Gaji pekerja sektor khidmat makanan naik mulai 1 Jul

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji pekerja sektor khidmat makanan naik mulai 1 Jul

Lebih 53,000 pekerja di pusat makanan, syarikat katerer dan dapur pusat bakal raih manfaat
Mar 16, 2026 | 7:12 PM

Gaji pekerja sektor khidmat makanan naik mulai 1 Jul

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ekonomi, gaji naik, pekerja sektor khidmat makanan
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash (dua dari kanan), menemui pekerja Swensen’s di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi bersama Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling (empat dari kanan), pada 16 Mac. - Foto ST

Pekerja dalam sektor perkhidmatan makanan boleh menjangkakan kenaikan gaji tahunan sehingga $145 bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Julai.

Ini setelah pemerintah menerima saranan Kelompok Tiga Pihak bagi Perkhidmatan Makanan (TCF) berkenaan Model Gaji Progresif (PWM).

Demikian menurut kenyataan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 16 Mac.

Sektor tersebut merangkumi lebih 53,000 pekerja sepenuh masa dan sambilan yang beroperasi di pusat makanan, syarikat katerer dan dapur pusat, termasuk pembantu gerai makanan dan minuman, tukang masak, pelayan serta penyelia pelayan.

Mulai 1 Julai, pekerja sektor perkhidmatan makanan akan menerima gaji permulaan sekurang-kurangnya $2,220 di bawah PWM, meningkat $140 daripada $2,080.

Dari 2026 hingga 2028, gaji kasar bulanan asas perlu meningkat daripada $2,220 kepada $2,500.

Sebagai contoh, pembantu gerai minuman dengan gaji kasar bulanan $2,080 ketika ini akan dapat membawa pulang $2,500 menjelang Julai 2028.

Pekerja yang mempunyai tanggungjawab lebih tinggi seperti penyelia pelayan boleh menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak $145 dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pekerja sambilan yang ditakrifkan sebagai individu yang bekerja kurang dari 35 jam seminggu juga akan meraih manfaat daripada skim ini.

Gaji kasar sejam mereka akan dikira secara prorata berdasarkan pekerjaan selama 44 jam seminggu.

Sebagai contoh, seorang pekerja perkhidmatan makanan sambilan yang memperoleh gaji $10.91 sejam pada Mac 2026 akan menerima $13.11 sejam menjelang Julai 2028.

Peningkatan gaji itu merupakan peningkatan kali kedua bagi sektor perkhidmatan makanan, yang mula melaksanakan PWM pada 2023.

Apabila ditemui pihak media di Swensen’s Unlimited di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkata pemerintah sedang memantau keadaan ekonomi ekoran ketegangan geopolitik semasa.

“Kami terus memantau sektor (perkhidmatan makanan) dan keadaan ekonomi dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.

“Kami mengambil berat tentang sistem geopolitik, dan kami akan mengambil kira perkara itu bagi langkah seterusnya,” kata Encik Dinesh.

Setakat ini, para pekerja telah menikmati jadual kenaikan gaji asas yang berterusan selama tiga tahun, dengan peningkatan sehingga 19 peratus dari 2023 hingga 2025.

PWM, yang diperkenalkan pada 2014, bertujuan meningkatkan taraf pekerja bergaji rendah di Singapura melalui perkembangan gaji secara berperingkat.

Langkah tersebut juga dapat membantu syarikat menarik bakat serta memastikan prospek pekerjaan yang lebih baik untuk para pekerja.

Dalam pada itu, model PWM tersebut turut diperkenalkan dalam beberapa sektor lain seperti penyelenggaraan landskap dan keselamatan.

Antara saranan lain yang diterima pemerintah termasuk memperluaskan senarai modul latihan di bawah rangka kerja Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).

Para pekerja dikehendaki melengkapkan dua modul latihan tersebut di bawah PWM.

Bagi memenuhi keperluan latihan minimum, individu yang mempunyai kelayakan berkaitan daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL) dan institusi pendidikan swasta juga akan diiktiraf.

Mulai Julai 2026, pekerja sektor perkhidmatan makanan yang mengikuti kursus latihan jangka pendek juga akan menerima elaun latihan yang lebih tinggi iaitu $10.50 sejam, meningkat dari $6 sejam sebelumnya.

Ini merupakan penambahbaikan kepada peringkat asas Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja yang bertujuan menggalakkan pekerja yang menerima gaji tidak melebihi $3,000 sebulan agar mempelajari kemahiran baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg