Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan penilaian kesihatan yang lebih ketat bagi bakal jemaah Haji 2027.

Ini bagi memastikan jemaah mencapai tahap kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu).

Penilaian itu merangkumi ujian klinikal, ujian darah, imbasan X-ray dada, ujian elektrokardiogram (ECG), serta penilaian keupayaan bergerak.

Sebelum ini penilaian bagi jemaah Haji 2026 hanya bergantung pada borang soal selidik pengisytiharan sendiri serta semakan rekod perubatan menerusi sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) apabila bakal jemaah itu pergi ke salah satu klinik di sini.

Demikian dikongsi MUIS dalam satu taklimat dengan wartawan mengenai perkembangan terkini Haji di Hab Islam Singapura pada 4 September.

Selain itu, Panel Perubatan Haji atau Haj Medical Panel – yang julung kali ditubuhkan bagi musim haji 2026 – akan memainkan peranan lebih mendalam untuk menilai tahap kesihatan jemaah secara terperinci.

Panel yang dianggotai empat pakar perubatan berpengalaman dan seorang fisioterapi, kesemuanya pernah menunaikan haji, akan bertindak untuk menyemak dan menilai sekiranya kesihatan jemaah membenarkan mereka untuk menunaikan haji.

Mengulas mengenai penilaian tambahan itu, jurucakap MUIS menjelaskan kepada Berita Harian (BH) bahawa sistem penilaian kesihatan bagi musim haji 2026 tidak mencukupi bagi memenuhi kriteria kesihatan ketat yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Antara syarat utama yang ditetapkan Mohu pada 2026 ialah jemaah bebas daripada penyakit kronik – seperti kegagalan buah pinggang, masalah jantung serius, ibu yang hamil, atau kebergantungan pada kerusi roda – sebelum mereka diberikan visa haji.

Memandangkan beberapa jenis penyakit memerlukan ujian perubatan khusus, piawaian penilaian kesihatan tersebut perlu diketatkan.

“MUIS sedang menyelaraskan penilaian kesihatan mengikut syarat baharu yang ditetapkan oleh Mohu.

“Berdasarkan senarai penyakit berkenaan, tidak semua masalah kesihatan boleh disahkan menerusi pengisytiharan sendiri mahupun rekod sedia ada dalam NEHR semata-mata,” jelas jurucakap itu.

Sehubungan itu, doktor keluarga, Banyan Clinic@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata terdapat jemaah haji 2026 yang telah menunaikan ibadah tersebut berdasarkan kenyataan kurang tepat yang diberikan kepada doktor.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis taklimat di Hab Islam Singapura, beliau, yang juga merupakan anggota Panel Perubatan Haji, berkata:

“Pihak Saudi telah memberitahu kami bahawa ada beberapa jemaah yang memerlukan rawatan semasa melakukan haji, serta memberi maklum balas kepada Muis agar meningkatkan kualiti (kesihatan) jemaah yang diluluskan.

“Maka, tahun akan datang (2027), kami memerlukan maklumat yang lebih terperinci menerusi ujian darah, ECG, dan X-ray untuk memastikan jemaah itu dapat kelulusan bagi menunaikan haji dengan sempurna.”

Sependapat, Ketua Pegawai Perubatan Haji 2027, Dr Siti Sarina Mohd Sairazi, pula berkata bahawa penilaian sebelum ini lebih bersifat subjektif, berbanding penilaian terbaru yang lebih objektif.

“Langkah ini membantu kami memberikan penilaian yang lebih tepat mengenai kemampuan seseorang untuk mengharungi cabaran fizikal ibadah haji yang berat selama beberapa hari dalam keadaan cuaca yang amat ekstrem,” katanya.

Kededua Dr Zuraimi dan Dr Sarina telah menghadiri taklimat mengenai perkembangan haji itu, yang turut disertai Penolong Pengarah Pejabat Haji Muis, Encik Mohd Faizal Abdul Hathi dan Penolong Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Cik Noor Faizah Mustaffa.

Menurut MUIS, Mohu menegaskan bahawa jemaah yang didapati menghidap penyakit yang tidak melepasi syarat kelayakan semasa berada di Arab Saudi berkemungkinan perlu menanggung sendiri kos perubatan yang tidak dilindungi insurans.

Selain itu, Mohu telah memaklumkan kepada Pejabat Urusan Haji bahawa negara asal jemaah boleh dikenakan tindakan bagi menanggung sebarang kos tambahan – seperti bil rawatan hospital – sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat kesihatan yang telah ditetapkan.

Bagi memudahkan bakal jemaah mendapatkan perkhidmatan penilaian kesihatan secara sehenti (all-in-one), MUIS telah melantik dua penyedia perkhidmatan perubatan iaitu SATA CommHealth Medical Centre dan HMI Medical Centre.

Cawangan SATA CommHealth terletak di Ang Mo Kio, Chai Chee, Jurong Gateway, dan Woodlands South, manakala HMI Medical Centre pula beroperasi di Tras Street dan Farrer Park Station Road.

Menurut MUIS, pakej penilaian lengkap di klinik yang dilantik itu adalah jauh lebih berpatutan berbanding jika jemaah melakukan ujian secara berasingan (a la carte) di klinik lain.

Anggaran kos penilaian di klinik lantikan tersebut adalah sebanyak $125, berbanding sekitar $150 jika ingin melakukan ujian bergerak (a la carte) di klinik lain.

Antara penilaian pergerakan terbaru yang akan dilaksanakan bakal jemaah ialah ujian berjalan enam minit untuk mengukur daya tahan serta kecergasan stamina, dan ujian ‘Timed Up and Go’ (TUG) bagi menilai tahap keseimbangan serta kelincahan pergerakan jemaah.

Melalui perkhidmatan di klinik yang disediakan, bakal jemaah dapat menjalani kesemua ujian perubatan yang diperlukan dalam masa satu hari sahaja.

Bakal jemaah kemudian akan dibahagikan kepada tiga kategori – A, B, dan C.

Bagi mereka yang berada di kategori A, mereka disahkan sihat dan boleh meneruskan ibadah haji mereka.

Manakala bagi mereka yang berada di kategori B, mereka dikira sebagai ‘samar-samar’ antara sihat dengan tidak sihat.

Panel Perubatan Haji kemudiannya akan membuat semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon layak atau tidak layak dari segi perubatan untuk menunaikan haji.

Bagi mereka yang berada dalam Kategori C, mereka dikategorikan sebagai tidak sihat dan akan dirujuk untuk pengurusan rawatan serta diminta menangguhkan hasrat untuk menunaikan haji.

Sesuai dengan syarat kesihatan yang dikenakan Arab Saudi, Jawatankuasa Fatwa juga telah mengeluarkan fatwa pada Oktober lalu di mana individu yang tidak diberikan visa haji disebabkan masalah kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah haji mereka sehingga sembuh.

Bagi mereka yang tidak berkemungkinan sembuh daripada penyakit, mereka boleh mewakilkan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak mereka atau badal haji, tetapi mesti dilaksanakan mengikut peraturan haji yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu MUIS turut mengumumkan bahawa kuota jemaah haji Singapura pada musim akan datang ialah sebanyak 900 tempat.

Pemohon yang mendaftar sebelum 7 Mac 2014 akan menerima Surat Hasrat (LOI) menerusi portal MyHajSG bermula 14 September 2026.

Pemohon dikehendaki melakukan penilaian kesihatan mereka atas kos tanggungan sendiri sebelum atau pada 13 Oktober 2026.

Laporan perubatan akan diserahkan terus kepada pemohon oleh penyedia perkhidmatan perubatan yang dilantik.

Pemohon yang disahkan sihat perlu menerima LOI tersebut melalui portal MyHajSG menjelang 18 Oktober 2026.

Pemohon yang layak, disahkan sihat, dan telah menerima LOI akan menerima Surat Tawaran (LOO) bermula 20 Oktober 2026.

Mereka wajib membeli pakej haji daripada ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik Muis sebelum 2 November 2026.

Senarai GSA yang dilantik Muis serta pakej haji akan diumumkan sebelum 14 September.

Sama seperti musim Haji 2026, pemohon berusia 70 tahun ke atas yang telah menerima LOI dan disahkan sihat akan terus diberikan keutamaan bagi musim Haji 2027.