Penyelidik muda yang mengkaji isu pekerja yang mendesak seperti implikasi kecerdasan buatan (AI) dan pekerja yang kian menua akan menerima lebih banyak sokongan.

Ia merupakan sebahagian daripada rangkaian penyelidikan baharu untuk mengukuhkan dan memajukan perisikan pasaran pekerja di Singapura.

Rangkaian Associate Researchers Circle (ARC) yang terdiri daripada lapan anggota, telah dilancarkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 1 Oktober.

Menurut The Straits Times, pembentukan rangkaian itu berdasarkan NTUC Labour Alliance co-laB (LAB), yang dilancarkan pada 2024 untuk memperdalam pangkalan pengetahuan mengenai penyelidikan pekerja di Singapura.

Rangkaian tersebut bertujuan mempengaruhi dasar dan amalan tenaga kerja yang akan meningkatkan gaji, kebajikan dan prospek para pekerja.

Inisiatif itu, yang diumumkan pada Persidangan Penyelidikan Pekerja keenam NTUC, diperkenal di tengah-tengah perubahan pesat dalam tenaga kerja yang dipercepatkan oleh AI.

Pemahaman dan maklumat yang dikumpulkan oleh para anggota LAB dan ARC secara bersama akan membantu NTUC mengenal pasti peluang serta risiko baharu dengan lebih awal, di samping membentuk advokasi dan campur tangannya.

Gabungan sumber dan keupayaan ini juga akan mengukuhkan usaha Majlis Pekerjaan Tiga Pihak, yang ditubuhkan pada April lalu untuk membantu pekerja mengekalkan pekerjaan ketika syarikat menjalani transformasi akibat gangguan AI.

Berucap semasa perasmian persidangan tersebut, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata sejak beliau bercakap tentang kesan AI ke atas pekerjaan kolar putih seperti undang-undang, perubatan dan perakaunan dua tahun lalu, masih tiada “kejelasan penuh” tentang cara ia mengubah corak kerjaya ini di tempat kerja.

“Penyelidikan yang baik menyediakan maklumat pasaran dan pandangan jauh yang dipercayai, serta berasaskan kepada realiti ekonomi dan tenaga kerja Singapura,” kata beliau.

Encik Ng turut mengetengahkan kebimbangan terhadap jumlah pemberhentian kerja yang lebih tinggi dan majikan yang mengurangkan pengambilan pekerja.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun sektor seperti perkilangan, teknologi maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan kewangan sedang berkembang, namun pemberhentian pekerja juga sedang berlaku.

“Hari ini, sektor-sektor ini adalah antara yang menyaksikan peralihan serta penyusunan semula tenaga kerja yang paling ketara, dan saya fikir ini ada kaitan dengan kesan AI serta pembentukan semula perniagaan mereka sendiri,” ujar beliau.

Lapan penyelidik muda telah dicalonkan oleh anggota LAB untuk mendapatkan pendedahan dan pemahaman lebih meluas mengenai isu-isu pekerja serta peluang untuk menyumbangkan kepakaran mereka kepada rangkaian tersebut.

Salah seorang daripada lapan anggota kumpulan itu ialah Cik Sarah Chan, 33 tahun, Zamil Penyelidik di Pusat Bandar Inovatif Lee Kuan Yew di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), yang mengkaji bagaimana persekitaran yang berbeza membentuk tingkah laku dan hasil kerja para pekerja.