Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat mahu pemimpin turun padang, dengar pandangan

Faishal mahu beri ruang kepada seramai mungkin kongsi aspirasi sebelum lakar visi untuk masyarakat Melayu/Islam
Jun 5, 2025 | 6:00 PM
Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, masyarakat Melayu/Islam, pemimpin
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyentuh tentang pelbagai topik berkenaan masyarakat Melayu semasa temu bualnya bersama media di Kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 4 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sejak Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim menggalas tugasnya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam hampir dua minggu lalu, bermacam-macam individu telah ditemuinya.

Namun, masih ramai lagi yang mahu beliau dekati.

Langkah itu disifatkan perlu sebelum beliau duduk memikirkan visi masyarakat Melayu/Islam bagi 10, 15 tahun akan datang.

Berkongsi sebab di sebalik keputusan tersebut, Dr Faishal – yang ditemui di Kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 4 Jun – berkata beliau mahu memberikan ruang kepada seramai mungkin anggota masyarakat untuk berkongsi tentang aspirasi mereka.

“Ini bukan visi saya. Saya nak mendekati masyarakat dahulu, mendengar dan juga mengetahui apakah aspirasi mereka dan bagaimana kita boleh membangunkan visi bersama,” katanya.

Melalui perkongsian itu, setiap individu Melayu/Islam juga boleh melihat bagaimana mereka dapat memainkan peranan bukan sahaja untuk membangunkan visi tersebut secara bersama, malah turut membangunkan masyarakat juga, tambah Dr Faishal.

TERIMA SAMBUTAN BAIK MASYARAKAT

Sambil meluahkan rasa gembira, beliau berkongsi bahawa sambutan yang diterimanya daripada masyarakat Melayu/Islam yang ditemui sejak beberapa minggu lalu sangat baik.

“Saya tahu ini tanggungjawab yang bukan mudah. Ada yang memberitahu saya mereka tahu ini bukan mudah tetapi mereka nak menyokong usaha ini.

“Selepas mengambil alih, saya terus mula bekerja di mana saya terus turun padang, saya pergi kedai-kedai kopi, ke pasar dan juga mendekati golongan karyawan... dan mendengar rintihan mereka.

“Alhamdulillah ramai rasa gembira dengan pelantikan ini dan mereka juga yakin bahawa kita boleh bekerjasama,” ujar Dr Faishal.

Beliau mengambil alih daripada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Kemesraan Dr Faishal dengan masyarakat Melayu memang tidak dapat dinafikan, bahkan beliau sering disebut sebagai seorang yang disenangi dan mudah mendampingi masyarakat.

Malah, sebelum sempat melangkah masuk ke kafe tempat temu bual pun, Dr Faishal sempat menegur sapa dan bersalaman dengan ‘abang-abang’ di WGS, ramai yang dari pasar Geylang Serai berdekatan.

Sepanjang temu bual juga, ramai yang lalu-lalang sempat tersenyum melihat sosok ‘Pak Menteri’ yang cukup rendah hati orangnya, berpakaian kasut sukan berwarna hitam dan jam jenama Casio.

Ditanya apakah ciri-ciri yang beliau rasa penting atau perlu ada sebagai seorang Menteri Melayu, Dr Faishal memulakan jawapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Melayu/Islam yang sebelumnya, ramai di antara mereka sempat beliau dekati sepanjang kerjaya politiknya hampir 20 tahun.

“Saya dapat rasakan semua pemimpin ini mereka nak membangunkan masyarakat Melayu yang maju. Dan kita berlainan. Kita sebagai manusia mempunyai ciri-ciri yang berlainan.

“Mungkin saya tidak ada ciri-ciri kekuatan yang ada pada mereka dan saya pun ada ciri-ciri tersendiri.

“Saya rasa gembira dan seronok mendekati masyarakat kerana mereka menganggap saya sebagai seorang manusia seperti mereka tetapi mempunyai peluang untuk melakukan selanjutnya untuk membuka ruang hubungan, menyokong mereka dalam kehidupan mereka dan juga kalau ada yang mempunyai cabaran, saya boleh menolong mereka,” ujar beliau yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Sikap mudah berhubung dengan sesama insan inilah yang beliau anggap penting.

“Ramai yang saya jumpa, mereka tak ada masalah, mereka tak ada cabaran. Bila mereka berjumpa saya, bukan pasal cabaran.

“Mereka mahukan seorang pemimpin yang mereka boleh berbual, mereka boleh dekati dan mereka rasa gembira yang mereka dapat peluang untuk mendapatkan pengalaman yang manis dalam pendekatan kita bersama.

“Pada pendapat saya, ini adalah satu aspek penting bukan sahaja sebagai seorang menteri yang menjaga kemaslahatan masyarakat Islam, tapi seorang pemimpin di rumah, yang mana anak-anak kita, ahli keluarga kita harus rasa selesa untuk berbual dengan kita, jiran kita rasa selesa dan gembira dapat berbual dengan kita.

“Ini bukan... ciri yang saya kerja keras untuk bangunkan. Mungkin ini adalah satu aspek semula jadi dalam kehidupan saya dan satu prinsip yang saya pegang paling kuat dalam kehidupan saya – be yourself (jadi diri sendiri). Saya adalah Faishal dan itulah Faishal.”

MASYARAKAT MAHU PEMIMPIN DEKATI MEREKA

Ditanya pula apakah antara isu yang sering dibangkitkan masyarakat semasa interaksi beliau bersama mereka, Dr Faishal berkata kalau dibandingkan tahun-tahun lalu, kali ini, lebih ramai yang menyuarakan kemahuan mempunyai kepimpinan yang mendengar lebih mendalam dan meluas tentang rintihan mereka.

Masyarakat juga mahu melihat lebih ramai pemimpin masyarakat – bukan sahaja Anggota Parlimen, bahkan pemimpin badan-badan Melayu/Islam lain – turun padang untuk mendekati mereka, tambah beliau.

“Kita mungkin boleh mengubah suai apa yang kita lakukan dan menyediakan wadah-wadah yang padat untuk mendekati mereka,” katanya.

Wadah-wadah ini juga penting terutama dalam menangani isu-isu lebih sensitif yang mana mungkin terdapat ketidaksehaluan pandangan antara pemerintah dengan masyarakat.

Dr Faishal akur isu-isu sebegitu bukan senang untuk ditangani, dan ada sesetengah saranan yang diberikan masyarakat yang boleh memakan masa lebih lama untuk diambil pakai.

“Selama lebih 20 tahun dalam kerja-kerja masyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang bangsa, ada isu yang mungkin senang ditangani dan mudah kita jalankan saranan-saranan (yang diberi). Ada pula yang mungkin memakan lebih banyak masa.

“Tetapi apa yang saya dapat lihat, pemerintah (ini) niatnya selalu baik. Seberapa boleh, kalau ada jurang, kalau kita boleh lakarkan (penyelesaian) secepat mungkin, akan dilakarkan secepat mungkin.

“Ada yang lebih sensitif dan juga memerlukan lebih banyak masa untuk memahami landskap apa yang sedang berlaku, atau mungkin (pemerintah) juga mahu mendengar perspektif yang lain,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terkadang, terdapat isu di dunia yang mana “kita tahu yang kita harus lakukan A, B, C, tetapi kita tahu yang walaupun kita nak lakukan sesuatu yang mungkin masuk akal, tetapi kita ini hidup dalam dunia dengan manusia pelbagai pendirian dan pengalaman, perspektif... walaupun kita nak buat sesuatu tapi ada aspek lain yang kita tidak boleh kawal”.

Namun, apa yang penting baginya ialah untuk mendengar pandangan masyarakat untuk memahami jangkaan dan keluhan mereka.

“Sebagai pemimpin sekarang, saya mahu bekerjasama dengan lebih ramai supaya kita memikirkan apa yang kita boleh lakukan bersama,” ujar Dr Faishal.

KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DALAM PELBAGAI ASPEK

Dalam pada itu, Dr Faishal akur secara amnya, masyarakat Melayu/Islam sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan dan sosial.

Namun padanya, apa yang sama penting juga adalah pembangunan dan kemajuan insaniah.

“Saya mahu membangunkan satu masyarakat yang mana walaupun kita cemerlang, tapi kita rasakan apakah kesukaran yang dihadapi oleh rakyat lain, jiran kita dan juga apa yang sedang berlaku di merata dunia dan kita bersyukur kerana kita menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Walaupun kita ada cabaran tetapi yang penting bagaimana kita boleh menyumbang dengan wadah-wadah dan juga pendekatan yang sesuai, dengan penuh adab, etiket dan juga nilai-nilai murni bukan sahaja masyarakat Melayu, bahkan sebagai seorang Muslim.

“Selain daripada usaha untuk membangunkan masyarakat yang cemerlang, saya juga mahu melihat bagaimana inti pati hati kita juga terus dibangunkan.

“Selagi kita berjaya dan meningkat dalam tahap kehidupan, selagi itu kita rasa yang kita harus rendah hati dan bersyukur ke atas apa yang kita dapat di dunia ini,” ujarnya.

Turun padang dekati masyarakat

Selepas mengambil alih, saya terus mula bekerja di mana saya terus turun padang, saya pergi kedai-kedai kopi, ke pasar dan juga mendekati golongan karyawan... dan mendengar rintihan mereka. Alhamdulillah ramai rasa gembira dengan pelantikan ini dan mereka juga yakin bahawa kita boleh bekerjasama.
Pegang prinsip jadi diri sendiri

... Satu prinsip yang saya pegang paling kuat dalam kehidupan saya – be yourself (jadi diri sendiri). Saya adalah Faishal dan itulah Faishal.
Harus rendah hati, bersyukur

Selain daripada usaha untuk membangunkan masyarakat yang cemerlang, saya juga mahu melihat bagaimana inti pati hati kita juga terus dibangunkan. Selagi kita berjaya dan meningkat dalam tahap kehidupan, selagi itu kita rasa yang kita harus rendah hati dan bersyukur ke atas apa yang kita dapat di dunia ini.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg