Ketua pergerakan pekerja, Encik Ng Chee Meng, akan dilantik sebagai Menteri dalam Pejabat Perdana Menteri mulai 27 Julai.

Mengumumkan pelantikan tersebut seiring beberapa perubahan Kabinet lain pada 22 Julai, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pekerjaan dan transformasi tenaga kerja telah menjadi keutamaan lebih tinggi bagi pemerintah.

“Pada saya, mengambil kira keprihatinan mengenai cabaran ekonomi dan tenaga kerja yang sedang kita hadapi pada masa ini, adalah sesuai untuk beliau kembali kepada pemerintah, kembali menyertai Kabinet dan memberi sumbangan bukan sahaja sebagai Setiausaha Agung NTUC, malah sebagai Menteri dalam pasukan saya,” kata beliau.

“Saya jangka beliau akan dapat memberikan sumbangan yang lebih mendatangkan kesan untuk menangani cabaran nasional yang kami hadapi. Justeru, saya menghubungi beliau dan beliau bersetuju untuk berbuat demikian.”

Menurut Encik Wong, isu pekerjaan sering ditimbulkan di Parlimen dan Encik Ng telah mengemukakan usulan mengenai kecerdasan buatan (AI) dan pekerjaan.

Encik Wong menambah, Encik Ng telah menyesuaikan diri di kawasan undinya di Jalan Kayu dan telah meluangkan masa bekerja gigih di sana sepanjang 2025.

Pada Pilihan Raya Umum 2025, Encik Ng memenangi kerusi tunggal di Jalan Kayu selepas meraih 51.47 peratus undi, mengalahkan calon baru dari Parti Pekerja, Encik Andre Low, dalam satu persaingan sengit.

Namun tiga hari selepas pilihan raya pada 3 Mei itu, Encik Ng berkata melalui satu kenyataan beliau telah memohon kepada Encik Wong supaya tidak memberikannya sebarang jawatan dalam pemerintah.

Pada masa itu, Encik Wong berkata beliau menghormati permintaan Encik Ng supaya beliau boleh memberi tumpuan kepada kerjanya di NTUC dan di Jalan Kayu.

Namun, Encik Wong juga melahirkan harapan “ketua pergerakan pekerja akan menjadi sebahagian Kabinet tidak berapa lama lagi”.

Mengikut tradisi, Setiausaha Agung NTUC menggalas jawatan dalam Kabinet, bermula dengan Encik Lim Chee On yang dilantik sebagai Menteri dalam PMO pada 1980.

Encik Ng, yang telah menjadi Setiausaha Agung NTUC sejak 2018, ialah ketua pergerakan pekerja yang pertama dalam beberapa dekad yang tidak menggalas jawatan dalam Kabinet.

Beliau pernah menggalas peranan sebagai Panglima Pasukan Pertahanan (CDF) sebelum menyertai politik pada 2015, di mana beliau menang di GRC Pasir Ris-Punggol bersama pasukan PAP.

Mantan menteri itu berikrar terus memperjuang kebajikan pekerja bagi mengharungi gangguan teknologi menerusi kerjasama rapat bersama Pemerintah.

Dalam satu kenyataan media pada 22 Julai, Encik Ng berkata beliau menerima undangan Encik Wong dan pelantikannya itu dengan rasa tanggungjawab.

Sebelum ini, beliau memegang beberapa jawatan Kabinet, termasuk Menteri Pendidikan (Sekolah) dan Menteri Kedua Pengangkutan.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, beliau menerajui pasukan PAP yang bertanding di GRC Sengkang yang baru dibentuk, tetapi tewas kepada pasukan WP.

“Saya amat rendah hati dengan pelantikan ini dan menerimanya dengan rasa tanggungjawab yang mendalam,” kata Encik Ng.

Beliau menambah sebuah pasukan yang berkebolehan telah dibina di Jalan Kayu sejak setahun lalu untuk berkhidmat kepada penduduk.

Menurutnya, mereka telah membantu mempertingkat prasarana, termasuk mengadakan lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung, taman permainan dan ruang senaman yang dinaik taraf, kemudahan sukan, perkhidmatan bas baru serta peningkatan LRT yang sedang dijalankan.

Mengenai pergerakan pekerja, Encik Ng berkata keutamaannya adalah untuk mempersiapkan tenaga kerja bagi transformasi ekonomi yang dipacu oleh AI. NTUC sedang menuju ke arah peralihan AI tanpa menyebabkan pengangguran, tambahnya.

Beliau mengetengahkan daya utama AI-Ready SG yang membantu pekerja – termasuk golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME) – meningkatkan kemahiran serta mengharungi perubahan tersebut, bersama Majlis Pekerjaan Tiga Pihak.

Majlis Pekerjaan Tiga Pihak, yang merangkumi NTUC, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), menyasarkan untuk mempergiat rancangan meningkatkan kemahiran pekerja.

Ia juga bermatlamat membantu syarikat mereka membentuk semula pekerjaan serta menggunakan perkakas baharu, di tengah-tengah gangguan yang dipacu AI.

Menurut Encik Ng, AI-Ready SG merupakan satu daya utama yang dipacu oleh Majlis Keselamatan Pekerjaan NTUC bagi membantu pekerja berkembang maju dalam masa depan berdayakan AI.

Ini termasuk melengkapkan mereka dengan kemahiran relevan AI.

“Sebagai Setiausaha Agung NTUC dan Menteri Kabinet, saya akan terus memperjuangkan gaji, kebajikan dan prospek kerja yang lebih baik untuk pekerja,” kata Encik Ng.

“Berada dalam Kabinet bermakna saya dapat bekerjasama lebih rapat dengan pemerintah untuk menyokong pekerja dan kemajuan Singapura, bersama-sama kesatuan dan majikan,” tambahnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Julai, jawatankuasa pusat NTUC berkata kehadiran Encik Ng dalam Kabinet akan mengukuhkan suara pekerja dalam penggubalan dasar negara.

Ini penting pada masa Singapura sedang mengharungi transformasi ekonomi, gangguan teknologi dan perubahan tenaga kerja yang ketara.

Pihaknya berterima kasih kepada Encik Wong kerana mengiktiraf perkhidmatan, komitmen dan sumbangan berterusan Encik Ng kepada penduduk serta pekerja.

NTUC juga menghargai keyakinan mengamanahkan beliau dengan tanggungjawab penting itu.

“Kami juga mengalu-alukan pelantikan baru beliau sebagai pengiktirafan terhadap peranan kritikal pergerakan buruh kita dalam tadbir urus dan pembangunan ekonomi Singapura,” ujar kenyataan itu.

“Pelantikan ini menekankan komitmen pemerintah terhadap perkongsian tiga pihak dan memastikan perspektif, keprihatinan serta aspirasi para pekerja Singapura terus diwakili dalam Kabinet.”

Menurut NTUC, sebagai mantan Menteri Kabinet, Encik Ng membawa pengalaman dasar negara dan pemahaman mendalam tentang keprihatinan pekerja yang diraih melalui pendampingannya bersama kesatuan, pekerja, majikan dan rakan tiga pihak.

“Kami yakin beliau akan terus memperjuangkan kepentingan pekerja sambil menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Singapura yang lebih luas,” tambahnya.