Persatuan Ain kini membuka pencalonan bagi Anugerah Ibu Tabah 2026, satu inisiatif bagi menyanjung keberanian dan ketabahan golongan ibu di Singapura yang berjuang melawan penyakit barah, sempena sambutan Hari Ibu tahun hadapan.
Dalam satu kenyataan, persatuan tersebut berkata anugerah berkenaan bertujuan mengetengahkan kisah-kisah luar biasa wanita yang bangkit menghadapi ujian barah dengan kekuatan jiwa, kasih sayang terhadap keluarga serta harapan yang tidak pernah pudar.
“Mereka ini mungkin ibu yang terus mengukir senyuman walaupun menanggung kesakitan, atau wanita yang bangkit setiap hari dengan doa dan keyakinan bahawa esok tetap membawa sinar,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dialu-alukan untuk mencalonkan seorang ibu yang telah atau sedang melalui perjalanan penyakit barah, dengan pencalonan dibuka sehingga 15 Februari 2026.
Penerima Anugerah Ibu Tabah 2026 akan menerima hadiah wang tunai serta Perisai Pusingan Anugerah Ibu Tabah Halimah Yacob, yang melambangkan keberanian dan kekuatan seorang ibu.
Para finalis turut akan menerima hadiah saguhati sebagai pengiktirafan terhadap semangat luar biasa yang dipamerkan mereka.
Majlis anugerah dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 9 Mei 2026 di Orchard Hotel Singapura, dengan kehadiran Puan Halimah Yacob, Presiden Kelapan Republik Singapura, sebagai tetamu terhormat.
Maklumat lanjut mengenai pencalonan, termasuk borang pencalonan boleh didapati menerusi pautan https://ainsociety.jotform.com/253279073138461 atau dengan mengimbas kod QR di bawah.
Persatuan Ain ialah sebuah pertubuhan kebajikan sukarela yang menyediakan sokongan psikologi, sosial, emosi dan bantuan kewangan kepada pesakit barah serta keluarga mereka, selain menawarkan program pemulihan, kaunseling dan sokongan masyarakat bagi memastikan pesakit tidak melalui perjalanan sukar ini bersendirian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg