Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertandingan sukan jadi wadah tingkat kesedaran tentang barah
Setiap acara selit maklumat mengenai barah serta saluran sokongan; dana terkumpul disalurkan kepada Persatuan Ain
Pertandingan sukan jadi wadah tingkat kesedaran tentang barah
Dua basikal yang tersadai di rumah seorang sahabat menjadi pencetus idea kepada Encik Iskandar Wachi, 56 tahun untuk memikirkan bagaimana sukan boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran tentang barah.
Ketika menziarahi sahabat baiknya yang menghidap barah tahap empat selepas pandemik Covid-19, Encik Iskandar terlihat dua basikal itu yang dibeli rakannya bersama isteri selepas rakannya mula disahkan menghidap barah tahap satu.
Niat rakannya pada mulanya adalah untuk mula bersenam dan berbasikal bersama isteri.
Namun, apabila beliau datang menziarahi rakannya itu, keadaan kesihatannya sudah merosot sehingga tidak lagi mampu mengangkat basikal tersebut.
Pengalaman itu, ditambah dengan kehilangan beberapa rakan lain akibat barah, mendorong Encik Iskandar bertanya kepada dirinya: “Boleh tak kita buat sesuatu untuk meningkatkan kesedaran tentang barah?”
Daripada persoalan itulah lahir SPOrT Cancer Project pada 2023, satu usaha yang menggabungkan pertandingan sukan dengan pendidikan mengenai barah.
Menurut Encik Iskandar, nama SPOrT membawa idea spot cancer atau mengesan barah lebih awal.
Justeru, setiap acara yang dianjurkan bukan sekadar pertandingan, tetapi turut diselitkan dengan maklumat dan aktiviti berkaitan barah, termasuk kepentingan pengesanan awal serta saluran sokongan yang boleh dimanfaatkan pesakit dan penjaga mereka.
Dana yang dikumpulkan menerusi acara itu pula disalurkan kepada Persatuan Ain yang menyediakan sokongan kepada pesakit barah dan penjaga mereka.
Usaha itu bermula dengan acara berbasikal pada 2023 yang menarik sekitar 250 peserta.
Ia kemudian diteruskan dengan pertandingan futsal pada 2024, manakala pada 2025, pasukan itu menganjurkan pertandingan boling dan sepak takraw.
Pertandingan sepak takraw selama dua hari itu menyaksikan penyertaan sebanyak 64 regu.
Pada 2026, acara boling telah diadakan pada Mei lalu, disusuli acara berbasikal pada 13 September, dengan pertandingan futsal dan sepak takraw menyusul selepas itu.
Setiap jenis sukan mempunyai jawatankuasa tersendiri, sementara Encik Iskandar menyelia keseluruhan projek.
Antara detik yang paling menguatkan semangatnya adalah semasa persiapan bagi acara berbasikal yang akan berlangsung pada 13 September nanti.
Seorang peserta menemuinya selepas mesyuarat dan berkongsi bahawa beliau sendiri menghidap barah, namun masih terus berbasikal walaupun sudah hidup dengan penyakit itu selama sekitar 10 tahun.
“Walaupun beliau masih sakit, beliau teruskan aktiviti itu.
“Itu bagi saya satu perkara yang memberikan saya semangat untuk teruskan usaha ini bersama kawan,” kongsi Encik Iskandar yang bekerja sebagai juruukur di sebuah syarikat minyak dan gas.
Beliau sendiri bukan asing dengan kerja kemasyarakatan setelah mula terlibat sejak berusia sekitar 16 atau 17 tahun menerusi kegiatan masjid, forum serta usaha mengumpul dana bagi badan amal seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Antara acara yang bakal dianjurkan ialah Cikgu Sies Senan Charity Futsal Cup, yang turut mengenang sumbangan Cikgu Sies kepada pembangunan bola sepak dan golongan muda.
SPOrT Cancer Project juga akan menganjurkan Piala Othman Wok pada 1 November, yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran tentang barah, malah memberi ruang kepada generasi muda untuk meneruskan tradisi sepak takraw serta nilai budaya Melayu yang terkandung dalam sukan itu.
Acara akan datang SPOrT Cancer Project:
Cycle for a Cause 2.0
– Tarikh: 13 September 2026
– Masa: 9 pagi
– Lokasi: Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyakirin
– Penyertaan: 20 pasukan, 100 penunggang basikal
Cikgu Sies Senan Charity Futsal Cup 6.0
– Tarikh: 25 Oktober
– Masa: 9 pagi hingga 5 petang
– Lokasi: Futsal Arena @ Yishun, 32 Yishun Central 1, Singapura 768809
– Kategori: Terbuka (5 pemain dan 2 pemain simpanan)
– Bayaran: $250 setiap pasukan
– Tarikh tutup pendaftaran: 30 September atau apabila 24 pasukan telah dipenuhi
Piala Othman Wok 2026
– Tarikh: 1 November
– Lokasi: Anjung @ Wisma Geylang Serai, 1 Engku Aman Turn, Singapura 408528
– Kategori: Lelaki Terbuka
– Bayaran: $150 setiap regu

