Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenerima Anugerah Belia Harapan MUIS idamkan lebih ramai jurutera wanita Islam
Penerima Anugerah Belia Harapan MUIS idamkan lebih ramai jurutera wanita Islam
Bidang kejuruteraan lazimnya difahami sebagai sektor yang dikuasai kaum lelaki.
Namun, di sebalik tanggapan sedemikian, Cik Hairawanie Hairudinsah, 27 tahun, ingin membuktikan sebaliknya.
Bertugas sebagai jurutera mekanikal di Arup Singapore dan memegang peranan sebagai Naib Pengerusi Sayap Belia Rangkaian Jurutera Jazari (JEN) di bawah AMP Singapura, beliau bukan sekadar menumpukan pada pencapaian peribadi semata-mata.
Sebaliknya, anak sulung tiga beradik itu ingin memecahkan tembok tanggapan itu dan menjadi pembimbing agar dapat menghasilkan lebih ramai jurutera wanita Islam.
Ini di samping memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya menghargai sumbangan jurutera wanita.
Atas sumbangannya itu, Cik Hairawanie menjadi salah seorang daripada tiga penerima Anugerah Belia Harapan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Diperkenalkan pada 2023, anugerah itu mengiktiraf sumbangan pemimpin muda dalam membawa perubahan serta membimbing generasi masa hadapan.
Dua lagi penerimanya ialah Ketua Program Santunan Emas dan Penggerak Jawatankuasa Muslim Pekak Singapura, Ustaz Muhammad Khidir Haji Mohamed Ibrahim; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Commenhers LLP, Cik Nuryanee Anisah Mohamed Noor.
Presiden Tharman Shanmugaratnam menyampaikan anugerah tersebut dalam satu majlis Anugerah MUIS di The Villa, Istana pada 6 November.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Hairawanie berkata menerusi pemerhatiannya, walaupun minat anak muda wanita terhadap bidang sains dan teknologi tidak banyak, ia tidak pernah pudar.
Namun, kekangan terbesar berpunca daripada kekurangan wakil yang boleh dijadikan contoh ikutan.
“Ramai belia (wanita) yang saya temui meminati bidang ini, tetapi mereka tidak melihat seseorang yang seperti mereka dalam industri.
“Akibatnya, mereka menganggap kerjaya sebagai jurutera adalah sesuatu yang mustahil,” kongsi lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu, yang juga pernah menjadi Presiden Masyarakat Islam Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) pada 2021.
Selain persepsi industri yang dikuasai kaum lelaki, beliau mengakui bahawa jurang maklumat serta kebimbangan terhadap perbezaan budaya di tempat kerja sering membayangi langkah wanita Islam.
Situasi itu ditambah dengan kekurangan bimbingan daripada jurutera berpengalaman yang kebanyakannya sibuk dengan tugasan mereka, katanya.
Menyedari hakikat itu, Cik Hairawanie berhasrat mengubah pandangan orang ramai dan menarik lebih ramai jurutera muda terutamanya menerusi peranannya di JEN, yang disertainya sejak 2023.
Di samping berperanan sebagai Naib Presiden kumpulan belia itu pada 2024 hingga kini, Cik Hairawanie juga telah mengetuai program mentorship buat anak muda dari 2024 hingga 2025.
Berkongsi mengapa beliau ingin berbakti di JEN, Cik Hairawanie, berkata:
“Saya rasa ia memiliki sebuah masyarakat jurutera yang sangat ikhlas dan benar-benar ingin membimbing jurutera muda agar berjaya.
“Hubungannya bukan berasaskan kepentingan semata-mata, jadi saya mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat tersebut untuk turut membantu.”
Selain daripada berkecimpung dalam dunia jurutera, Cik Hairawanie juga giat dalam inisiatif akar umbi yang bertujuan menyatukan belia daripada pelbagai latar belakang menerusi sukan.