Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengorbanan jaga isteri sakit diiktiraf dengan Anugerah Bapa Cemerlang

Sep 7, 2025 | 9:12 PM
Encik Suyasman Haji Yadoni (kiri) meninggalkan kerjaya sebagai jurutera kelautan pada 2020 untuk menjaga isteri, Cik Sarimah Mensari (duduk), yang menjalani amputasi kaki serta bapa mentua yang uzur, sambil membimbing anak-anaknya menjadi lebih berdikari. Penerima Anugerah Bapa Cemerlang ini bergambar bersama Cik Marini Murni Mohd Alias (kanan), tunang anak sulungnya, Encik Abdurrahman Suyasman (dua dari kanan) dan anak bongsu, Encik Abdarrahim Suyasman.
Encik Suyasman Haji Yadoni (kiri) meninggalkan kerjaya sebagai jurutera kelautan pada 2020 untuk menjaga isteri, Cik Sarimah Mensari (duduk), yang menjalani amputasi kaki serta bapa mentua yang uzur, sambil membimbing anak-anaknya menjadi lebih berdikari. Penerima Anugerah Bapa Cemerlang ini bergambar bersama Cik Marini Murni Mohd Alias (kanan), tunang anak sulungnya, Encik Abdurrahman Suyasman (dua dari kanan) dan anak bongsu, Encik Abdarrahim Suyasman. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebagai jurutera kelautan suatu masa dahulu, Encik Suyasman Haji Yadoni dapat mengembara jauh ke serata dunia.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Beliau akur hidup selesa dan mendapat kepuasan kerjaya yang mencecah tiga dekad.

Namun, bahtera kehidupannya goyah dan beralih arah dek ujian yang datang bertalu pada 2020.

Encik Suyasman, kini 58 tahun, terpaksa meninggalkan dunia kejuruteraan kelautan, untuk berada di rumah sepenuh masa demi menjaga isteri tercinta, Cik Sarimah Mensari, 57 tahun, yang mengalami jangkitan pada darah sejak 2018 dan terpaksa kehilangan sebelah kaki susulan satu pembedahan.

Pada 2020 juga, bapa mentua Encik Suyasman, Encik Mensari Ali, 86 tahun, terlantar sakit dan memerlukan jagaan rapi di rumah.

Begitulah pengorbanan seorang suami, menantu dan bapa yang tidak lagi bekerja kerana amanah menjaga orang tersayang yang sakit.

Beliau menggunakan wang simpanannya yang ada bagi membiayai segala perbelanjaan harian termasuk urusan pendidikan dua anak lelakinya, dengan si bongsu pada masa itu menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Bagaimanapun, beliau reda dengan ujian yang melanda hidupnya, bahkan bersandarkan peribahasa ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, beliau berkongsi tanggungjawab berkenaan bersama dua anak lelakinya dengan harapan mereka dapat dewasa sebagai belia berhemah.

Dengan sokongan dua anak lelakinya, beliau memastikan rumah tangga tetap terurus, isterinya diberi perhatian penuh, dan kebajikan bapa mentua tidak diabaikan.

“Kalau susah, kita susah sama-sama. Kalau senang, kita kongsi sama-sama juga. Itu yang selalu saya tekankan pada anak-anak,” katanya.

Jerih payahnya diiktiraf bahkan pada 7 September, Encik Suyasman disampaikan dengan Anugerah Bapa Cemerlang, pengiktirafan yang diberi di Kelab Masyarakat Keat Hong sempena Bulan Kebapaan Melayu/Islam 2025.

Anugerah itu disampaikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, turut hadir semasa acara itu.

Dianjurkan gerakan Bapa Sepanjang Hayat dengan sokongan Pasukan Nakhoda di bawah naungan Pembangunan dan Jangkauan Pusat Kebapaan (CFF), anugerah tersebut bertujuan memberi penghargaan kepada bapa inspirasi yang menjadi pendorong kepada bapa lain.

“Dengan anugerah ini, kami juga ingin mengiktiraf peranan bapa yang mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan dan perpaduan masyarakat, kata Ketua CFF, Encik Eruandee Prayitna.

Kriteria yang perlu dipenuhi bapa yang dicalonkan bagi anugerah ini adalah melaksanakan tanggungjawab mengikut ajaran Islam; memimpin keluarga ke arah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi; memimpin keluarga menerusi teladan, menanam nilai-nilai positif dan murni kepada anak-anak serta tabah dan sabar dalam menyara kehidupan keluarga meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Encik Suyasman dipilih dalam kalangan tiga calon finalis. Dua yang lain adalah pemandu syarikat, Encik Mansor Mohd Yusof, 62 tahun; dan Encik Mohamed Hussain Adam Shah, 75 tahun, yang telah bersara daripada tugas pegawai keselamatan pada 2016.

Secara keseluruhan, sebanyak 20 pencalonan diterima.

“Pengaruh seorang bapa kekal sepanjang hayat. Kanak-kanak belajar sifat-sifat keberanian, disiplin… belas kasihan melalui contoh yang ditunjukkan di rumah,” kata Dr Faishal, yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dalam ucapannya, beliau turut merujuk kepada peranannya sebagai Pemangku Menteri dan di MHA, dengan menekankan penglibatan seorang bapa dalam pembangunan kanak-kanak.

Secara contoh, inisiatif seperti KelasMateMatika (KMM) beri peluang kepada bapa untuk bersama kanak-kana mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka membimbing dalam subjek Matematik.

Sementara itu, kerjasama rapat antara MHA dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) memberi sokongan kepada bekas pesalah, di mana ramai antaranya bergelar bapa.

“Usaha-usaha ini mewujudkan ekosistem yang membolehkan keluarga berkembang maju bersama,” tambah beliau.

Encik Suyasman tidak menyangka menerima anugerah berkenaan. Ini disebabkan, segala pengorbanan dilakukan atas rasa kasih dan tanggungjawab sebagai pasangan hidup dan bapa.

Malah, kepuasan sebenar hanya dirasai apabila melihat anak-anaknya membesar sebagai individu yang lebih berdikari sejak kecil, termasuk membantu menolak kerusi roda ibu mereka setiap kali bersiar-siar sekeluarga.

Cik Sarimah menjelaskan pengorbanan dan ketabahan Encik Suyasman menjadi teladan terbaik buat anak-anak mereka.

“Walaupun pulang keletihan selepas seharian bekerja, dia tetap meluangkan masa di hospital setiap hari. Bagi anak-anak lelaki kami, dialah contoh terbaik seorang bapa,” kata suri rumah itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg