Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan buka pintu rumah kepada lima anak titipan
Skim keluarga titipan sedia khidmat sokong penjaga dari segi kewangan, bimbingan
Pasangan buka pintu rumah kepada lima anak titipan
Tidak semua anak-anak yang melangkah masuk ke rumah mereka mempunyai pertalian darah.
Namun, bagi Cik Siti Rahmah Abdul Hamid, 67 tahun, dan suaminya, Encik Abdul Jalil Mohamed Ali, 68 tahun, setiap seorang daripada mereka tetap mempunyai tempat dalam keluarga mereka.
Sejak 2005, pasangan itu telah membuka pintu rumah mereka kepada lima anak titipan, termasuk dua kanak-kanak berkeperluan khas berusia tiga dan 14 tahun yang masih dalam jagaan mereka.
Atas dedikasi selama 21 tahun itu, mereka diiktiraf menerusi Anugerah Sukarelawan Cemerlang di Anugerah Sukarelawan dan Rakan Kongsi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) 2026.
Perjalanan mereka bermula apabila Cik Rahmah, seorang suri rumah, mula berasa kesunyian setelah dua anak perempuannya semakin membesar dan sibuk dengan persekolahan.
Beliau, yang gemar menjaga anak jiran dan kenalan, kemudian mendapat tahu mengenai skim keluarga titipan melalui seorang sepupu.
Namun, keputusan itu tidak dibuat terburu-buru.
Pada mulanya, kedua-dua anak perempuannya agak keberatan kerana bimbang kasih sayang dan perhatian ibu mereka akan terbahagi.
Sesuai dengan itu, Cik Rahmah sanggup menunggu hampir setahun sehingga anak-anaknya benar-benar bersedia menerima kehadiran ahli keluarga baharu.
Kini, anak-anaknya yang berumur 35 dan 33 tahun bukan sahaja merestui, malah turut sama membantu menjaga, mendidik, dan membimbing perkembangan anak titipan tersebut.
Walau demikian, menjaga kanak-kanak berkeperluan khas membawa cabaran tersendiri.
Anak titipan mereka yang kini berusia 14 tahun mengalami kelewatan perkembangan sejak bayi, termasuk kesukaran berjalan dan bertutur.
Namun, hasil bimbingan doktor, ahli terapi dan pihak sekolah, dia kini mampu mengurus dirinya sendiri, membantu kerja rumah serta pulang dari sekolah secara berdikari.
Malah, dia turut berkebolehan dalam seni lukisan Cina.
“Alhamdulillah, dia boleh urus diri dia sendiri. Itu yang paling penting,” kata Cik Rahmah, yang turut melahirkan rasa bangga melihat perkembangan anak tersebut.
Anak titipan mereka yang berusia tiga tahun pula pada mulanya kerap mengamuk dan mengalami kesukaran bertutur.
Namun, dengan kesabaran dan bantuan ahli keluarga serta ahli terapi, kanak-kanak itu kini semakin yakin berkomunikasi.
“Walaupun kadang-kadang perkataan tertentu masih belum jelas, tapi dia dah ada keyakinan nak cakap. Dia nampak gembira dan tak banyak mengamuk,” ujar beliau.
Cik Rahmah menambah bahawa beliau turut mempelajari kaedah penjagaan melalui video, pengalaman ibu bapa lain dan nasihat profesional.
Beliau menegaskan bahawa keluarga titipan tidak perlu menghadapi cabaran tersebut bersendirian.
“Kalau kita ada masalah, cakap sahaja dengan mereka. Mereka akan bantu,” katanya merujuk kepada sokongan pegawai, sekolah dan pihak perubatan.
Di Singapura, MSF menyediakan elaun bulanan antara $1,100 dengan $1,800 kepada ibu bapa titipan, bergantung pada usia dan keperluan penjagaan anak.
Bagi keluarga Islam yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aspek agama dalam penjagaan anak titipan, MSF turut menyediakan dokumen soal jawab khusus mengenai pengambilan anak titipan menurut Islam.
Walaupun usia mereka sudah semakin lanjut, pasangan itu tidak berhasrat menghentikan usaha mereka selagi berkemampuan.
Pasangan tersebut berkongsi bahawa antara kenangan paling bermakna ialah apabila seorang anak titipan yang pada mulanya menangis dan enggan mengikut mereka pulang, akhirnya menjadi begitu rapat sehingga mesra memanggil mereka ‘ibu’ dan ‘abah’.
Walaupun sedih apabila anak tersebut kembali kepada keluarga kandungnya, Cik Rahmah dan suaminya yang merupakan seorang pesara, memahami bahawa penjagaan titipan bertujuan menyediakan tempat yang selamat sementara diperlukan.
Berkongsi mengenai pengiktirafan yang diterima, Cik Rahmah berkata:
“Sebenarnya, Cik tidak mengharapkan apa-apa anugerah untuk apa yang Cik dah buat.
“Anugerah ini, anak-anak ini yang terjaga. Alhamdulillah, mereka ada rasa bahagia, dapat merasa suasana kekeluargaan.”
Beliau berharap lebih ramai keluarga tampil membuka pintu rumah kepada kanak-kanak memerlukan, khususnya mereka yang mempunyai keperluan khas.
“Yang paling penting, diri kita sendiri mesti ingat, apa yang kita nak buat ini semuanya mesti dengan ikhlas, amanah.
“Terima mereka seadanya... jangan bezakan anak kita dengan mereka,” ujar beliau.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penjagaan titipan boleh menghadiri Fostering Open House 2026 pada 24 Oktober 2026, dari 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang, di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.