Semasa menuntut dalam jurusan Teologi Islam di Brunei pada 2021, Encik Muhammad Noor Firdaus Zainal kagum melihat betapa bersih dan teratur surau di sana.
Sebaliknya, beliau sering mendengar rungutan tentang keadaan musala di tanah air, dengan ada dalam kalangan rakyat Singapura yang berasa kurang selesa atau ragu-ragu untuk menunaikan solat di tempat sedemikian yang disediakan oleh pihak pengurusan di tempat seperti pusat beli-belah.
“Jika surau di Brunei mampu bersih dan teratur, kenapa musala di Singapura tidak boleh? Menurut hadith, ‘Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman’.
“Ia merupakan satu masalah jika orang rasa ragu nak solat di tempat beribadah. Sebagai umat Islam, kita mesti ambil tindakan,” katanya.
Tersentuh oleh rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Encik Firdaus, yang bertugas sebagai pekerja bebas dalam pengurusan media sosial, memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri.
Apabila beliau pulang ke Singapura pada Jun 2024 untuk cuti semester, beliau mula membersihkan musala di pusat beli-belah berhampiran rumahnya, seperti Tampines Mall, Century Square, Downtown East dan Singapore Expo.
Setiap minggu, beliau akan mengutip telekung dari musala untuk dicuci di dobi, menggantikan sejadah yang telah lusuh dengan yang baru, serta menggunakan pembersih habuk atau mop untuk menyegarkan lantai – semuanya dibiayai dengan wang sendiri.
“Harapan saya supaya orang lain dapat rasa keselesaan apabila mereka singgah ke musala ini untuk menunaikan solat mereka.
“Sebelum saya bersihkan musala, saya akan hubungi pihak pengurusan pusat beli-belah. Alhamdulillah, mereka menyokong usaha saya, tetapi mereka juga beri peringatan agar jangan letak terlalu banyak barang di dalam musala kerana boleh menyebabkan risiko kebakaran,” ujarnya.
Pada peringkat awal, Encik Firdaus menjalankan semua kerja pembersihan itu bersendirian. Beliau akan meneliti keadaan ruang solat itu, menilai keperluan, dan memastikan bahawa sebarang penambahan seperti penyegar udara atau telekung gantian tidak melanggar peraturan keselamatan kebakaran pusat beli-belah.
Tidak lama kemudian, beliau berjaya mengajak abangnya dan rakan baiknya untuk turut serta dalam usahanya. Malah, mereka juga dapat menarik beberapa kenalan abangnya untuk menghulurkan bantuan dalam usaha tersebut.
Kini, pasukan kecil Encik Firdaus terdiri daripada tiga orang, termasuk beliau, abangnya dan rakan baiknya. Namun, beliau telah menerima banyak mesej daripada orang awam yang ingin membantu.
“Saya terbuka untuk menerima sukarelawan baru. Saya mahu usaha ini berkembang agar lebih ramai boleh sama-sama mengumpul pahala dengan menjaga kebersihan musala,” kata Encik Firdaus dengan penuh harapan.
Salah satu tunjang semangat Encik Firdaus datang daripada nasihat gurunya yang telah kembali ke Rahmatullah, Allahyarhamha Ustazah Siti Sariah Kasa.
Allahyarhamah merupakan guru Encik Firdaus ketika beliau masih belajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
“Beliau adalah seorang yang saya hormati dan antara nasihatnya yang saya pegang sampai hari ini adalah, ‘Kunci kejayaan atau kekayaan adalah dalam memberi’.
“Nasihatnya seolah-olah menjadi prinsip hidup bagi saya. Dari situ, saya terinspirasi untuk bukan sahaja membersihkan musala, tetapi juga mewujudkan kesedaran dan mengajak orang lain turut serta agar mereka juga dapat meraih pahala,” kongsinya.
Bagi Encik Firdaus, matlamat utamanya adalah untuk memastikan setiap musala di Singapura berada dalam keadaan yang bersih dan menyenangkan.
Menurutnya, penjagaan musala juga adalah cerminan sikap masyarakat Islam terhadap ruang awam.
“Apabila orang bukan Islam lihat bahawa umat Islam jaga kebersihan, mereka akan lihat agama kami sebagai agama yang bertanggungjawab dan mesra, sekali gus memupuk keharmonian antara kaum dan agama di Singapura,” jelasnya.
Salah satu detik paling menyentuh hatinya adalah apabila beliau menerima mesej penghargaan beberapa bulan selepas membersihkan musala di Downtown East.
“Seseorang hantar mesej mengucapkan terima kasih sebab dapat solat dengan selesa. Pada masa itu, saya dah empat bulan tidak sentuh musala itu sebab saya balik ke Brunei,” ujar Encik Firdaus.
Namun, itu sudah cukup untuk mengesahkan bahawa usaha kecilnya memberi kesan besar kepada masyarakat, dan selagi mampu, beliau akan terus membersih dan menyantuni musala pada satu masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg