Adab, nilai murni dan masyarakat Melayu berpisah tiada.
Bahkan, nilai-nilai murni seakan sebahagian jati diri seorang Melayu/Islam.
Oleh itu, adalah menjadi harapan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, agar sebagai sebuah masyarakat, orang Melayu/Islam di sini dapat memaksimumkan potensi mereka dan memaparkan nilai kemanusiaan kepada sesiapa sahaja tidak kira bangsa atau agama.
Beliau berkata demikian semasa temu bual bersama media pada 4 Jun di kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai (WGS).
“Masyarakat Melayu terkenal dengan etika mereka serta memiliki nilai-nilai murni dari segi tatasusila dan juga dari segi nilai kemanusiaan.
“Pada masa yang sama, sebagai seorang Muslim, terdapat banyak nilai yang telah kami pelajari daripada Nabi Muhammad saw misalnya tentang kesabaran, kesyukuran dan memastikan kita tidak membahayakan nyawa orang lain,” ujarnya.
“Saya yakin masyarakat kita boleh membangun ke tahap potensi penuhnya dan menonjolkan nilai-nilai terbaik,” tambah beliau.
Menjelaskan lanjut, Dr Faishal berkata antara nilai yang diterapkan dalam individu Melayu/Islam termasuk bersikap adil terhadap semua manusia, tidak kira sama ada orang tersebut merupakan individu Muslim atau tidak.
“Tidak kira bangsa, agama, negara mana, kita tidak menerima sebarang keganasan, kita tidak menerima sebarang pembunuhan.
“Jadi tidak kira di mana ada pembunuhan – di negara bukan Muslim sekali pun, kita tidak terima kerana ada kehidupan manusia yang terjejas.
“Selagi kita tidak mencapai tahap (pemahaman) ini, selagi itu pembangunan kita sebagai seorang insan di dunia ini masih belum cukup,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, Dr Faishal berkata beliau mahu bekerjasama dengan golongan asatizah, cendekiawan dan kalangan sasterawan untuk melihat bagaimana untuk mempertingkat tahap pembangunan nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Penerapan budi orang Melayu/Islam ini penting “supaya bukan sahaja kita maju dalam aspek pendidikan dan kerjaya, bahkan hati kita, nilai kita sebagai seorang manusia itu adalah seorang insan yang menjaga keperluan, kemaslahatan, keselamatan insan yang lain”, tambah beliau.
“
Tidak kira bangsa, agama, negara mana, kita tidak menerima sebarang keganasan, kita tidak menerima sebarang pembunuhan. Jadi tidak kira di mana ada pembunuhan – di negara bukan Muslim sekali pun, kita tidak terima kerana ada kehidupan manusia yang terjejas. Selagi kita tidak mencapai tahap (pemahaman) ini, selagi itu pembangunan kita sebagai seorang insan di dunia ini masih belum cukup.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg