Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanel perubatan haji: Kesihatan bakal jemaah akan dinilai secara adil, telus
Peranan Panel Perubatan Haji bertujuan merangka satu sistem penilaian kesihatan berstruktur yang saksama, bagi bakal jemaah, kata Ketua Pegawai Perubatan Haji 2027, Dr Siti Sarina Mohd Sairazi.
Beliau menambah, langkah itu bukan sahaja memberi panduan jelas kepada Doktor Keluarga (GP) dalam menilai ketahanan fizikal jemaah, malah memastikan setiap permohonan dinilai secara adil dan telus demi menjamin keselamatan jemaah sepanjang beribadah di Tanah Suci.
Bercakap kepada wartawan selepas majlis taklimat mengenai perkembangan haji 2027 di Hab Islam Singapura pada 4 September, Dr Sarina menjelaskan bahawa walaupun panel berkenaan telah ditubuhkan bagi musim haji 2026, peranan mereka akan dipertingkat.
Antaranya, mereka akan menilai tahap kesihatan jemaah secara lebih terperinci bagi musim akan datang.
Menurut Dr Sarina yang turut menganggotai panel tersebut, pengalaman semua anggota panel yang pernah menunaikan haji memberi kelebihan untuk merangka penilaian yang menepati syarat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu).
Selain itu, ia menyokong keperluan khusus jemaah sepanjang perjalanan ibadah mereka, tambahnya.
“Peranan panel tersebut adalah untuk merangka satu penilaian (kesihatan) berstruktur yang adil kepada bakal jemaah itu sendiri. Ini bagi memastikan mereka benar-benar dapat menikmati ibadah haji yang selamat,” kata Dr Sarina.
Pada 4 September, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan bahawa penilaian kesihatan akan diperketatkan bagi bakal jemaah Haji 2027.
Ini bagi memastikan jemaah mencapai tahap kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu).
Jemaah dikehendaki menjalani ujian klinikal, ujian darah, imbasan X-ray dada, ujian elektrokardiogram (ECG), serta penilaian keupayaan bergerak.
Ujian dapat memastikan sekiranya jemaah menghidapi penyakit kronik.
Antaranya, kegagalan buah pinggang, masalah jantung serius, dan kekuatan untuk berjalan, yang menjadi antara peraturan yang ditetapkan Mohu bagi jemaah haji.
Hasil daripada penilaian kesihatan terbaru itu, bakal jemaah haji akan digolongkan dalam tiga kategori – A, B, dan C.
Bagi yang berada dalam kategori A, mereka disahkan sihat dan boleh meneruskan ibadah haji mereka.
Manakala bagi mereka yang digolongkan dalam kategori B dikira sebagai ‘samar-samar’ antara sihat dengan tidak sihat.
Panel Perubatan Haji kemudiannya akan membuat semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon layak atau tidak layak, dari sudut kesihatan, untuk menunaikan haji.
Bagi yang berada dalam Kategori C, mereka digolongkan sebagai tidak sihat dan akan dirujuk untuk pengurusan rawatan serta diminta menangguhkan hasrat untuk menunaikan haji.
Menurut Dr Sarina, anggota seramai empat pengamal perubatan dan seorang fisioterapi itu akan mengadakan perbincangan sesama anggota panel berkaitan jemaah yang berada dalam Kategori B.
Mereka bukan sahaja meneliti sejarah dan penilaian perubatan bakal jemaah, malah, mengenalpasti aspek kesihatan tertentu yang boleh diperbaiki untuk membantu mereka menunaikan ibadah haji dengan selamat pada 2027.
Sementara itu, seorang lagi anggota panel yang juga merupakan Doktor keluarga, Banyan Clinic@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata bahawa panel tersebut bertanggungjawab menilai tahap kesihatan jemaah secara terperinci sebelum memutuskan mereka layak ke Tanah Suci.
“Pihak kami berhasrat memberikan peluang kepada setiap jemaah.
“Walau bagaimanapun, sebarang isu kesihatan yang dikesan perlu dirawat dan diatasi terlebih dahulu demi pertimbangan keselamatan mereka,” ujarnya.
Penolong Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Cik Noor Faizah Mustaffa, turut berkongsi pengalaman di Tanah Suci semasa musim haji 2026 apabila terdapat jemaah yang mengalami masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau sesak nafas walaupun sudah menjalani penilaian kesihatan sebelum berangkat.
Maka, beliau berharap bakal jemaah haji dapat memastikan bahawa mereka menjalani proses penilaian kesihatan dengan jujur dan amanah.
“Ia bukan sahaja memudahkan urusan ejen pelancongan tapi bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah mereka sendiri dengan berdikari dan juga sempurna,” kongsinya.
