dengan jiwa. 

Menjelang edisi ke-27 Anugerah Jauhari, anugerah tersebut terus menghargai anggota masyarakat Melayu/Islam yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah turut mengangkat martabat masyarakat melalui kepimpinan, daya kreatif dan keutuhan semangat juang. 

Pemilihan 2025 ini dijalankan oleh panel pengadil yang diterajui Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; serta anggota lain termasuk mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Profesor Madya Kelompok Perniagaan, Perhubungan dan Rekaan di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; serta Ahli Lembaga Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.

Bagi panel pengadil, kededua penerima anugerah 2025 mencerminkan dua arah perjalanan yang berbeza, namun meraih matlamat yang sama – seorang melalui disiplin dan tanggungjawab, manakala seorang lagi melalui empati dan penyuburan budaya.

Pencapaian BG Fairoz bukan sekadar kejayaan peribadi malah penanda aras bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, menurut sentimen pengadil.

Pegawai berusia 45 tahun itu merupakan anggota Melayu kedua yang berjaya mencapai pangkat BG dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) – satu pengiktirafan yang, menurut panel, mencerminkan dedikasi, kewibawaan dan kepercayaan.

Dr Norshahril berkata: “Saya fikir kita harus melihat pencapaian BG Fairoz secara menyeluruh.

“Beliau memegang pangkat Brigedier-Jeneral, dan itu sendiri merupakan pencapaian yang luar biasa dalam masyarakat meritokrasi seperti Singapura.”

Pencapaian tersebut turut menangkis persepsi lama tentang kedudukan masyarakat Melayu dalam bidang pertahanan negara. 

Seperti yang ditegaskan Dr Norshahril, kejayaan BG Fairoz “menjadi isyarat orang Melayu mempunyai peranan dalam ketenteraan, dan turut menyumbang kepada pertahanan negara.”

Di luar tugas profesionalnya, penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan termasuk menerusi M Kuasa Tiga (M³) turut menonjol. 

Dr Norshahril menyifatkan hal itu sebagai “keseimbangan antara kerjaya dengan khidmat kepada masyarakat,” sambil mengingatkan kejayaan sejati “bukan sekadar mendaki tangga pangkat, malah memberi kembali kepada masyarakat”.

“Dalam apa jua bidang, kita boleh berjaya. Tetapi jangan sesekali melupakan akar umbi. Teruslah kembali menyumbang,” tambah beliau.

Pandangan itu turut dikongsi ahli panel lain yang berharap semangat BG Fairoz akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam mengejar cita-cita.

Encik Zainul pula menyifatkan BG Fairoz sebagai “contoh teladan yang kita cari”.

“Bukan mudah untuk berada dalam angkatan tentera. Namun, BG Fairoz telah menepati jangkaan dan terus menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.”

Jika kisah BG Fairuz menjelmakan semangat disiplin dan kepimpinan, perjalanan Cik Nur Aisyah Lyana pula menggambarkan keberanian dalam menyemai dan mencipta jaya.

Wanita berusia 28 tahun itu ialah pengasas bersama Meja Conteng, Kelana Pantun Temasek dan Rumah Rima – tiga kolektif yang memperkenalkan semula seni sastera Melayu kepada generasi muda dengan cara yang segar dan bermakna.

“Beliau bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik,” ujar Dr Intan Azura Mokhtar, “malah menunjukkan semangat tinggi dalam pelbagai inisiatif berkaitan masyarakat, isu sosial dan alam sekitar, sambil terus memperjuangkan seni sastera Melayu”.

Ketabahan Cik Nur Aisyah Lyana turut mengagumkan.

Encik Fazlur menyifatkannya sebagai “teladan dan pemangkin positif kepada masyarakat.”

Meskipun pernah menjaga ibu bapa yang uzur dan kini menuntut di luar negara, beliau mengatasi segala cabaran dan tetap mencari jalan untuk berbakti – melalui Meja Conteng, kerja sukarelawan, serta mewakili Singapura di pentas antarabangsa.

“Beliau mempunyai minat, bakat dan sumbangan yang tersendiri kepada masyarakat.

“Melalui Meja Conteng, beliau memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan anak muda - bukan sekadar menghargai bahasanya, bahkan juga memahami budaya di sebaliknya.”

Daripada medan ketenteraan hingga ke pentas sastera, kedua-dua penerima itu mengingatkan masyarakat betapa kecemerlangan bukan bersifat satu dimensi.

Seperti yang dirumuskan Encik Zainul, Anugerah Jauhari kekal sebagai cerminan aspirasi masyarakat – “satu peringatan agar kita terus melangkah ke hadapan, mencapai kecemerlangan, dan menjadi inspirasi kepada sesama kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg