Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelbagai kegiatan pembelajaran interaktif Raikan Ilmu@Heartlands di Woodlands
Pelbagai kegiatan teknologi, seni, dan penyelesaian masalah di Woodlands
Pelbagai kegiatan pembelajaran interaktif Raikan Ilmu@Heartlands di Woodlands
Acara Raikan Ilmu@Heartlands meneruskan siri bergeraknya di Kelab Masyarakat Woodlands pada 19 dan 20 September, dengan pelbagai kegiatan merangkumi bidang teknologi, seni dan penyelesaian masalah.
Ini termasuk bengkel pengekodan Minecraft, cabaran mengendalikan dron, pengalaman menggunakan simulator penerbangan serta persembahan teater bangsawan Akademi Opera.
Pengunjung juga berpeluang mencuba kegiatan tenunan serta mempelajari bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan pemikiran manusia boleh digunakan untuk mengasah kemahiran matematik.
Dianjurkan Yayasan Mendaki, inisiatif bagi 2026 menawarkan lebih 100 kegiatan dengan kerjasama lebih 90 rakan kongsi.
Dalam pada itu, edisi Woodlands merupakan sebahagian daripada Raikan Ilmu 2026 yang diperluas ke 11 lokasi dari Julai hingga Oktober.
Setiap lokasi Raikan Ilmu@Heartlands menampilkan empat zon utama yang sejajar dengan Pelan Kerja Mendaki 2030 iaitu pelajar yang berkeyakinan, keluarga yang kukuh, pekerja yang bersedia untuk masa hadapan dan masyarakat yang terus berkembang maju.
Usaha itu bertujuan memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat, di samping menggalakkan orang ramai agar terus meneroka ilmu dan kemahiran baharu, kata Mendaki.
