Ruang siber kini semakin berpecah belah, lantas memerlukan kemahuan politik daripada pemerintah seluruh dunia dan kerjasama dalam kalangan rakan berfikiran serupa untuk menangani ancaman siber yang kian meningkat, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Berucap di Persidangan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 20 Oktober, Cik Teo berkata perintah antarabangsa berasaskan peraturan dicabar dalam pelbagai bidang, termasuk ruang siber.
Antaranya, pelaku ancaman yang ditaja negara telah memperhebatkan tindakan mereka, menyerang prasarana kritikal seperti pertahanan, syarikat telekomunikasi, dan pertubuhan teknologi di pelbagai negara.
Penjenayah siber juga semakin berani, dengan pertubuhan daripada lapangan terbang hingga ke rantaian pasar raya, syarikat pengeluar kereta dan juga kilang bir, telah menjadi mangsa serangan perisian tebusan, atau ransomware, sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, permintaan jumlah tebusan juga telah meningkat dan jutaan dolar telah dibayar.
Singapura juga tidak terkecuali, kata Cik Teo.
“Prasarana kritikal kita telah diserang pelaku ancaman tahap tinggi yang berterusan ditaja negara. Hampir lapan daripada 10 pertubuhan telah mengalami serangan siber; kebanyakannya oleh penjenayah siber.
“Perkembangan ini mempunyai risiko mengancam keselamatan negara kita dan cara kita hidup secara digital.
“Jika tidak ditangani dengan baik, ia juga berisiko menjejas kemajuan yang telah dibuat ke arah mewujudkan perintah siber antarabangsa berasaskan peraturan,” kata beliau.
Dunia telah membuat kemajuan dalam memperkukuh kepercayaan dan kerjasama antarabangsa dalam bidang siber sepanjang dekad yang lalu, kata Cik Teo.
Misalnya, di peringkat sejagat, Kumpulan Kerja Terbuka (OEWG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyelesaikan proses berbilang tahun dan mencapai konsensus mengenai penubuhan mekanisme tetap untuk meneruskan perbincangan mengenai tingkah laku negara yang bertanggungjawab dalam ruang siber.
Antara lain, pemerintah berfikiran serupa telah bersatu melalui daya usaha seperti Inisiatif Menentang Perisian Tebusan untuk berkongsi amalan terbaik, membina rangka kerja yang sama dan bekerjasama untuk menangani ancaman siber.
Di peringkat industri pula, sebagai sebahagian daripada Pertukaran Isyarat Global, tiga syarikat teknologi gergasi – Google, Meta dan Microsoft – telah bekerjasama dengan pertubuhan sektor swasta dan awam untuk berkongsi isyarat ancaman dalam masa nyata.
Bagaimanapun, Cik Teo berkata terdapat banyak lagi yang boleh dan sepatutnya dilakukan.
Beliau memberi contoh bagaimana Asean merupakan satu-satunya rantau yang telah mengamalkan 11 norma tingkah laku negara bertanggungjawab dalam ruang siber PBB.
“Di peringkat domestik, pemerintah memerlukan kemahuan politik dan menumpukan perhatian terhadap pengukuhan keupayaan dalam keselamatan siber.
“Di peringkat antarabangsa, rakan kongsi yang berfikiran sama mesti bekerjasama untuk menjadi berkesan terhadap musuh seperti penjenayah siber dan ancaman lanjut berterusan (APT),” kata beliau.
Cik Teo menambah bahawa sektor swasta juga memainkan peranan penting, kerana syarikat teknologi memiliki dan mengawal bahagian penting prasarana digital dan data.
“Setiap daripada anda mesti bertindak secara bertanggungjawab, bertanggungjawab terhadap keselamatan sistem anda dan bekerjasama dengan pemerintah untuk menghadapi cabaran dalam bidang siber,” kata beliau.
“
“Prasarana kritikal kita telah diserang pelaku ancaman tahap tinggi yang berterusan ditaja negara... Perkembangan ini mempunyai risiko mengancam keselamatan negara kita dan cara kita hidup secara digital. Jika tidak ditangani dengan baik, ia juga berisiko menjejas kemajuan yang telah dibuat ke arah mewujudkan perintah siber antarabangsa berasaskan peraturan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg