Pengalaman sebagai ibu tunggal membuat Cik Zahara Abdullah mudah meluahkan dan menjiwai lakonannya dalam satu acara kemasyarakatan.
Cik Zahara, 68 tahun, yang mengambil bahagian berlakon dalam segmen pementasan interaktif oleh Play Inc, di satu acara sebahagian daripada Cinta Minda Bersama, Jom Sihat Bersama menganggapnya sebagai satu usaha menyampaikan pengajaran sepanjang pengalamannya bergelar ibu tunggal.
Cinta Minda Bersama, Jom Sihat Bersama merupakan satu acara yang bertujuan mengetengahkan isu berkaitan kesihatan mental dan fizikal.
Ia merupakan satu inisiatif gabungan oleh M Kuasa Tiga (M3) @ Jalan Besar dan M3@Pasir Ris-Changi, yang telah berlangsung pada 20 September lalu.
Cik Zahara yang merupakan bekas akauntan telah melakonkan watak sebagai anak kepada ibu tunggal yang mengalami tekanan dalam menangani masalah kewangan.
Menurut Cik Zahara, beliau mudah mengaitkan diri dengan babak tersebut kerana beliau juga merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak selepas pemergian suaminya pada 2000.
“Ia mengingatkan saya tentang perjalanan saya — bagaimana saya menguruskan anak-anak ketika mereka masih kecil, ketika mereka bersekolah. Ia mengembalikan kenangan. Saya juga pernah menjual kuih untuk meraih pendapatan lebih seperti apa yang dilakonkan,” kata beliau.
Sewaktu di pentas, Cik Zahara sebagai ‘anak’ menasihati agar watak ‘ibu’ yang dilakonkan seorang lagi pelakon agar bersabar dan memberikan beberapa jalan penyelesaian seperti menolongnya dengan kerja rumah dan jualan kuih demi meringankan tekanan si ibu.
Kata Cik Zahara, apa yang diluahkan ialah apa yang beliau pernah hadapi serta bantuan yang pernah diterima dahulu.
Beliau harap apa yang dikongsikan bukan sahaja memberi kesan kepada ibu bapa tetapi kepada anak-anak yang juga memainkan peranan dalam memberikan sistem sokongan yang padu.
Turut hadir di acara tersebut ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah, selaku penasihat M3@Jalan Besar.
Ketika dihubungi Berita Harian, Dr Wan Rizal berkata:
“Pementasan interaktif seperti ini menggalak komunikasi kerana ia menyampaikan mesej yang rumit dengan cara yang mudah difahami oleh semua peringkat usia. Ia juga membantu menjadikan perbincangan tentang kesihatan mental sebagai perkara biasa dalam masyarakat Melayu, sedangkan topik ini masih dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.”
“Yang paling penting, persembahan hari ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukanlah sesuatu yang perlu disorokkan, tetapi sesuatu yang boleh dihadapi bersama-sama sebagai keluarga dan masyarakat.” tambahnya lagi.
Play Inc juga mengetengahkan isu yang melibatkan kesihatan mental dalam kalangan belia serta bagaimana ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjadi teladan yang positif.
Acara Cinta Minda turut menampilkan sesi dialog tentang bagaimana setiap ahli keluarga seperti bapa, ibu, dan anak muda juga menghadapi tekanan mental yang berbeza, namun sering berkaitan.
Ia disertai pengasas pertubuhan sukarelawan belia, MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, Encik Yuzaimi Zainal seorang pembimbing kebapaan dari Bapa Sepanjang Hayat dan Cik Shasha Ya’kob, seorang pencipta kandungan serta ejen hartanah.
Para panelis juga berkongsi tentang strategi praktikal untuk membina daya tahan mental dalam keluarga, termasuk bagaimana untuk menggabungkan nilai-nilai Islam dan budaya Melayu dengan pendekatan moden terhadap kesihatan mental.
Pengerusi M3@Jalan Besar, Encik Didicazli Ismail yang ditemui pula berkata:
“Cinta Minda diadakan setiap tahun kerana ia adalah penting untuk kita meneruskan perbualan tentang kesejahteraan mental dan menepis sebarang stigma yang masih wujud tentang topik berkenaan. Ini supaya kita boleh menggalakkan mereka untuk mencari bantuan jika diperlukan juga.”
Sebelum ini, secara asingnya, M3@Jalan Besar telah mengadakan inisiatif Cinta Minda yang memberi tumpuan kepada kesihatan mental sejak tiga tahun lalu, manakala M3@Pasir Ris -– Changi memberikan tumpuan kepada kesihatan fizikal menerusi acara Jom Sihat Bersama.
Namun pada 2025, inisiatif Cinta Minda Bersama, Jom Sihat Bersama merupakan suatu kolaborasi pertama antara M3@Jalan Besar dengan M3@Pasir Ris – Changi untuk mengumpulkan penduduk daripada daerah-daerah tersebut, menghadiri acara yang mengetengahkan kesihatan mental dan fizikal.
Edisi kali ini mempunyai dua acara – yang pertama, iaitu Cinta Minda, memberikan tumpuan kepada kesihatan mental keluarga di Kelab Masyarakat Kolam Ayer di bawah naungan M3@Jalan Besar dan acara kedua, Jom Sihat Bersama, yang akan berlangsung di Pasir Ris Mall pada 27 September di bawah naungan M3@Pasir Ris-Changi dan akan mengetengahkan aspek kesihatan fizikal melalui sesi zumba dan latihan kekuatan.
“Gabungan ini juga menekankan kepentingan dalam mengimbangi kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan kedua-dua penduduk di daerah M3 tersebut. Justeru kedua-dua pihak M3 bekerjasama memandangkan kita masing-masing mempunyai kepakaran dalam aspek kesihatan tersebut,” tambah Encik Didicazli.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg