Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin pelbagai agama luah perpaduan dengan masyarakat Melayu/Islam

Sep 27, 2025 | 8:34 PM
k. shanmugam, masjid al-istiqamah
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam (kanan), berinteraksi dengan pemimpin masyarakat selepas memberi kenyataan kepada media di Masjid Al-Istiqamah pada 25 September, sehari selepas kejadian bungkusan mengandungi daging khinzir. Menyusuli kejadian itu, pemimpin agama serta pertubuhan pelbagai kepercayaan di Singapura turut menyatakan perpaduan mereka dengan masyarakat Islam. - Foto fail

Pemimpin agama dan pertubuhan daripada pelbagai kepercayaan di Singapura menyatakan perpaduan mereka dengan masyarakat Islam susulan kejadian bungkusan mengandungi daging khinzir yang diterima Masjid Al-Istiqamah pada 24 September.

Antara pemimpin agama yang menzahirkan sokongannya ialah Biskop Philip Lim daripada Gereja Methodist Singapura, yang menyuarakan kebimbangan dan kesedihan terhadap tindakan provokatif itu.

Dalam satu kenyataan pada 26 September, Biskop Lim menyifatkan kejadian itu sebagai ancaman terhadap struktur masyarakat Singapura dan menjejaskan nilai saling menghormati serta keamanan yang telah lama dijunjung.

“Setiap daripada kita mempunyai peranan dalam memupuk kefahaman dan niat baik terhadap masyarakat kita, termasuk mereka yang berbeza agama.

“Singapura ialah contoh sejagat keharmonian agama, dibina melalui usaha berterusan dan tekad selama bertahun-tahun. Kita tidak seharusnya menganggap remeh keharmonian tersebut,” tulisnya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, rangkaian gereja di Singapura, LoveSingapore, menyatakan keprihatinan mereka dan menekankan bahawa setiap masyrakat berhak untuk beribadah dalam keadaan selamat.

Menukil kata-kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, mereka berkata tindakan tersebut ibarat “bermain dengan api” dan ia tidak wajar berlaku di Singapura serta menjejaskan kepercayaan yang mengeratkan masyarakat majmuk Singapura.

Dalam satu kiriman Instagram pada 26 September, LoveSingapore berkata:

“Kepelbagaian dan perbezaan bukan alasan untuk menghina atau merendahkan martabat sesiapa pun. Apabila satu agama disasarkan, keamanan semua tergugat.”

Pemimpin agama lain, termasuk Kardinal William Goh daripada Keuskupan Agung Katolik Roman Singapura, menyifatkannya sebagai “percubaan jelas untuk melukakan” masyarakat Islam dan mengganggu keamanan dalam kalangan rakyat Singapura.

Dalam satu kiriman Instagram pada 26 September, beliau menulis kepada Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir untuk menzahirkan kebimbangan dan kesedihan atas kejadian provokasi itu.

“Gereja Katolik percaya dalam menegakkan martabat setiap insan serta menghormati semua tempat ibadah.

“Bagi pihak Gereja Katolik di Singapura, saya ingin memberi jaminan tentang sokongan dan persahabatan kami yang berterusan, serta menegaskan semula komitmen bersama untuk memperkukuh kepercayaan dan keharmonian antara masyarakat kita,” tulisnya.

Persatuan dan pertubuhan lain yang turut menunjukkan sokongan mereka terhadap kejadian tersebut, termasuk Persekutuan Tao Singapura, Pusat Berbudaya Quan Zhen, Persekutuan Buddha Singapura, Pusat Buddha Tibet, Kuil Buddha Mangala Vihara dan Lembaga Penasihat Sikh.

Mereka menekankan bahawa kesatuan, sifat hormat-menghormati dan perpaduan antara agama merupakan asas penting dalam masyarakat majmuk Singapura.

Persekutuan Tao Singapura menyeru orang ramai untuk “menghormati antara satu sama lain dan memelihara keamanan yang kita semua kongsi”.

Menerusi kiriman Facebook pada 26 September, persekutuan itu menulis:

“Kami dengan tegas mengecam tindakan berbahaya ini yang tidak menghormati kepercayaan agama, serta menentang sebarang serangan ke atas tempat ibadah.

“Sebagai sebuah pertubuhan keagamaan, kami percaya bahawa kesatuan dan keharmonian antara semua bangsa dan agama merupakan asas masyarakat majmuk Singapura.”

Sementara itu, Pusat Buddha Tibet menyuarakan pesanan dalam kiriman Facebooknya pada 26 September bahawa “belas kasihan dan penghormatan” merupakan nilai dikongsi oleh semua agama.

“Dengan berdiri bersama serta hati yang terbuka, kita dapat mengatasi ketakutan dan ketidakpercayaan, dan memupuk keamanan sejati dalam masyarakat kita,” nasihatnya.

Dalam nada yang sama, Kuil Buddha Mangala Vihara mengingatkan bahawa ajaran Buddha menekankan toleransi dan penghormatan terhadap semua agama.

Dalam satu kiriman Facebook pada 27 September, Jawatankuasa Pengurusan mereka mengecam tindakan tersebut dan berkata ia menimbulkan perasaan tidak senang terhadap masyarakat Islam di Singapura.

“Marilah kita hidup dalam keamanan dan keharmonian, menghargai hak setiap orang untuk mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut, serta saling berkhidmat antara satu sama lain,” tulisnya.

Seruan untuk orang ramai kekal tenang dan tidak membuat spekulasi juga dikeluarkan Lembaga Penasihat Sikh dalam satu kenyataan pada 26 September.

Mereka berkata tempat ibadah ialah ruang suci dan Singapura tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang mengancam kesucian atau keamanan ruang sedemikian.

Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama (Harmony Circle) dalam satu kiriman di Facebook pada 25 September, pula menyatakan bahawa tindakan yang membawa ancaman kepada masyarakat tidak ada tempat dalam sebuah masyarakat majmuk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg