Orang awam kini berpeluang merasai sendiri keadaan hidup dalam penjara di 69A Onan Road.
Pertubuhan khidmat sosial, Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS), pada 13 Julai, melancarkan wisata pembelajaran ke ‘penjara’ - pameran khas yang dikendalikan di ibu pejabatnya di alamat tersebut.
Sebelum ini, program yang dilancarkan pada Mei 2025 itu hanya ditawarkan kepada kumpulan dari sekolah dan kumpulan korporat sahaja. Namun wisata unik tersebut kini dibuka kepada orang ramai.
Bayaran yang dikenakan ialah $500 bagi kumpulan 40 orang dan antara lain, pengunjung - yang dipandu oleh bekas pesalah - akan dibawa masuk ke ruang yang direka semula seperti penjara, yang dilengkapkan dengan tikar dan selimut untuk tidur serta selipar.
Mereka juga berpeluang melihat sendiri peralatan menggunakan dadah di pameran pendidikan pencegahan dadah.
Pengarah Program MCS, Ustaz Md Basir Md Shariff, yang juga merupakan seorang bekas pesalah, berkata beliau mengadakan program wisata ke ‘penjara’ itu dengan harapan ia dapat mencegah golongan belia daripada terjerumus dalam kancah dadah atau kegiatan jenayah.
Program tersebut disokong Biro Narkotik Pusat (CNB).
“Memandangkan masalah dadah dan budaya kongsi gelap masih menular... matlamat MCS adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia, terutama murid sekolah, tentang bahaya dadah dan akibat yang menanti sekiranya mereka memilih jalan yang salah,” jelas beliau.
Ustaz Basir turut berkata program ini turut memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam realiti kehidupan di sebalik tirai besi.
“Dengan adanya program seperti ini, keluarga dan masyarakat dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh banduan, sekali gus memberi mereka sokongan moral yang diperlukan bagi mengelak residivisme.
“Lantas, dengan kelengkapan yang kini lebih menyeluruh, kami mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pengunjung,” tambah beliau.
Dana hasil program ini bakal digunakan untuk kos penyelenggaraan atau kerja penambaikan bangunan itu dan meningkatkan kekerapan kelas agama, yang kini diadakan bagi bekas banduan sebanyak dua kali seminggu.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas acara pelancaran program itu yang dihadiri lebih 100 tetamu, termasuk pemimpin masyarakat, rakan korporat, para penderma, serta bekas pesalah dan keluarga mereka.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) memuji inisiatif MCS itu dan menekankan peri penting kerjasama erat antara ibu bapa dengan anak-anak dalam usaha membanteras ketagihan dadah.
Ketika ditemui pihak media, Dr Faishal berkata:
“Kemudahan yang dikendalikan oleh MCS dan usaha yang dijalankannya ini membuka peluang untuk kita mengambil pendekatan di peringkat lebih awal dalam memastikan Singapura kekal bebas dadah.
“Saya gembira melihat bagaimana ekosistem ini terus diperkukuh, sekali gus memperluaskan jangkauan kita kepada kanak-kanak, pelajar, keluarga dan masyarakat tanpa perlu ke penjara untuk memahami realiti kehidupan di sebalik tirai besi.”
Cik Huzaifah Mohamed Salleh, 41 tahun, ibu lapan anak, yang hadir semasa pelancaran itu berkata program tersebut merupakan salah satu cara beliau dapat menyampaikan pengajaran mengenai kesan buruk dadah kepada anak-anaknya.
“Daripada sekadar melihat gambar-gambar penjara, kanak-kanak dapat mempelajari tentang kehidupan sebenar di penjara melalui inisiatif ini.
“Sebagai seorang ibu, saya juga dapat memahami antara punca utama pelajar sekolah terjebak dengan ketagihan dadah dan saya dapat berusaha sedaya upaya agar anak-anak saya tidak terjebak,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg