Kira-kira 1,800 pekerja pengurusan haiwan perosak sepenuh masa dan sambilan di Singapura akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji serta laluan kerjaya yang lebih jelas apabila Model Gaji Progresif (PWM) bagi sektor tersebut dijangka diperluas.

Langkah yang diumumkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dalam satu kenyataan bersama pada 15 Julai itu bermakna PWM bagi sektor tersebut merangkumi teknisyen dan pekerja kawalan vektor berlesen, menurut

Kelompok Perikatan Tiga Pihak bagi pengurusan haiwan perosak (TCPM) - merangkumi wakil daripada persatuan industri, kesatuan dan agensi pemerintah -sedang ditubuhkan untuk membangunkan dan memantau pelaksanaan PWM. Langkah ini bagi memastikan para majikan membayar gaji pekerja sejajar dengan kemahiran, daya penghasilan dan prestasi kerja mereka.

Kelompok tiga pihak itu akan dipengerusikan oleh  Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah. Beliau akan dibantu pengerusi bersama, Encik Kung Teong Wah yang merupakan wakil SNEF merangkap pengurus besar kelompok Parkroyal Collection Pickering dan Parkroyal on Beach Road.

Cadangan yang dikemukakan oleh TCPM merangkumi strategi mengenai kenaikan gaji mampan yang sejajar dengan tanggungjawab lebih tinggi dan peningkatan tahap daya penghasilan serta piawaian. Ia juga akan memantau pematuhan PWM dan kesannya terhadap industri berkenaan.

Dr Wan Rizal berkata tugas seorang pekerja pengurusan haiwan perosak genting dan amat mencabar dalam landskap bandar Singapura yang dipenuhi estet perumahan dan pusat makanan.

“Kerja-kerja pengurusan haiwan perosak melerlukan kemahiran pakar, daripada mengenal pasti kejadian haiwan perosak kepada melaksanakan langkah kawalan haiwan perosak untuk menggunakan bahan kimia secara selamat demi mengurangkan risiko kepada kesihatan awam,” kata beliau.

Semasa lawatan ke syarikat kawalan haiwan perosak EcoSpace Pest Management di Tampines North pada 15 Julai, Pengarah syarikat Servcare Services, Encik Chan Kwang Wei, mengongsi mengenai cabaran fizikal dan tenaga manusia yang sering dihadapi teknisyen di tapak kerja. Menurutnya, penggunaan teknologi seperti dron dan peranti pemantauan langsung telah mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengesan serta menangani kawasan tumpuan pembiakan dengan ketara.

Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang melakukan lawatan ke syarikat itu menarik perhatian bahawa industri pengurusan haiwan perosak merupakan sektor ke-10 yang disertakan dalam PWM. Tambahnya, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk memulakan perbincangan dengan para majikan, pekerja dan pihak berkepentingan bagi memahami industri itu.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Melvin Yong, yang telah menyarankan peluasan industri pengurusan haiwan perosak sejak 2021, menyambut baik langkah itu. Beliau berkata langkah tersebut akan menaikkan taraf pekerja dalam sektor tersebut.

Pada bulan-bulan mendatang, TCPM akan berunding dan mendampingi pihak berkepentingan industri bagi memastikan PWM itu mampan dan disesuaikan mengikut keadaan khusus sektor berkenaan.