Topik diikuti
Pergi ke BHkuButiran agihan dana masyarakat, termasuk bagi SCIS, dalam laporan tahunan MUIS
Pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) perboleh MUIS guna dana masyarakat biaya Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS)
Butiran agihan dana masyarakat, termasuk bagi SCIS, dalam laporan tahunan MUIS
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bersikap telus apabila menggunakan dana masyarakat yang diuruskannya, seperti zakat, wakaf serta Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Ini termasuk memantau pengagihan dana masyarakat tersebut dengan butirannya dimasukkan ke dalam laporan tahunan dan penyata kewangan MUIS.
Encik Zaqy berkata demikian di Parlimen pada 4 November, semasa menggulung perbahasan pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) yang membolehkan MUIS menyalurkan pembiayaan kepada Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) daripada dana masyarakat yang diuruskannya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa dana masyarakat akan digunakan selaras dengan undang-undang Islam dan tujuan yang dimaksudkan.
Perbahasan di Parlimen yang bermula pada 3 November itu melibatkan 13 Anggota Parlimen (AP) yang membentangkan pandangan masing-masing, serta usulan dan persoalan mengenai pindaan pada Amla, yang antara lain bertujuan memperkukuh sokongan bagi memupuk kepimpinan agama Islam di Singapura.
“SCIS merupakan pelaburan penting bagi masa depan kita. Namun, ia tidak boleh menjejas tanggungjawab-tanggungjawab lain ini.
“MUIS akan terus mengimbangi sokongannya terhadap SCIS dengan keperluan-keperluan lain ini, dan tidak akan memperuntukkan sumber masyarakat dalam jumlah yang tidak seimbang kepada SCIS,” katanya.
Penjelasan Encik Zaqy itu bagi menjawab soalan yang diajukan beberapa anggota Dewan mengenai pembiayaan yang disalurkan melalui dana masyarakat itu.
Antaranya ialah Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh); Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi); Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang); dan Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied).
Encik Zaqy turut menambah zakat yang digunakan untuk SCIS mesti memenuhi keperluan asnaf yang berkaitan, sama ada bagi menyokong pendidikan agama ataupun pelajar yang layak.
Manakala MBMF pula akan terus menyokong masjid, pendidikan agama dan Mendaki, katanya.
Melebihi dana masyarakat, komponen bukan agama bagi SCIS akan disokong pemerintah.
Encik Zaqy menambah membina sebuah institusi yang kukuh dan merentas generasi turut memerlukan penyertaan masyarakat, filantropi dan perkongsian yang berterusan.
“Selain dana masyarakat sedia ada, termasuk MBMF dan zakat, SCIS perlu mengumpul dana serta mencari penajaan untuk mengekalkan operasinya.
“Inilah prinsip-prinsip yang akan mendorong pembiayaan SCIS,” kongsinya sambil menambah kurikulum, skim bantuan kewangan pelajar dan infrastruktur akan dikongsi lanjut selepas maklumat terperinci sudah ditetapkan.
Encik Saktiandi turut mengutarakan soalan susulan mengenai bagaimana SCIS dan MUIS akan menangani kekurangan dana sekiranya kutipan kurang daripada jangkaan – tanpa menjejaskan komitmen terhadap masjid, madrasah, dan penerima zakat – sebelum pembukaan kolej itu pada 2028.
Menjawab, Encik Zaqy menekankan semula sumbangan yang akan didapatkan selain dana masyarakat dan menambah ia juga merupakan tanggungjawab bersama lembaga pengelola kolej untuk meneruskan kemampanan kolej itu.
“Ia bukan hanya tanggungjawab MUIS, pemimpin masyarakat juga memainkan peranan untuk memastikan institusi ini berjaya, membina kredibilitinya, dan pada masa yang sama kekal mampan,” katanya.
Encik Fadli pula bertanya mengenai strategi pembiayaan SCIS termasuk penajaan filantropi, penamaan bangunan daripada penderma, dan dana endowmen.
Selain itu, beliau meminta pencerahan bagaimana saiz lembaga pengelola SCIS dapat menampung kepelbagaian kursus yang diperlukan bagi pengajian tinggi agama yang bersifat rentas disiplin – kededua agama dan bukan agama.
Encik Zaqy berkata keputusan menamakan bangunan sempena nama penderma terletak sepenuhnya di bawah pertimbangan Lembaga Pengelola SCIS.
Beliau juga menambah kepelbagaian kursus tidak ditentukan saiz lembaga, sebaliknya bergantung pada jaringan rakan kerjasama institusi.
“Banyak daripada modul ini juga akan memanfaatkan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dari segi menyediakan fungsi bukan agama supaya kita mendapat yang terbaik daripada kedua-dua bidang – pendalaman ilmu agama dipupuk, namun mereka masih didedahkan kepada kurikulum yang disediakan oleh SUSS,” katanya.