Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan kariah bukan setakat sedia ruang tarawih, tapi mahu pikat belia juga

Feb 28, 2025 | 6:15 PM
Bendahari Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), Encik Mustaffa Hassan, ‘turun padang’ ke ruang solat di kolong blok 116 Simei Street 1 bersama beberapa sukarelawan JKIS lain pada 27 Februari untuk buat persiapan terakhir sempena menanti ketibaan Ramadan.
Bendahari Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), Encik Mustaffa Hassan, ‘turun padang’ ke ruang solat di kolong blok 116 Simei Street 1 bersama beberapa sukarelawan JKIS lain pada 27 Februari untuk buat persiapan terakhir sempena menanti ketibaan Ramadan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila Encik Mustaffa Hassan menyertai kumpulan kariah Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS) pada 2010, beliau teringat bagaimana seorang anggota jawatankuasa telah mendekati beliau untuk turut serta kerana mereka memerlukan sukarelawan yang lebih muda.

Ini kerana ramai antara mereka telah mencecah usia lanjut.

“Saya tinggal di Blok 255 Simei Street 1 sejak 2005 dan dalam tempoh lima tahun itu kirakan saya ibarat tetamu sahaja – datang dan pergi (ke ruang solat tarawih di Blok 116 Simei Street 1).

“Masa itu, salah seorang ahli jawatankuasa JKIS mendekati saya dan beritahu bahawa kebanyakan mereka sudah berumur lanjut dan perlukan pengganti. Mereka bertanya, siapa yang boleh tampil ke hadapan untuk membantu.

“Apabila mereka memberi peluang, saya rasa itu adalah masa yang tepat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama di Simei dan Tampines. Dengan menjadi sukarelawan, saya dapat membantu penduduk di sini dan berbakti kepada mereka,” ujar Encik Mustaffa, yang kini menggalas peranan sebagai Bendahari di JKIS sejak 2022.

Kini, eksekutif logistik berusia 58 tahun itu berada dalam situasi yang sama, iaitu cabaran menarik generasi muda untuk menyertai JKIS sedang usianya sendiri kian meningkat.

Kumpulan kariah tersebut mengadakan ruang solat terawih di kolong blok atau dewan serbaguna di kawasan HDB, khususnya di Blok 116 Simei Street 1.

Ia ditubuhkan sejak 1988 dalam memenuhi keperluan penduduk Muslim di kawasan situ.

Bersama kumpulan kariah lain di Tampines, JKIS bekerjasama dengan Masjid Darul Ghufran.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Mustaffa berkongsi beberapa faktor yang mungkin menghalang golongan muda untuk terlibat dalam kumpulan kariah.

Antaranya termasuk pandangan bahawa kumpulan kariah lebih sesuai untuk warga emas, yang boleh menimbulkan rasa kekok dalam para belia untuk melibatkan diri.

“Bagi golongan muda, mereka bersedia membantu sekiranya kami ingin bantuan dalam mempersiapkan ruang solat, lebih-lebih lagi pada pagi Hari Raya.

“Tetapi, untuk mereka komited dengan menyertai JKIS, mereka masih belum bersedia. Mungkin mereka rasa ‘Oh, ni untuk pakcik-pakcik sahaja’,” ujar beliau.

Selain itu, terdapat kepercayaan bahawa kumpulan kariah hanya berkumpul sekali-sekala, pada Ramadan, untuk menyediakan ruang solat.

“Kami juga mendapat maklum balas daripada belia yang sangka bahawa kumpulan kariah ini hanya aktif pada Ramadan dan Hari Raya sahaja, dan senyap selepas itu.

“Justeru, itu buat saya sedar bahawa golongan muda sebenarnya mahu lebih daripada itu – mereka inginkan kegiatan yang lebih konsisten dan boleh melibatkan mereka sepanjang tahun,” kongsi Encik Mustaffa.

Buat julung-julung kalinya, beliau bersama pihak JKIS telah mengadakan rombongan wisata ke Kuala Lumpur dan Melaka pada 7 hingga 10 Februari.

Dibuka kepada ahli jawatankuasa dan penduduk di kawasan Simei, seramai 36 orang menyertai rombongan tersebut.

Menurut Encik Mustaffa lagi, ada di kalangan mereka dalam rombongan tersebut ‘turun padang’ ke Blok 116 untuk membantu mempersiapkan ruang solat tarawih seperti membersihkan lantai kolong blok dan membentang tikar dan sejadah.

Meskipun JKIS mempunyai hanya tujuh ahli belia yang berusia 20 hingga 35 tahun, Encik Mustaffa kekal optimis bahawa kumpulan kariah ini akan kekal relevan.

“Pihak Masjid Darul Ghufran amat mengalu-alukan kumpulan kariah seperti kami dalam menyediakan ruang solat untuk penduduk di sini. Sekurang-kurangnya, para penduduk mempunyai tempat solat yang mereka boleh pilih yang lebih berdekatan.

“Oleh itu, kami selalu mendekati golongan muda supaya mereka tampil untuk bantu kami dan dengan perlahan ambil alih tempat kami.

“Bila masanya nanti, kita dah tak sihat lagi. Jadi, kita perlukan pelapis, generasi muda untuk tampil ke hadapan,” kongsi bapa dua anak itu lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg