Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG Enable tubuh pusat sehenti bantu orang kurang upaya, majikan perihal pekerjaan
SG Enable tubuh pusat sehenti bantu orang kurang upaya, majikan perihal pekerjaan
Pihak majikan dan orang kurang upaya yang memerlukan bantuan berhubung pekerjaan, tidak lama lagi akan mempunyai pusat sehenti untuk mendapatkan sokongan dengan penubuhan Pejabat Sokongan Pekerjaan (ESO) kendalian agensi sosial, SG Enable.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan pada 4 Oktober menyatakan ESO akan menawarkan antara lain khidmat nasihat kerjaya dan peningkatan kemahiran bagi golongan kurang upaya.
Ia bakal beroperasi mulai separuh kedua 2027, dengan pusat itu bakal ditempatkan di Enabling Village di Lengkok Bahru, kata SG Enable.
MSF juga menyatakan ia akan memperkemas geran sedia – meliputi Geran Mereka Semula Pekerjaan, Geran Latihan dan Geran Pembangunan Majikan – dengan menggabungkannya di bawah satu geran yang dipanggil Geran Pemerkasaan Pekerjaan (EEG).
Buat masa ini, majikan perlu mengemukakan permohonan berasingan bagi setiap geran kerana fungsi geran sedemikian adalah berbeza-berbeza, sekali gus menyulitkan permohonan.
Ia dijangka memberikan lebih fleksibiliti kepada majikan untuk menyesuaikan sokongan bagi setiap pekerja kurang upaya, kata MSF.
MSF menambah bahawa Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC) yang diperkenalkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2021 juga akan ditingkatkan.
Di bawah manfaat skim semasa, majikan yang menggajikan pekerja kurang upaya bawah $4,000 setiap bulan boleh menerima subsidi gaji sementera sehingga 20 peratus daripada pendapatan pekerja berkenaan, dihadkan kepada $400 setiap bulan.
Majikan juga boleh menerima tempoh bagi subsidi gaji sementara sehingga sembilan bulan bagi pekerja kurang upaya yang tidak bekerja selama sekurang-kurangnya enam bulan, sebelum mereka diambil bekerja.
Dengan peningkatan EEC, MOM akan menaikkan had siling pendapatan, kuantum, dan tempoh bagi subsidi gaji sementara yang boleh diterima pihak majikan, kata MSF. Kedua-dua EEG dan EEC akan dilaksanakan mulai 2027.
Pelaksanaan ini dibuat menyusuli laporan saranan Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya yang diterbitkan pada 4 Oktober.
Laporan itu antara lain membentangkan saranan pasukan petugas berbilang agensi dalam usaha mengukuhkan lagi sokongan pekerjaan bagi golongan kurang upaya dan pihak majikan.
Hasil laporan itu mendapati golongan kurang upaya antara lain sukar mendapatkan pekerjaan sesuai dan wujudnya jurang kemahiran, di samping kadar pengekalan pekerjaan yang rendah serta kepelbagaian pekerjaan yang terhad.
Ini meskipun kadar pekerjaan bagi golongan kurang upaya telah meningkat secara stabil sejak saban tahun – bagi 2024 hingga 2025, kadar ini adalah 34.7 peratus, naik berbanding 33.6 peratus yang dicatatkan bagi 2023 hingga 2024, menukil edisi terkini Tinjauan Tenaga Pekerja Komprehensif (CLFS) MOM.
Berkongsi semasa sidang media bagi mengupas saranan yang dibentangkan di Enabling Village pada 2 Oktober, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, berkata EEG misalnya dapat mendukung keperluan majikan dan pekerja dengan lebih baik.
Beliau, yang juga anggota pasukan petugas itu, menjelaskan: “Sebelum ini, apabila geran-geran ini diasingkan, dasar (pelaksanaan) dan cara permohonan geran ini lebih ketat.
“Tetapi dengan menggabungkan geran sedemikian menjadi satu... kami dapat memahami dengan lebih baik keperluan sokongan (oleh majikan dan pekerja) dan bagaimana geran dapat memberikan fleksibiliti bagi majikan menggunakan dana (daripada EEG) untuk memacu persekitaran pekerjaan lebih kondusif.”
SG Enable buat masa ini menyediakan antara lain khidmat mencari pekerjaan dan khidmat latihan pekerjaan bagi orang kurang upaya, menurut laman rasmi agensi itu.
Namun berbeza dengan khidmat sedia ada yang ditawarkan, ESO bakal menyediakan lebih banyak perkhidmatan relevan dan akan turut “mengambil pendekatan lebih sistematik dan bersepadu” untuk menyokong pihak majikan pada masa yang sama, kata laporan itu.
Pihak majikan pula akan dibantu mengenal pasti dan mereka semula bidang pekerjaan yang sesuai bagi golongan tersebut – termasuk peluang atau peranan baru bagi golongan ini menabur bakti dalam operasi perniagaan masing-masing.
Sehubungan itu, laporan tersebut menyatakan antara usaha yang bakal dilakukan SG Enable termasuk menghasilkan buku panduan bagi sektor berpotensi tinggi yang dapat memanfaatkan tenaga kerja orang kurang upaya.
Sektor ini termasuk industri makanan dan minuman (F&B), penginapan, kesihatan dan khidmat sosial, pengangkutan, perdagangan runcit, kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tambah laporan itu.
MSF dan SG Enable akan turut melancarkan Geran Pemerkasaan Sokongan Perusahaan (SEEG) pada suku keempat 2026.
Menurut MSF, SEEG adalah sokongan dana bagi perusahaan yang sebahagian besar tenaga kerjanya dibentuk oleh golongan kurang upaya berkeperluan sederhana.
Selain itu, laporan itu menyatakan SG Enable akan meningkatkan sokongan dengan antara lain melanjutkan tempoh sokongan pekerjaan selepas pekerja kurang upaya mendapat pekerjaan dan memperluas penyedia perkhidmatan agar keperluan dan aspirasi individu berbeza dapat dipenuhi sebaik mungkin.