Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah kongsi risikan sulit dengan sektor kritikal bagi tangani ancaman siber

Shanmugam: S’pura perlu sedia hadapi ancaman siber yang kian canggih, kemungkinan sebahagian serangan mampu tembusi pertahanan
Oct 21, 2025 | 5:12 PM
Pemerintah S’pura, maklumat risikan sulit, tangani ancaman siber
Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, memberi ucapan sempena Persidangan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW). - Foto ZAOBAO

Pemilik prasarana kritikal terpilih di Singapura bakal menerima bantuan tambahan dalam usaha mengesan ancaman siber dan menguji ketahanan sistem mereka.

Buat julung-julung kalinya, pemerintah akan berkongsi maklumat risikan ancaman sulit dengan organisasi dalam sektor kritikal seperti tenaga, telekomunikasi dan kewangan sebagai langkah pencegahan terhadap serangan siber yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pengumuman itu dibuat Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) pada 21 Oktober.

Menurut beliau, pemerintah perlu melakukan lebih daripada sekadar mengikuti pendekatan kawal selia tradisional dengan pemilik prasarana kritikal – yang menghadapi ancaman siber canggih yang disokong oleh kuasa besar.

Encik Shanmugam berkata:

“Kami telah memutuskan bahawa perubahan besar ini perlu dilakukan bagi mengimbangi kekuatan antara pihak penyerang dengan pertahan, serta membantu mengubah arus dalam memerangi ancaman siber.”

Beliau turut menekankan bahawa organisasi perlu membina daya tahan dan bersiap sedia untuk terus beroperasi sekiranya sistem mereka terganggu kerana Singapura berdepan ancaman siber yang semakin canggih dan ada kemungkinan sebahagian serangan mampu menembusi pertahanan.

“Oleh sebab itu adalah penting untuk memperkukuh kerjasama antara pemerintah dengan rakan teknologi utama supaya dapat berkongsi maklumat risikan, menyekat serangan dan menutup rangkaian yang digunakan oleh penyerang siber,” ujarnya.

Singapura juga akan terus memperkukuh tata tertib antarabangsa berasaskan undang-undang dalam bidang siber bagi menggalakkan kerjasama global, tambah beliau.

Encik Shanmugam turut mengingatkan serangan siber boleh berpunca dari mana-mana sahaja di dunia, dan sering disalurkan melalui pelbagai perantaraan, menjadikan pengesanan dan pencegahan jauh lebih sukar.

Langkah-langkah ini diumumkan selepas pihak berkuasa mengesan serangan kumpulan UNC3886 terhadap prasarana kritikal di Singapura.

“Singapura sering menjadi sasaran serangan siber.

“Kedudukan geopolitik kita dan tahap keterhubungan digital yang tinggi menjadikan kita sasaran yang menarik,” jelas Encik Shanmugam.

Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata Singapura akan terus memperkukuh tata tertib antarabangsa berasaskan undang-undang dalam bidang siber bagi menggalakkan kerjasama global.
Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata Singapura akan terus memperkukuh tata tertib antarabangsa berasaskan undang-undang dalam bidang siber bagi menggalakkan kerjasama global. - Foto ST

Dalam ucapan pembukaannya di persidangan yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands itu, Encik Shanmugam turut menegaskan bahawa pemerintah akan mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap penyerang siber.

“Kami akan mengambil tindakan terhadap pelaku siber berniat jahat, tanpa mengira sama ada mereka menyerang sasaran di Singapura atau menggunakan Singapura sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap negara lain,” ujar beliau.

Menurutnya, Singapura telah menemui pihak asing yang cuba mempengaruhi politik domestik di sini, sama ada secara nyata atau di Internet.

Menggariskan isu campur tangan asing semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Shanmugam berkata bahawa terdapat pihak asing yang “menggunakan ruang siber kami untuk menyasar secara langsung rakyat Singapura agar mereka mengundi mengikut pilihan pihak asing tersebut”.

“Hantaran mereka di media sosial turut dikongsi secara meluas dalam masyarakat Singapura,” katanya.

Encik Shanmugam turut menambah bahawa dalam tempoh setahun yang lalu, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah mengenal pasti rangkaian berbahaya yang melibatkan enam warga asing yang bekerja dan beroperasi dari Singapura.

Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan siber berbahaya.

“Individu-individu ini dipercayai telah mengimbas dan menggodam pelbagai laman web luar negara.

“Salah satu tujuan mereka melakukan ini adalah untuk memperoleh maklumat sejumlah besar individu, termasuk yang berada di luar Singapura, yang kemudiannya dijual untuk keuntungan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg