Sekitar 2006, Encik Hamzah Abdul Mutalib, diberitahu oleh seorang kaunselor tentang nasib mangsa keganasan rumah tangga dalam kalangan wanita Islam yang kian membimbangkan.

Didorong rasa tanggungjawab, beliau berganding bahu dengan kaunselor itu, Cik Zaharah Ariff, untuk mengasaskan Casa Raudha secara bersama pada 2008.

Tujuannya satu – bagi menyediakan tempat perlindungan selamat bagi wanita dan anak-anak, meskipun isu keganasan rumah tangga ketika itu masih dianggap isu yang sangat sensitif.

Kini, selepas hampir dua dekad Casa Raudha ditubuhkan, Encik Hamzah percaya kesedaran masyarakat tentang keganasan domestik masih perlu diperkukuh memandangkan ia perkara yang serius.

Bagi Encik Hamzah, benih khidmat bakti kepada masyarakat sudah berputik sejak 1977.

Beliau sudah terlibat dalam kegiatan seperti membantu saudara Islam baharu, misi kemanusiaan di luar negara dan pendidikan.

Atas sumbangan dan dedikasinya kepada masyarakat selama 49 tahun itu, Encik Hamzah, 72 tahun, dinobatkan sebagai penerima anugerah terunggul Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Anugerah Jasa Cemerlang.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada majlis Anugerah MUIS di Istana pada 6 November, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Ditemui Berita Harian (BH), Encik Hamzah mengimbau detik awal beliau diajak Cik Zaharah untuk menubuhkan Casa Raudha, sambil berkata:

“Saya lihat perkara itu sebagai fardu kifayah. Jika tiada siapa yang melakukannya, seluruh masyarakat Islam akan dipertanggungjawabkan.

“Maka, perkara itulah yang membuatkan saya bertekad bahawa kami mesti menjayakannya.”

Apatah lagi ketika itu, bilangan keluarga Islam yang dibelenggu isu keganasan rumah tangga mencatat jumlah yang agak besar, cerita bapa tiga anak dan datuk kepada empat cucu itu.

“Pada ketika itu, kami menyedari bahawa sokongan yang diperlukan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal.

“Apa yang sama penting adalah membantu mangsa membina semula kehidupan mereka serta mendapatkan kembali rasa selamat, keyakinan diri dan keupayaan untuk berdikari,” kongsi Encik Hamzah.

Encik Hamzah mula menabur bakti kepada masyarakat sejak 1977, apabila beliau menjadi anggota jawatankuasa Kumpulan Saudara Baru, sebelum ia didaftarkan secara rasmi sebagai Darul Arqam pada 1980.

Beliau turut bergiat aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan di luar negara dari awal 1990-an hingga 2000-an; serta dalam sektor pendidikan bersama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dari 2014 hingga 2026.

Dari 2008 hingga 2021, Encik Hamzah menjawat peranan sebagai pengasas bersama dan Presiden Casa Raudha ketika ia masih sebuah rumah tumpangan, sebelum menjadi pengerusi apabila ia berkembang menjadi Casa Raudha Ltd (CRL).

Encik Hamzah kini berkhidmat sebagai pengerusi bagi pengumpulan dana, kemudahan, dan pelaburan di Casa Raudha.

Pertubuhan itu telah berkembang untuk menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, sokongan keluarga, dan pendidikan masyarakat.

Encik Hamzah turut mengasaskan Pusat bagi Lelaki dan Keluarga (CMF) pada 2022 untuk melindungi kaum Adam yang menjadi mangsa keganasan domestik.

Sesuai dengan peredaran zaman, Encik Hamzah menekankan kepentingan pertubuhan itu pada hari ini, di mana isu keganasan rumah tangga boleh menjadi semakin rumit.

Lantas, pada 2017, pertubuhan tersebut turut menyesuaikan tumpuan mereka melalui tiga teras – pencegahan, perlindungan dan pemulihan.

Kerjasama merentasi pelbagai pihak juga sama penting untuk menghasilkan kesan yang jauh lebih besar bagi menangani keganasan domestik, katanya.

“Kerjasama seperti ini amat penting kerana tiada satu organisasi pun yang mampu menangani isu keganasan domestik secara bersendirian.

“Setiap pihak membawa kepakaran, pengalaman dan kekuatan yang berbeza.

“Dengan berganding bahu, kita dapat menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada individu dan keluarga yang memerlukan,” kongsinya.

Menurut Encik Hamzah, masih ada yang menganggap keganasan domestik sebagai masalah peribadi atau urusan rumah tangga yang tidak patut dicampuri, walhal, ia merupakan isu keselamatan.

Ini di samping memperkukuhkan pengesanan awal dan campur tangan agar keganasan itu tidak berlarutan menjadi serius atau membahayakan nyawa mangsa.

Beliau menambah bahawa mangsa juga memerlukan sokongan berterusan hingga selepas keluar dari pusat perlindungan, sambil berkata:

“Mereka memerlukan sokongan berterusan untuk membina semula kehidupan, termasuk kestabilan kewangan, perumahan, pekerjaan, sokongan emosi dan keperluan anak-anak.”

Beliau turut menekankan aspek anak-anak mangsa, yang juga perlu diberi perhatian.

“Matlamat kita bukan sekadar mengurangkan kes keganasan domestik, tetapi memastikan setiap individu berhak hidup dalam rumah dan persekitaran yang selamat,” katanya, yang kini bertugas sebagai Perundingan dan Pengurus Projek di Global Impact Network.

Walaupun sebahagian besar kehidupannya menabur bakti di pertubuhan itu, Encik Hamzah juga aktif dalam sektor agama di Darul Arqam antara 1977 dengan 2024.

Antara tempoh itu, beliau pernah berperanan menyokong golongan mualaf menerusi bimbingan sukarelawan dan menjadi anggota jawatankuasa.

Selain itu, beliau aktif dalam kerja kemanusiaan di luar negara seperti di Aceh, India, dan Sri Lanka dari 1994 hingga 2005.

Encik Hamzah turut berkhidmat bersama LBKM dari 2014 hingga 2026 sebagai Anggota Majlis, antaranya menjadi Penolong Bendahari dari 2022 hingga 2024, serta menjadi Lembaga Pemegang Amanah (Hartanah) pada 2026.

Berkongsi perasaan mengenai pengiktirafan yang diterima, Encik Hamzah dengan rendah hati melahirkan kesyukurannya sambil menghargai usaha rakan seperjuangannya, termasuk Cik Zaharah yang mencetuskan idea pertama itu.

“Khidmat kepada masyarakat adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan selagi kita masih diberi kemampuan dan kesempatan.

“Bagi saya, kejayaan dalam kerja sukarelawan bukan diukur melalui anugerah yang kita terima, tetapi melalui kehidupan yang berjaya kita sentuh dan perubahan yang dapat kita tinggalkan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Sejak 1990, Anugerah MUIS telah mengiktiraf individu yang dedikasinya telah memperkukuh institusi masyarakat, memperluas peluang bagi mereka yang memerlukan, dan menyatukan masyarakat.

Dua anugerah utama lain – Anugerah Jasa Bakti dan Anugerah Belia Harapan – turut disampaikan Tuan Presiden.

Anugerah Jasa Bakti disampaikan kepada enam individu atas sumbangan berterusan mereka kepada masyarakat, termasuk dalam bidang pendidikan, sokongan keluarga, kepimpinan masyarakat, dan bidang perkhidmatan yang lain.

Mereka ialah mantan Presiden Persatuan Kebajikan Muslim Tenkasi Singapura, Encik Assan Masood; Pengerusi Masjid Tasek Utara, Encik Juhari Mohtar; dan Anggota Lembaga PPIS dan Pengerusi Oaks Plus Limited, Cik Jummaida Rusdon.

Ahli akademik dan pemimpin masyarakat serta antara agama, Dr Mustafa Izzuddin; mantan Anggota dan Lembaga Pengelola Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Encik Shaik Mohammad Iqbal Shaik Hussain; dan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi dan Anggota Lembaga Kencing Manis Singapura, Dr Sueziani Zainudin; melengkapkan senarai penerima anugerah itu.

Selain itu, tiga pemuda pula menerima Anugerah Belia Harapan. Ia diperkenalkan pada 2023 untuk mengiktiraf sumbangan serta potensi mereka untuk memberi inspirasi kepada khidmat berterusan dalam kalangan generasi seterusnya.

Mereka terdiri daripada Pengasas Salaam Sports dan Naib Pengerusi Sayap Belia Rangkaian Jurutera Jazari, Cik Hairawanie Hairudinsah; Ketua Program Santunan Emas dan Penggerak Jawatankuasa Muslim Pekak Singapura, Ustaz Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim; serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Commenhers LLP, Cik Nuryanee Anisah Mohamed Noor.

Berucap pada majlis itu, Encik Zaqy menekankan bagaimana sumbangan mereka telah membawa perubahan bermakna kepada kehidupan masyarakat, memperkukuh institusi kemasyarakatan, serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut berbakti.

Dalam pada itu, salah seorang penerima Anugerah Jasa Bakti, Encik Juhari, 79 tahun, berkata beliau tidak sangka khidmat beliau selama 35 tahun daripada sukarelawan hinggalah menjadi Pengerusi di Masjid Tasek Utara pada 2026 diiktiraf.

Bagi Cik Hairawanie pula, 27 tahun, Anugerah Belia Harapan yang diterimanya merupakan satu pengiktirafan terhadap usahanya mengimbangi pelbagai komitmen serta penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong, terutamanya keluarga.

Beliau, yang kini bertugas sebagai jurutera mekanikal di Arup Singapore Pte Ltd, berkata:

“Saya rasa sangat kerdil diri dan betul-betul terharu. Ia sesuatu yang tak pernah saya sangka atau rasa layak untuk menerimanya.

“Setiap kali saya terfikir tentang anugerah ini, saya selalu anggap ia untuk seseorang yang telah memberi sumbangan yang jauh lebih besar dan lebih baik berbanding apa yang saya lakukan selama ini.”

Majlis tersebut turut menyaksikan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyampaikan cek bernilai $200,000 kepada Tuan Presiden bagi menyokong Cabaran Presiden.

Dana tersebut dikumpulkan melalui kerjasama antara RLAF dengan Cabaran Presiden, dan akan menyokong badan yang menyediakan perkhidmatan serta bantuan kepada golongan orang kurang upaya dan kelompok rentan yang lain.

Penerima Anugerah MUIS 2026:

Anugerah Jasa Cemerlang

  1. Anggota Pengasas Casa Raudha dan Anggota Majlis Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Hamzah Abdul Mutalib

Anugerah Jasa Bakti

  1. Presiden Persatuan Kebajikan Muslim Tenkasi Singapura, Encik Assan Masood
  2. Pengerusi Masjid Tasek Utara, Encik Juhari Mohtar
  3. Anggota Lembaga PPIS dan Pengerusi Oaks Plus Limited, Cik Jummaida Rusdon
  4. Ahli akademik dan Pemimpin Masyarakat serta Antara Agama, Dr Mustafa Izzuddin
  5. Mantan Anggota dan Lembaga Pengelola Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Encik Shaik Mohammad Iqbal Shaik Hussain
  6. Pakar Perunding Kanan Endokrinologi dan Anggota Lembaga Kencing Manis Singapura, Dr Sueziani Zainudin

Anugerah Belia Harapan

  1. Pengasas Salaam Sports dan Naib Pengerusi Sayap Belia Rangkaian Jurutera Jazari, Cik Hairawanie Hairudinsah
  2. Ketua Program Santunan Emas dan Penggerak Jawatankuasa Muslim Pekak Singapura, Ustaz Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim
  3. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Commenhers LLP, Cik Nuryanee Anisah Mohamed Noor